BAB 25

1.3K 18 1
                                    

Jemy meletakkan beg sandangnya di atas sofa. Lehernya yang sedikit penat diregangkan. Seketika matanya ditutup rapat, ingin merehatkan mindanya yang sedikit kusut. Kebelakangan ini banyak pula kerja yang perlu diselesaikan. Kiki pula semakin giat dengan model barunya, semuanya perlu mendapat sentuhan tangannya terlebih dahulu.

Bunyi panggilan yang tiba-tiba masuk mengejutkan Jemy, segera matanya dibuka. Iphone di dalam poket seluarnya ditarik keluar. Panggilan dari nombor yang tak dikenalinya itu terus dijawab..

"Hello?" jawab Jemy, kepalanya terus direbahkan semula di atas kepala sofa.

"Nazmi.." panggil satu suara yang tidak asing lagi. Segera Jemy mengangkat kepalanya, sudah lama nama itu tidak dia gunakan. Atas tujuan apa ayahnya itu tiba-tiba menghubunginya?

"Ayah.."

"Nazmi di mana?" soal Datuk Roslan.

"Masih di studio. Kenapa?" Hati Jemy mula berdebar-debar. Sudah lama Datuk Roslan tidak menghubunginya, rindunya kembali bertandang. Rindu pada keluarga.

"Ayah nak jumpa Nazmi. Nak ayah pergi studio ke?"

"Ayah di mana? Biar Nazmi je pergi sana." Putus Jemy. Kot yang bersidai di tepi sofa digapai. Bergegas dia keluar dari studionya.

************

JEMY menghentikan keretanya berhampiran dengan Stesen LRT Wangsa Maju. Restoran De Ja Vu yang sudah terang benderang di hadapannya dipandang kosong. Perlu ke aku masuk ke sana berjumpa dengan ayah? Pasti ibu ada sekali. Jemy mula berteka-teki. Berat saja kakinya untuk melangkah, rasa rindu yang sarat bila mendengar suara ayahnya seketika tadi membawa kakinya pantas ke Restoran tersebut. Namun, kenangan lalu seolah-olah mengikat pergerakanannya.

Pintu kereta terus dibuka. Setelah menekan kunci, kakinya perlahan menuju ke ruang Restoran tersebut. Dari jauh dia dapat melihat ayahnya dan Nazrul berbual rancak. Mana ibu? Mungkin ke bilik air, fikir Jemy. Nafas disela perlahan, meja yang terletak ditengah-tengah meja lain itu kian dihampiri.

Datuk Roslan memandang wajah anak sulungnya itu penuh rindu. Ingin saja dia memeluk tubuh itu, namun wajah serius dari anaknya menyedarkannya bahawa betapa banyak hati itu terluka kerana insan bergelar keluarga.

"Duduk Nazmi." Ujar Datuk Roslan. Jemy hanya mengangguk, segera punggungnya dilabuhkan di sebelah Nazrul, adiknya. Matanya liar seolah-olah mencari kelibat seseorang. Entah kenapa hatinya berdebar-debar tika ini.

"Ibu tak ikut, dia kurang sihat." Celah Datuk Roslan, dia dapat membaca riak muka Jemy saat itu. Nazrul sudah memandang wajah ayahnya bila melihat air muka Jemy mula berubah, sudah tentu abangnya itu dapat mengagak bahawa ibu masih membenci dirinya.

"Nazmi faham. Ayah apa khabar?" Jemy seupaya mungkin cuba mengukir senyum. Berjumpa dengan keluarga sendiri, seolah-olah asing bagi dirinya. Datuk Roslan hanya mampu mengukir senyum hampa bila melihat perubahan wajah anaknya itu.

Seketika datang seorang pelayan membawa hidangan yang dipesan. Satu mangkuk Stew Parsi, ikan panggang dan humus ayam terhidang. Secawan cappucino panas diletakkan di hadapan Jemy. Pantas Jemy memandang ayahnya yang turut menghirup cappucino yang sama, ternyata Datuk Roslan tidak pernah lupa kegemaran anaknya yang satu itu. Tanpa disangka dia dan Jemy berkongsi minuman kegemaran yang sama, cappucino.

"Kita makan dulu. Dah lama ayah tak makan dengan Nazmi, Stew Parsi ni sedap." Datuk Roslan menghulurkan mangkuk Stew Parsi kepada Jemy, perlahan Jemy menyambutnya. Stew Parsi yang diperbuat daripada daging kambing yang dimasak dengan kacang kuda dan bawang itu diletakkan sedikit di tepi pinggannya. Kekok pula dilayan sebegitu sekali.

Mencintaimu Mr.PhotographerWhere stories live. Discover now