❝BAB 21❞

460 60 24
                                    

────❝ HYDRA 187 ❞────

DYRA perlahan-lahan membuka mata. Pandangannya yang masih kabur dapat merasakan bilik itu begitu asing baginya. Badannya terbaring di atas katil. Tangannya terasa sesuatu yang janggal. Dia menoleh sedikit kepala ke kanan sebelum mengangkat tangan kanan dan mendapati luka di tangannya telah berbalut kemas. Ketika itu, dia menyedari bahawa dia kini berada di sebuah bilik wad di hospital.

Dyra menurunkan tangan kanannya. Dia perasan pintu biliknya di sebelah kanan terbuka. Kemudian dia melihat sekeliling sebelum matanya tiba-tiba terhenti pada satu susuk tubuh manusia yang sedang duduk bersandar pada kerusi berhampiran sisi katilnya di sebelah kiri sambil menatal skrin telefon. Seluruh kepala sehingga wajah insan itu ditutup dengan sebuah topi keledar muka penuh berwarna hitam.

Dyra terkejut dan dahinya berkerut. Dia tidak dapat mengecam gerangan di sebalik topi keledar tersebut kerana ia berlindung dengan visor yang gelap.

Dyra menyedari tangan kirinya dicucuk dengan Intravenous (IV) cannula yang mempunyai jarum tajam yang dimasukkan ke dalam saluran darah. Tanpa berfikir panjang, tangan kanannya pantas bergerak mencapai kanula tersebut. Perkara pertama yang dia fikirkan adalah untuk digunakan sebagai pertahanan diri.

Pergerakannya untuk mencabut jarum itu terhenti apabila Dyra melihat insan itu memandang ke arahnya.

Tangan yang memegang telefon itu diturunkan, "Kau memang langsung tak sayangkan diri kau kan?" soalnya selepas melihat Dyra sanggup membuat percubaan untuk mencabut kanula di tangan tanpa teragak-agak.

Insan itu kemudiannya bangun dari kerusi. Telefon dimasukkan ke dalam poket seluar belakang dan kaki mula melangkah ke hadapan menuju ke katil Dyra.

Langkahnya terhenti di sebelah katil lalu dia menekan butang untuk memanggil jururawat. Dyra hanya memerhatikan langkah dan tingkah laku lelaki itu dengan penuh waspada dan berhati-hati sambil dia masih cuba untuk mendapatkan kepastian gerangan di sebalik topi keledar itu. Sesiapa pun pasti berasa pelik dan risau apabila ada orang yang tidak dikenali memakai topi keledar sebegitu di dalam sebuah bilik yang hanya didudukinya.

Ketika itu Dyra cuba memerhatikan pakaian yang dipakai oleh lelaki itu, gaya pakaian kemeja hitam kelihatan sama dengan gaya yang sering dipakai oleh Hydra.

Tangan kanan Dyra mula dilepaskan perlahan-lahan dari kanula apabila dia mengesahkan lelaki yang memakai topi keledar itu adalah seperti seseorang yang dikenalinya.

Kemudian, Hydra duduk semula di atas kerusi.

Dyra tiba-tiba tersentak saat menyedari dia terlupa melihat keadaan dirinya. Dia cepat-cepat menyentuh kepala dan melihat tubuhnya sendiri. Nafas lega dilepaskan apabila mendapati dirinya masih menutup aurat dengan sempurna. Selimut putih juga ditutup dari hujung kaki hingga ke paras dada. Pada masa yang sama, dia dapat merasakan kejanggalan di kepala dan merasakan bahawa di sebalik tudungnya terdapat suatu balutan.

Tidak lama kemudian, seorang jururawat masuk melalui pintu biliknya yang terbuka.

"Alhamdulillah, cik dah sedar." Jururawat itu datang dan memeriksa keadaan Dyra, "Sekarang, cik ada rasa nak muntah atau pandangan mata cik semakin kabur?"

Dyra menggeleng perlahan, "Tak ada."

Jururawat itu mengangguk. Dia kemudian memaklumkan kepada Dyra, "Doktor tengah jalankan satu pembedahan untuk salah seorang pesakit sekarang. Lepas doktor dah selesai, dia akan datang ke sini untuk memeriksa keadaan cik pula dan memaklumkan keputusan x-ray serta CT scan."

HYDRA 187Where stories live. Discover now