BAB 2

522 60 8
                                    

~"Once you become mine, then the rest of your life would be mine too"~


Baju yang berupa knitwear bercorak garisan belang melintang itu ditanggalkan perlahan. Mujur dia membawa lebihan pakaian untuk digunakan ketika kejadian kecemasan buatan ini. Jika tidak, pasti dia terpaksa pulang semula ke bilik sewa untuk menukar baju. Jarum jam tika ini hampir menginjak ke waktu yang sepatutnya dia menempatkan diri di dalam kelas Madam Carllotte.

Diperhati sayu fabrik pakaian berkait itu yang sudah basah lencun dan berdebu sakan. Bingung mahu mencucinya pakai cara apa. Itu saja kenangan terakhir bersama mendiang ibunya.

Walau apa cara sekalipun, dia akan membersihkannya kembali kerana itu adalah baju yang ibunya sendiri kaitkan untuk dirinya sempena ulangtahun kelahirannya beberapa tahun dahulu.

Tidak mahu memikirkan soal sedih hati yang bertandang, dia meminta izin daripada seorang tukang cuci yang leka mengemop lantai. Huluran baldi oleh tukang cuci dicapai lalu dia meletakkan baldi kosong itu di atas sinki.

Kemudian, dicelup bajunya yang berbau hanyir telur bersulamkan lekapan tepung dan cecair alkohol tersebut ke dalam bekas penyimpan air yakni baldi yang sudah diisi dengan air paip. Ditonyoh berulang kali agar kesan degil yang melekap itu pudar.

Wajah 'ingin tahu' tukang cuci itu tidak dia hiraukan kerana bukan sekali dua dia berada dalam keadaan mengaibkan sebegitu. Semua orang juga sudah sedia maklum yang dia merupakan mangsa rakus pembuli di institut tersebut.

Jika diikutkan hati yang sakit, ingin sekali dia membalas perbuatan mereka. Tetapi, dia ini bukan sesiapa malah tidak layak langsung hatta mahu menentang pandangan jelik mereka terhadapnya.

Mereka memperlakukan dirinya umpama dia pengemis walhal dia dapat menimba ilmu di institut itu adalah disebabkan kebolehan yang ada pada diri sendiri. Bukan atas bantuan atau memakai 'kabel dalam' semacam mereka yang lain-lain itu.

Masih dia ingat ketika minggu pertama dia bersesi suai kenal bersama pelajar yang lain, tiada seorang pun membalas huluran tangannya untuk berjabat sebagai sahabat. Apa jijik sangatkah orang miskin serupanya ini?

Dan yang paling dia ingat sehingga sekarang, makin teruk mereka membulinya sejurus dia cuba untuk melawan perlakuan mereka yang lancang menghina ibunya yang tiada kaitan dalam permasalahan mereka. Akibatnya, mereka menyorok beg lusuh dan membuang kasut miliknya ke belakang dewan kuliah jauh dari pengetahuan dan penglihatan umum.

Maka, terpaksalah dia pulang berkaki ayam dalam juraian air mata yang deras menuruni pipi pada hari tersebut. Kata mereka, itu adalah amaran kerana Tiara berani meninggikan suara kepada mereka dan cuba untuk menentang perbuatan buli yang dilakukan. Ya, mereka semua yang ada di Edley High Institute ini benar-benar berperwatakan iblis!

Dari awal sebelum Tiara melangkah masuk ke pusat penyebaran ilmu itu pun, dia sudah mempersiapkan diri untuk menahan segala caci maki dan kata tohmahan daripada penghuni bangunan gah tersebut.

Titipan kata semangat daripada mendiang ibunya dahulu sentiasa tersemat kukuh, menjadi pendorong terkuat untuk dia menempuh cabaran dalam mencari secebis ilmu.

Tapi, mampukah dia?

Nama saja orang-orang kaya dan berpendidikan, namun tingkah laku masing-masing langsung tidak menggambarkan taraf mereka yang kononnya hebat dan tinggi. Jauh menyimpang sama sekali.

Sejujurnya, Tiara merasakan dia sudah tewas. Dia sudah lelah mahu menghadap perkara sama berulang kali setiap hari. Sedikit mereka tidak punya rasa simpati dan empati terhadap dirinya. Mereka hanya ingin berseronok dan tidak ambil pusing sekelumit pun perasaan orang yang dibuli.

VAMPIRE'S MAID II [SU]Where stories live. Discover now