❝BAB 12❞

650 71 6
                                    

────❝ HYDRA 187 ❞────

BUNYI azan subuh berkumandang yang keluar daripada notifikasi telefon menyedarkan Dyra dari tidur. Dia baru perasan yang dia sudah tertidur di atas sejadah dalam keadaan masih bertelekung selepas dia menunaikan solat isyak. Keadaan Dyra masih belum sihat sepenuhnya dan badannya masih terasa panas.

Dia tidak mengendahkan tubuhnya yang lemah lalu dia bangun untuk membersihkan diri sebelum mengambil wuduk di dalam tandas.

Selesai solat fardhu subuh, dia membuka telekung untuk menukar kepada pakaian asal dan memakai tudung serta cermin mata palsunya. Dia berjalan ke arah pintu bilik untuk keluar. Dia perasan bilik itu berkunci dan sebenarnya dia tidak ingat sama ada dia yang mengunci pintu di tengah malam.

Selepas dia membuka pintu, dia ternampak sebuah botol air mineral dan beg plastik berada di tepi pintu tersebut. Dia menunduk sebelum tangannya membuka beg plastik dan mendapati di dalamnya diisi sebungkus roti, ubat dan plaster. Keningnya diangkat tanda hairan lalu mengambil barang-barang tersebut dan dibawa masuk ke dalam bilik.

Dyra duduk di atas katil sebelum membuka sebungkus roti untuk mengalas perutnya yang kosong. "Alhamdulillah, syukur ada makanan. Lapar sangat dari semalam." katanya pada diri sendiri dan tersenyum kecil sambil perutnya diisi dengan makanan. Kemudian, matanya beralih pada beg plastik yang diletakkan di atas meja sisi katil sambil mulutnya mengunyah roti. Dia tidak menyangka dia diberi ubat demam, ubat selsema beserta plaster. Dia tersenyum kecil dan berasa berterima kasih kepada sesiapa yang memberinya.

Tidak lama selepas itu, senyumannya hilang dan memikirkan tentang apa yang dia sedang hadapi sekarang serta beranggapan apa yang akan berlaku seterusnya. Dia merasakan kebahagiaan itu belum lagi layak untuk dirasai dan dinikmati.

Selepas menghabiskan roti dan menelan ubat, dia segera bangun untuk menutup lampu dan kipas sebelum dia keluar dari bilik. Dia menuruni tangga dan melihat ruang tamu kelihatan terang dengan lampu menyala. Hydra dan Zorro sedang berada di ruang meja makan.

Zorro menoleh melihat Dyra yang baru sahaja turun. "Ha, panjang umur. Kitaorang baru je mengumpat pasal kau."

Hydra yang kebetulan sedang mengelap kuali bertentangan dengan Zorro, sengaja mengetuk kepala Zorro dengan kuali itu.

"Aduh!" kedua-dua tangan Zorro mengusap kepalanya yang menahan sakit sebelum dia memberikan pandangan tajam kepada Hydra. "Ye, ye. Aku gurau sikit je. Tu pun tak boleh."

Zorro kemudiannya kembali memandang Dyra yang masih berdiri di hadapan tangga. "Meh sini makan dulu, lepas tu aku hantar kau balik rumah. Aku masakkan Lobster dengan Steak untuk kau." Dia mengajak Dyra bersarapan.

Dyra berjalan menghampiri mereka dan melihat hanya ada nasi kosong, telur dadar dan segelas air di atas meja.

"Umm nampak sedap. Pandai kau masak Lobster dengan Steak." kata Dyra yang melayan kata-kata Zorro. Dia mengambil tempat di sebelah Zorro dan menjarakkan sedikit kerusi sebelum duduk.

Telapak tangan kanan Zorro diangkat dan diletakkan pada bahagian mulutnya yang ditutupi topeng seolah-olah membuat reaksi terharu apabila ada seseorang yang sudi melayannya.

"Banyak lah kau punya Lobster dengan Steak. Elok lah dua-dua sekepala." kata Hydra sambil meletakkan kuali yang sudah kering ke dalam kabinet kemudian dia mengambil tempat duduk bertentangan dengan mereka berdua.

Dyra mengambil makanan di atas meja kemudian melihat mereka berdua sedang memandang skrin telefon masing-masing di meja makan sebelum dia mula menjamu sarapannya.

Zorro sempat memandang wajah Dyra. "Kau okay ke? Nampak muka kau ni macam tak sihat lagi." tanya dia.

"Okay sikit. Dah telan ubat tadi," jawab Dyra, "tapi ubat pill tu memang confirm bukan dadah dari Qillerx kan?" Dyra selamba melemparkan soalan runcing sambil mengunyah.

HYDRA 187حيث تعيش القصص. اكتشف الآن