15 YUSUF BALQIS

216 27 4
                                    

ENCIK MUTTALIB menggeleng kepala melihat Yusuf yang menonong berjalan di hadapan. Selesai solat subuh berjemaah di surau, Yusuf tergesa-gesa mahu pulang ke rumah. Apabila ditanya, Yusuf hanya mengusap belakang leher sambil mengemam bibir. Tiada niat untuk jujur kepadanya.

Namun, Encik Muttalib sudah mengafal setiap tingkah laku anak-anaknya. Sudah sampai di pengetahuannya bahawa Natasha melancarkan mogok terhadap Yusuf. Oleh sebab itu, anak lelaki sulungnya itu seperti ayam berak kapur. Tidak mampu menenangkan diri.

Tiga hari ketiadaan Encik Muttalib dan Puan Aminah mampu menciptakan begitu banyak peristiwa. Mereka mengetahui bahawa Natasha merajuk dengan Yusuf semasa melintasi bilik Fatimah. Anak gadisnya itu sedang berbual atau lebih tepatnya bercerita bersama Aisyah.

Punca perkara tersebut berlaku tidak diketahui oleh mereka. Tidak pula mahu bertanya lebih lanjut. Urusan rumah tangga anak dan menantunya biar mereka selesaikan sendiri. Jikalau terlampau melarat, mereka bakal turun tangan dan memberi nasihat. Setakat merajuk manja, mereka sendiri pernah lalui.

Bukan masalah besar bagi mereka.

Yusuf berkerut melihat halaman rumah ibu bapanya. Hanya terdapat keretanya sahaja. Kereta Natasha yang awalnya terparkir elok di sebelah keretanya tidak kelihatan sama sekali. Mata melilau ke arah lain untuk mencari keberadaan kereta tersebut. Mana tahu Natasha menukar kedudukan kereta. Tetap juga sama, tiada.

Jantung Yusuf berdegup bersama rasa tidak enak. Sedaya upaya dia menolak prasangka buruk yang hadir dalam dirinya. Tangga kayu didaki laju dan bergerak ke dapur. Ingin bertanya pada Puan Aminah.

"Kenapa Yusuf? Mengah je nampak," soal Puan Aminah yang sedang mengelap pinggan. Dia baru saja selesai menyediakan sarapan.

Pelik melihat Yusuf yang seperti cacing kepanasan. Yusuf menelan liur kesat. Mata dipejam untuk seketika. Nafas yang agak berantakan cuba diatur kembali. Pandangan dihala pada Puan Aminah yang sedang menyusun pinggan di rak.

"Ibu, Balqis ada cakap nak ke mana-mana ke?"

Pertanyaan yang diaju oleh Yusuf menciptakan kerutan di dahi Puan Aminah. Setahunya Natasha masih berada di dalam bilik. Sejak tadi kedatangan Natasha di dapur dinanti oleh Puan Aminah. Mungkin masih dibuai mimpi. Tidak pula dia memeriksa keberadaan wanita itu di bilik tidur.

Sudah menjadi kebiasaan Natasha untuk bangun lewat.

"Tak ada pula. Tasha tak bangun lagi rasanya. Daripada tadi ibu tunggu dekat dapur, dia tak datang," balas Puan Aminah. Jawapan yang diberikan oleh Puan Aminah menandakan ibunya tidak tahu dan tidak perasan dengan pemergian Natasha.

Yusuf menggeleng. Wajah diraup bersama perasaan bercampur baur. Lemah tubuhnya dirasakan saat ini.

"Kereta Balqis tak ada dekat luar, ibu," lirih dia menyatakan sebelum dia membawa diri.

Bilik tidur mereka dituju bersama perasaan bercampur baur. Buka saja pintu, ruang bilik yang tersusun kemas menyapa pandangan. Langkah longlai diatur ke arah almari baju. Semangat merundum apabila telahannya tepat mengena. Beg pakaian Natasha tiada bersama pakaian yang ditinggalkan hanya beberapa helai.

"Allahuakbar," hanya kalimah suci itu yang mampu dia ucapkan ketika ini.

Berundur langkah kaki lemah Yusuf sebelum terduduk di birai katil. Kopiah putih yang berada di kepala ditanggalkan. Tangan naik meraup wajah bersama keluhan kecewa. Baru tadi dia mahu membuang perasaan tidak enaknya menjauh. Fikirnya, Natasha hanya keluar sebentar untuk mengambil angin pagi.

Sudah kali kedua wanita itu pergi tanpa pengetahuannya. Tidak dapat disangkal bahawa kesalahannya terhadap Natasha cukup besar sehingga mampu meragut nyawa isterinya. Namun, pemergian secara mengejut ini mampu merudumkan jiwanya. Sekurang-kurangnya Yusuf perlu tahu keberadaan Natasha.

YUSUF BALQISWhere stories live. Discover now