BAB 12

1.2K 68 3
                                        

"Aya."

Spontan Syafiq ketawa mengekek melihat Maya yang sedang memakai kostum maskot beruang itu. Maya langsung tidak berkecil hati, malah dia suka menjadi sebab Syafiq ketawa lepas. Tak pernah dia lihat Syafiq tertawa sebegitu gembira seperti hari ini.

"Comel kan?" Maya menepuk perut beruangnya berulang kali.

"Kenapa pakai macam ni?" Syafiq masih tersisa tawa, tetapi lebih terkawal kali ini. Kepala beruang tadi disentuhnya lembut.

"Saja nak bagi kejutan. Tahu tak, betapa strugglenya I memandu sambil pakai macam ni... Nasib baik you terhibur." Maya tersenyum puas. Kelihatan Syafiq terharu dengan usaha Maya yang sentiasa berusaha membuatkan hatinya gembira tanpa memikirkan hal-hal yang mengundang duka di jiwanya.

"Suka... Nampak comel bila awak pakai." Puji Syafiq jujur. Pipi Maya berona merah, sementara anak matanya melirik ke arah kedua orang tuanya yang turut tersenyum melihat keakraban mereka berdua.

"Mak, ayah... Ini Maya. Kawan Syafiq." Syafiq memperkenalkan Maya pada seluruh ahli keluarganya.

Tanpa ragu, Maya terus menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan emak Syafiq. Puan Zaharah tersenyum lebar melihat keceriaan Maya. Bunga juga turut mendekati dan menyambut tangan Maya.

"Kak, kita tak boleh nak cium... sebab ni tangan beruang." bisik Bunga lembut.

Maya ketawa kecil, lalu dia mencium pipi Bunga sekilas. Syafiq terpana seketika melihat kelakuan spontan Maya, detak jantungnya terasa laju melihat sisi mesra Maya yang tak terduga itu. Maya pamirkan senyuman manis ke arahnya, seolah memahami reaksi Syafiq tadi.

"Kenapa pandang macam tu?" Maya bertanya, membuatkan Syafiq menggeleng perlahan, namun pandangannya tak lepas dari wajah Maya.

Maya masih menguntum senyuman.

"Keluarga awak, keluarga saya juga... kan?" Tambahnya lagi. Mata mereka saling bertemu dalam tatapan intens, seolah menanti jawapan Syafiq.

Syafiq menarik nafas dalam, cuba menyembunyikan senyuman yang hampir terbit. Tak tahu kenapa, makin hari dirinya lebih selesa bila bersama Maya.

"Terima kasih untuk hari ni."

Maya mengangguk perlahan, namun dalam hatinya, dia bersyukur kerana usahanya dihargai. Dia yakin, lambat laun hubungan antara dia dan Syafiq akan terjalin lebih akrab dari sekarang, dan bukan sekadar seorang kawan sahaja.

----

Althea tersenyum tawar menatap beberapa gambar Syafiq yang dimuat naik oleh Maya di media sosial. Kebahagiaan jelas terpancar di wajah lelaki itu, seolah-olah meneguhkan sangkaannya selama ini yang Syafiq dan Maya sudah mula mengukir kisah cinta mereka sendiri.

Kedua-dua keluarga mereka pun kelihatan begitu mesra. Berbanding hubungannya dahulu, memang sukar untuk memperkenalkan Syafiq kepada ayahnya yang sentiasa bersikap tegas dan keras pada semua orang, apatah lagi ketika dia mengetahui Althea sudah mempunyai teman lelaki.

Althea menggenggam telefon dengan tangan yang sedikit menggigil. Pandangannya kabur seketika, namun dia tetap memaksa dirinya untuk terus melihat gambar-gambar itu, walau setiap senyuman bahagia Syafiq dan Maya terasa bagai menambah beban di hatinya. Rasa sesak yang mula menghimpit dada semakin tak tertanggung.

Tiba-tiba, tubuhnya terasa lemah, dan jantungnya berdegup lebih kencang. Nafasnya semakin pendek, dan pandangannya mulai berpinar. Althea menggenggam dadanya, cuba menahan rasa sakit yang mencengkam.

Dalam kekalutan, dia mendail nombor Khairul, namun tiada jawapan. Akhirnya, dia hanya mampu terduduk di lantai, terkulai lemah sambil air mata menitis tanpa disedarinya.

Kau Yang Ku Nanti (COMPLETED)Where stories live. Discover now