BAB 18

9 1 0
                                    

Tempat yang memicu perasaan indah. Pantai. Yang menimbulkan kebahagiaan mendalam pada jiwa. Debaran ombak yang mempersona, angin sepoi-sepoi dari air laut yang tenang dan pasir putih yang lembut menimbulkan sensai yang menenangkan aku. Pantai adalah tempat untuk berdiam diri dan merenung atas semua yang telah dilakukan dan semua yang akan dilakukan. Dan aku ingin menikmati indahnya alam dan kedamaian juga ketenangan yang sederhana tapi bermakna di saat-saat jangka dalam hidup aku ini bersama dia.

Wajahnya yang terkena cahaya matahari ditatapku dengan perasaan dalam. Melihat mukanya yang cerah tambahan lagi mata cokelat itu amatlah memberi kesan pada hatiku. Kenapa baru sekarang kita bertemu? Kenapa tidak dari dulu?

Secara tiba-tiba, dia membalas pandangan aku dengan redup sekali. Kami sama-sama menatap antara satu sama lain. Mata ke mata, hati ke hati.

Apabila aku sedar situasi, terus aku tunduk, melarikan mata dari terus memandangnya. Jantungku berdegup kencang. Jiwaku mulai terasa meronta. Ingatanku seolah berpusing-pusing seketika. Apa aku buat ini? Intai anak orang?

Saat aku mengangkat kepala semula, dia masih memandang aku. Masih mata itu menusuk ke dalam mataku. Dan kini, ada senyuman kecil yang terukir di bibir merah jambunya.

Sudah lima bulan aku kenal dengan jejaka bernama Kameel Elhasiq. Dan selama lima bulan itu juga, aku semakin rapat dengannya. Dan makin lama, makin aku takut akan kehilangan dia. Mengingati bahawa dia ambil keputusan untuk pembedahan di bahagian kepalanya itu membuat aku semakin risau. Pelbagai firasat buruk menjelma. Setiap kali ia muncul di fikiran, aku risau, resah dan takut. Sampai sekarang aku berharap hari itu takkan berlaku tapi dia tetap ingin menjalaninya. Bagaimana cara untuk memberhentikannya, aku sudah penat berfikir. Mahu dipujuk, aku ini siapa dia mahu dengar. Mahu dilarang, bukan hak aku. Mahu dibatalkan, aku bukan doktor.

Aku mungkin bukan siapa-siapa dalam hidupnya namun kehadirannya sungguh bermakna bagi aku. Untuk pertama kali, aku sanggup berkorban untuk lelaki. Untuk pertama kali, aku percaya pada lelaki di zaman ini. Untuk pertama kali, aku takut kehilangan seseorang lelaki.

Dia pandang aku sayu. Aku tak tahu apa maksud matanya itu namun aku perasan ada kesedihan di situ.

Aku arahkan pandangan aku ke langit biru dan aku perasan dari sudut tepi mataku, dia juga melakukannya. Hatiku berbisik perlahan.

Langit, boleh lagikah aku begini bersamanya? Melihat kecantikan dan keindahan mu bersama sepasang matanya?

Aku tutup mata rapat. Selepas itu, aku buka mata kembali dan melihat ke arahnya.

"Awak gembira?" soalku padanya. Mata kami bertembung antara satu sama lain.

Tanpa bersuara dia angguk sebagai balasan. Aku lihat di sebelahnya ada diary birunya seperti biasa. Apa yang lebih menarik, ada sticker Harry Potter nya.

"Awak nak tahu apa kuasa awak satu lagi tu?" Dua bulan aku mendiamkan jawapan itu walaupun Kameel bertanya beberapa kali. Dan aku rasa inilah tepat masanya.

Dia jongket kening sebelah lalu terus riak wajahnya bertukar ceria seolah tidak sabar menunggu.

"Apa Hanni? Cepatlah Hanni," ujarnya tidak sabar. Aku hanya terkekeh.

"Awak boleh... Berikan ketenangan dalam hati seseorang. Kalau orang tengok awak je, terus hilang beban seseorang itu. Awak sempurna, Kameel," jawabku sambil tersenyum ke arahnya. Dia tidak terkejut melainkan senyum tersipu malu ke arahku.

Dia menunduk ke bawah lalu tangannya bermain dengan pasir pantai yang lembut.

"Hanni tipu," ucapnya perlahan. Jelas dia tak percaya akan perkataan aku.

Love From Mr. PerfectOnde histórias criam vida. Descubra agora