7 YUSUF BALQIS

215 38 5
                                    

JARI jemari Yusuf bertaut erat dengan jari jemari sejuk Natasha. Yusuf memejamkan mata erat sambil merehatkan kepala di birai katil. Katil yang menempatkan tubuh kaku Natasha di hospital tersebut. Alat bantuan pernafasan dipasang pada hidung Natasha yang masih tidak sedarkan diri.

Kata doktor, dia bernasib baik kerana membawa Natasha ke hospital lebih pantas. Jikalau tidak, pasti nyawa wanita itu sudah di hujung tanduk. Walaupun tadi keadaan Natasha seperti tidak dapat diselamatkan namun doa adalah kunci segalanya. Tidak berhenti dia berdoa bersama solat hajat supaya Natasha baik-baik sahaja.

Simptom-simptom yang ditunjukkan oleh tindak balas tubuh Natasha bahawa wanita itu mempunyai alergik terhadap makanan yang telah ditelan olehnya sebelum pengsan. Ubat anti keradangan telah disuntik bagi mengurangkan bengkak kemerahan di tubuh Natasha daripada terus merebak.

Bengkak yang semakin surut membuktikan suntikan itu berkesan. Doktor dapat menyimpulkan bahawa Natasha alergik pada makanan laut tetapi rawatan lanjut akan dilakukan setelah wanita itu menyedarkan diri.

Yusuf kesal akan dirinya yang baru menerima fakta baharu tentang Natasha. Bagaimana dia seorang suami tidak tahu tentang alergik yang dimiliki oleh isterinya sendiri? Selama ini dia memikirkan Natasha hanya tidak gemar memakan ikan jadi dia akan mengelak untuk membeli sebarang lauk ikan untuk wanita tersebut.

"Saya minta maaf," Tidak henti bibirnya menuturkan kata maaf sejak Natasha ditempatkan di dalam wad itu walaupun tidak mendapat respon daripada isterinya.

Sudah tiga jam berlalu, Natasha masih tidak menunjukkan tanda-tanda untuk menyedarkan diri walaupun keadaannya sudah semakin stabil. Luluh hati Yusuf melihat wajah yang sentiasa garang itu sedang berwajah pucat tidak berdarah. Wajah lesu tidak bermaya.

Kucupan dilabuhkan pada belakang tangan sejuk Natasha buat sekian kalinya. Yusuf amat kesal dengan perbuatannya yang meninggalkan wanita itu sendirian untuk tempoh yang lama. Kalau tidak, pasti perkara ini tidak akan berlaku. Dia berbual panjang dengan Hajar sehingga tidak sedar bahawa Natasha sedang menantinya.

"Tak nak bangun ke?" rintihnya perlahan.

Kalau boleh diputarkan balik waktu, Yusuf pasti akan membawa Natasha bersamanya. Dia tidak menjangkakan semua ini. Tambahan pula, keluarganya keluar meninggalkan wanita itu seorang diri lagi meluluhkan hatinya. Natasha sakit seorang diri, tanpa orang lain di sisinya.

Sentuhan lembut pada bahu Yusuf membuatkan dia berpaling ke sisi. Wajah lembut Puan Aminah menyapa matanya. Lantas dia berdiri dan menyalami ibunya.

"Yusuf balik dulu, ya? Biar ibu jagakan Tasha pula," pelawa Puan Aminah.

Yusuf memandang sekilas kelibat adiknya, Aisyah di sisi Puan Aminah. Gadis kecil itu menunduk saja tanpa mendekati mereka. Seperti telah membuat satu kesalahan besar.

"Tak nak, Yusuf nak tunggu sampai Balqis sedar," serak suaranya menolak.

Yusuf kembali merenung tubuh kaku Natasha. Dia menolak pelawaan ibunya untuk menunggu Natasha menyedarkan diri. Dia mahu apabila wanita itu mencelikkan mata, dia orang pertama yang akan memenuhi ruang mata Natasha.

Tersenyum Puan Aminah melihat Yusuf yang enggan meninggal Natasha walau hanya seketika. Syukur dia melihat Yusuf yang begitu mengambil berat tentang Natasha namun lelaki itu harus ingat bahawa dia bukan hanya memiliki Natasha sebagai isteri malah Hajar juga merupakan isterinya.

Puan Aminah tidak mahu Yusuf terlalu memberi perhatian terhadap Natasha sehingga mengabaikan Hajar. Isteri pertamanya juga memerlukan perhatian.

"Balik lah dulu. Tukar pakaian, bersihkan diri semua. Nanti datang sini semula bawa keperluan Tasha. Mak dengan Aisyah boleh jagakan Tasha sementara kamu balik," pujuknya lagi.

YUSUF BALQISWhere stories live. Discover now