18 YUSUF BALQIS

359 34 4
                                    

AKIBAT tidak dapat menghilangkan kegelisahan membawa Yusuf pulang ke rumah ibu bapanya. Mahu memaklumkan berita gembira kepada ahli keluarganya tentang keberadaan Natasha. Salam yang dihulurkan disambut oleh Puan Aminah dan Fatimah yang berada di ruang tamu.

"Ha, Yusuf. Kenapa datang sini? Tasha tak balik lagi," maklum Puan Aminah terlebih dahulu. Dia yang ketika itu sedang menjahit kain batik yang terkoyak di tepi terhenti dengan kedatangan Yusuf.

Walaupun Yusuf tidak memberitahu tujuannya kemari tetapi sudah dapat diagak. Tambah pula dengan riak yang ditayang oleh anak sulungnya itu. Tak lain tak bukan pasti sedang mencari isteri keduanya.

Yusuf menayang sengih sedikit. Punggung dilabuhkan pada sofa setelah mencium tangan Puan Aminah. Sempat tangan menggosok perlahan ubun-ubun Fatimah tanda menyapa. Gadis itu hanya menjeling pasrah. Suara televisyen diturunkan bagi menumpukan perhatian terhadap perbualan Yusuf.

"Yusuf tahu. Balqis dah jawab call Yusuf, dia cakap dia balik Cyberjaya," ujar Yusuf dengan nada teruja.

Puan Aminah dan Fatimah memandang sesama sendiri sebelum menarik senyuman.

"Kami dah tahu," balas Fatimah bersahaja.

"Tasha bagitau Fatimah lepas sampai," sambung Puan Fatimah pula apabila perasan dengan perubahan riak wajah Yusuf.

Fatimah diminta untuk tidak memberitahu Yusuf tentang keberadaannya kerana Natasha sendiri mahu memaklumkan sendiri jika sampai masa. Jadi, Fatimah tiada pilihan hanya bersetuju. Fatimah tidak mahu hilang jejak Natasha jika dia berdegil dengan permintaan wanita itu.

"Kenapa tak bagitau abang long?" soal Yusuf dengan nada kurang senang. Adakah dia menjadi orang terakhir yang mengetahui keberadaan Natasha?

Sisi wajah Fatimah yang tidak berpaling dari drama yang bertayang di kaca televisyen dipandang lama.

"Saja, nak tengok kau meroyan," balas Fatimah dengan nada bersahaja. Sengaja mahu menambahkan perencah.

Fatimah tidak memberitahu bahawa itu permintaan Natasha sendiri. Dia tidak mahu Yusuf berburuk sangka dengan wanita itu. Fatimah juga pasti permintaan yang diajukan mempunyai sebab yang tersendiri.

Puan Aminah menggeleng melihat tingkah Fatimah yang sengaja mahu mengenakan abangnya. Suka benar Fatimah melihat Yusuf dalam keadaan tidak tentu arah.

"Tasha tak apa-apa dekat sana. Yusuf jangan risau sangat," Laju Puan Aminah menyampuk bagi menghilangkan rasa tidak tenang yang hadir dalam diri Yusuf.

"Yusuf rasa nak ke Cyberjaya," beritahu Yusuf tentang niatnya. Tidak berfikir panjang ketika mengajukan permintaan tersebut.

Hanya kerana Natasha lambat memaklumkan padanya. Yusuf beranggapan wanita itu masih menyimpan perasaan marah terhadapnya.

"Balqis masih marahkan Yusuf sebab tu Yusuf nak pergi rumah dia. Nak pujuk. Nanti kalau dia tak balik sini dah macam mana?" terangnya pula apabila melihat Puan Aminah dan Fatimah seakan tidak mengerti dengan permintaan yang dibuat.

"Lepas tu, kau ingat kau pergi sana dia akan maafkan kau? Jangan keruhkan keadaan. Dia dah jawab call kau tu kira bagus lah. At least kau tahu dia selamat. Nanti dia dah tenang dia balik lah. Siapa suruh lebihkan isteri tua," marah Fatimah. Ayat terakhir ditutur dengan nada rendah. Tidak mahu tangan ketam Puan Aminah hinggap pada lengannya yang terdedah.

Yusuf terdiam. Ada betulnya juga apa yang diperkatakan oleh Fatimah. Tangan naik meraup wajah. Sungguh rindu yang hadir terhadap Natasha tidak dapat ditahan. Sesaat tiada kelibat Natasha di hadapan mata sudah mampu membuat dia haru apatah lagi beberapa hari lamanya.

YUSUF BALQISWhere stories live. Discover now