9 YUSUF BALQIS

200 33 6
                                    

NATASHA mencelikkan mata apabila terasa sejuk di seluruh tubuhnya. Puan Aminah yang sedang mengelap tubuhnya menggunakan tuala lembap memenuhi ruang mata. Wanita tua itu masih tidak menyedari dia sudah terjaga daripada lena. Dia merenung setiap gerak geri Puan Aminah yang tekun menurunkan suhu badannya.

Keprihatinan Puan Aminah menyentuh tangkai hati Natasha. Dia tidak sangkakan Puan Aminah sanggup menjaganya walaupun dia hanya menantu hantu. Tidak pedulikah wanita tua itu dengan apa yang telah dia lakukan kepada keluarga mereka sebelum ini?

Keluarga mereka mendapat malu kerananya tetapi mereka masih memberi layanan yang baik. Bukankah mereka sepatutnya gembira apabila dia ditimpa musibah seperti ini? Hanya perlu menunggu berita kematian sahaja.

Puan Aminah berpaling apabila terasa dirinya diperhati. Lorekan senyuman ditarik lebar melihat Natasha sudah bangun daripada tidurnya yang panjang. Kain lembap itu diletakkan ke dalam bekas yang terisi air. Suhu badan Natasha sudah kian menurun kepada tahap normal.

Keadaan suhu tubuh Natasha sentiasa dipantau agar demamnya tidak berpanjangan. Tidak ada satu saat dia meninggalkan Natasha bersendirian. Ada waktu yang memerlukan dia meninggalkan Natasha, dia akan meminta Yusuf atau Aisyah untuk mengambil tugasnya sebentar.

Dahi bersih Natasha disentuh untuk memastikan suhu sudah normal.

"Lama Tasha tidur. Lapar?" Soal Puan Aminah. Mahu tidak lapar? Seharian wanita itu tidur tanpa menjamah makanan.

Berkelip kelopak mata Natasha melihat keperhatinan Puan Aminah. Dia mengangguk perlahan. Tidak mahu menindikkan bahawa sekarang dia sedang lapar. Jual mahal nanti dia akan kelaparan.

"Ibu ambilkan makanan sekejap. Ibu buat ayam masak lemak hari ni, Tasha suka?"

Natasha mahu menggeleng tetapi kesiankan ibu mentuanya untuk memasak lauk lain. Dia bukan tidak sukakan masak lemak tetapi hari ini tekaknya terasa mahu makan satu lauk yang telah lama menjadi masakan kegemarannya.

Melihat kebisuan Natasha, Puan Aminah mengatur langkah keluar. Dia membawa dulang yang berisi nasi dan lauk masak lemak bersama minuman soya untuk Natasha. Kata Yusuf, minuman tersebut dibeli khas untuk Natasha memandangkan wanita itu amat gemar meminumnya.

Masuk saja ke dalam bilik, Natasha sudah duduk bersandar di kepala katil. Puan Aminah duduk di birai katil sebelum bertindak menggaul nasi bersama lauk tersebut menggunakan tangan.

"Makan nasi dulu, ya? Tasha sakit kepala?" Tanya Puan Aminah terlebih dahulu.

Natasha mengangguk sedikit. Pandangan dihala pada tangan tua ibu mentuanya yang sedang menggaul nasi. Puan Aminah tidak kisah untuk menyuap menggunakan tangan padanya? Dia tidak pernah disuap oleh seorang bergelar ibu sepanjang hidupnya.

Rasa sebak yang hadir cuba dihapuskan agar tidak kelihatan dia terlalu menyedihkan.

"Kalau macam tu kena makan panadol. Makan nasi dulu, ibu suapkan,"

Natasha hanya menerima suapan yang dihulur oleh Puan Aminah walaupun dia berasa loya dengan bau masak lemak itu. Suapan demi suapan diterima walaupun bukan dengan keadaan rela. Sepinggan nasi dihabiskan tanpa sedar.

"Ibu masak tak sedap ke? Tasha macam tak suka tapi habis juga," Tegur Puan Aminah apabila perasan dengan riak wajah yang ditunjukkan oleh Natasha.

Walaupun sudah cuba disembunyikan oleh wanita itu tetap juga masih kelihatan. Namun begitu, Natasha menghabiskan juga. Mahu menjaga hatinya?

Panadol dihulurkan dan Natasha menyambutnya sebelum ditelan. Pahit.

"Sedap," Natasha menindakkan persepsi Puan Aminah.

YUSUF BALQISWhere stories live. Discover now