BAB 12

13 3 3
                                    

Hujan mungkin indah untuk si pencintanya. Mungkin juga indah untuk sesetengah jiwa. Mungkin juga indah untuk si perindu mahupun kanak-kanak yang sanggup basahkan diri saat beribu-ribu air hujan jatuh ke muka bumi. Mungkin juga untuk orang ingin menenangkan fikiran mereka yang dipenuhi masalah. Mungkin juga menjadi peneman bagi orang yang terluka dan mengalirkan air mata.

Namun hujan boleh jadi juga hari buruk seseorang. Kala air hujan yang turun itu membuat mereka kenang kembali detik hitam mahupun kenangan yang tak mampu diulangi lagi. Boleh juga menimbulkan trauma untuk sesetengah orang. Boleh juga membuat penunggang motosikal sedih akan itu. Boleh juga membuat si nelayan menatap di luar tingkap. Berharap air itu akan berhenti agar dapat mencari isi perut dan keperluan untuk anak bini.

Hujan lebat dari luar kereta menjadi tempat aku termenung. Suara hujan membuat aku terlena dengan hanyutan fikiran. Minda tidak mampu mengisi beberapa perkara sudah jika hati sudahpun terasa pahit.

Dari tingkap kereta ini, aku mampu meneliti setiap air hujan yang jatuh di tingkap. Ada yang kekal di situ dan ada juga yang mengalir jatuh ke bawah. Yang pasti dia akan hilang juga nanti.

"Apa yang kau termenung tu?"

Aku tak membalas melainkan memalingkan kepala ke arahnya. Tak langsung dia memandangku tapi hanya fokus memandu di hadapan. Memang sukar untuk memandu di tengah hujan lebat begini, nyawa boleh saja melayang kerana kelicinan jalanraya ataupun pandangan untuk maju ke depan kabur.

Raut wajahnya mungkin kerisauan namun dia menghadapi dengan biasa. Bukan kali pertama, lagipun aku sudah mengajarnya. Lesen pun ada.

Permintaan aku menyuruh sahabat sejatiku ini memandu kereta diterima. Mungkin dia tahu aku penat. Bukan penat fizikal melainkan mental. Oleh kerana apa pun aku tidak tahu. Namun mental aku sedikit lemah beberapa hari ini. Suram semacam hendak melakukan sesuatu. Depresi? Mungkin.

"Kau fikir pasal tadi ke?" Soalnya. Aku menggeleng lemah.

"Kenapa lembik semacam ni?" Aku tak mampu menjawab melainkan merenung kosong.

"Bukan dia paksa kau pun. Dia dah cakap tadi, kau boleh je tolak bila-bila masa. Tapi..." Ayat tergantung.

Aku tak menunggu sambungnya namun dengan cepat ayat itu terucap kembali.

"Tapi...kau rugilah. Mahal tau gaji tu." Ceria sekali nadanya. Sengaja lah tu nak hasut aku terima. Dasar!

"Aku terima lah..." Perlahan saja suara aku.

"Kalau dah terima, kenapa macam berat je hati ni?"

"Aku takut kalau aku hilang fokus kat... pertandingan tu..." Kataku. Jari bermain sesama sendiri. Aku serabut dan aku tidak tahu betul atau tidak keputusan aku.

Salah satu faktor aku menerima pekerjaan itu kerana harga yang akan dibayar. Nanti hutang aku pada Kamelia akan selesai. Sudah banyak aku berhutang padanya walaupun selalu dikatakan bahawa itu pemberian. Hatiku menolak pernyataan itu.

"Hanni. Pertandingan tu lambat. Kau boleh je ajarkan Kameel dalam masa sebulan je. Lepas tu kau kembalilah seperti semula." Tangan kanan ku di gosok oleh Kamelia. Pandangannya menyakinkan aku.

"By the way, kau kerja dengan anak dato' kut." Usiknya. Aku menggelengkan kepala.

Tak habis-habis lagi. Sejak Aidyn menyatakan sedikit biodata Kameel, terus Kamelia terkejut. Anak orang kaya. Ibubapa tiada di Malaysia melainkan di London. Dan sekarang Kameel di London, Aidyn kata esok baru pulang kembali.

"Anak dato' ke anak beruang ke. Sama je kan?" Ujarku dengan nada malas.

"Alah...untunglah tu. Tadi pun Aidyn banyak cerita pasal Kameel yang macam...ehem...ehem...kau tau lah kan. Sebab tu dia alu-alukan kau jadi guru masakan untuk Kameel. Kiranya makin bertambah lah ye duit gaji kau." Plak! Aku bagi sedikit kasih sayang di lengan Kamelia.

Love From Mr. PerfectWhere stories live. Discover now