BAB 11

138 17 2
                                    


~"Once you become mine, then the rest of your life would be mine too"~

Hari ini merupakan ulangtahun kematian seseorang yang pernah menjadi gunting dalam lipatan buat keluarga Anderson, terutama sekali kepada Edward. Dek kerana nafsunya yang tamak haloba untuk memiliki kuasa, perempuan itu mati dalam keadaan yang agak tragis. Namun, apakan daya jika ajalnya sudah tertulis ditarik nyawa dalam keadaan sebegitu.

Meskipun si mati telah banyak melakukan kejahatan, mereka tetap datang menziarahi makam yang menempatkan dia saban tahun. Bahkan tidak pernah terlepas walau sekali rutin berkenaan walaupun mereka sibuk dengan urusan kehidupan. Tidak bermaksud apa-apa aktiviti menziarahi itu melainkan sebagai tanda penghormatan saja kepada si mati yang pernah dikenali suatu ketika dahulu.

Batu nisan segi empat itu menayang ukiran sepotong nama yang indah. Nama yang boleh dikatakan agak kerap kali meniti di bibir mereka sewaktu dahulu, kini dipandang sepi oleh sepasang suami isteri tersebut. Tiga orang lelaki yang berada di belakang suami isteri itu turut setia berdiri tegak sambil memerhati kubur yang bertatahkan batu granit hitam yang berkilau.

Tiada sebarang suara diperdengarkan saat ini. Barangkali masing-masing menitipkan doa khusus buat si mati di alam sana. Mereka masing-masing hanya menunduk kepala separas bahu menandakan hormat kepada si mati dan beberapa jambangan bunga turut diletakkan di perkarangan makam yang senantiasa bersih dan dijaga rapi.

Kondisi di kawasan sekitar makam juga kelihatan hening. Tiada sesiapa di situ melainkan hanya mereka berlima sahaja. Dan memang hanya itu satu-satunya makam yang ada di tanah perkuburan itu. Makam yang jauh terasing daripada makam yang lain. Tiada kebenaran diberikan untuk orang luar memasuki kawasan makam berkenaan selain daripada keluarga Anderson sahaja.

Tidak ada sebarang bunyi kicauan burung atau unggas melatari suasana yang sudah sedia kesuraman. Yang ada cumalah aura kedinginan seram yang menyengkak sanubari, bergandingan dengan angin bayu lembut yang sesekali mengeluarkan bunyi siulan halus.

Hailey ibarat berada di dalam dunianya sendiri. Renungannya bertukar sayu dan terbit rasa runtunan pilu apabila mengimbau kenangan lampau. Meskipun hubungannya dengan si mati sama sekali tidak baik, akan tetapi tetap wanita berhati lembut sepertinya ini berasa kasihan terhadap si mati. Si mati tersalah memilih jalan sehingga hidupnya kucar-kacir dan hancur berasabkan cinta utuh kepada seorang lelaki.

Tanpa sedar, bebola mata Hailey mula berkaca. Bahu kecilnya turut sama berhinggut kencang tatkala menahan satu terjahan rasa yang dia sendiri tidak pasti apakah ia. Apa yang Hailey tahu, dia merasakan satu kesakitan yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Buntu bagi dia untuk meluahkan apa yang dirasainya saat ini. Seakan dirinya pernah berada di tempat si mati. Adakah ini kemelut perasaan yang pernah Cassandra lalui dulu?

Lantaran itu, Hailey mula merapatkan sebelah telapak tangannya di dada. Dia berasa dadanya sesak, nafasnya memberat umpama disekat dengan rasa ganjil berkenaan.

Biarpun begitu, rasa ganjil itu bagai lenyap sebaik sahaja ada sentuhan yang berupa genggaman erat di tangan kiri Hailey. Sepertinya ada satu kuasa telah menariknya kembali ke dunia nyata. Keadaan aneh yang dilalui tadi juga tiba-tiba menghilang. Hailey termangu sebentar dan agak terpinga-pinga. Mengapa ya dia menjadi sebegitu?

"Kenapa kau menangis? Ada sesuatu yang mengganggu fikiran kaukah Hailey? Katakannya pada aku jika ada." Soal Edward prihatin. Dipagut emosi khuatir melihat isterinya tanpa angin dan ribut menangis sebegitu rupa. Walhal Hailey dan Cassandra bukannya teman rapat sehinggakan isterinya mahu menghamburkan tangisan sehingga basah wajah.

VAMPIRE'S MAID II [SU]Where stories live. Discover now