"Sudahlah, janganlah menangis." Hud memujuk isterinya yang sudah tersedu sedan. Sesekali, bahu Bunga diusap lembut oleh suaminya, cuba meredakan tangisannya.
"Nak jumpa Kak Maya." rintihnya perlahan,
“Awak yakin ke, coklat-coklat ni semua daripada Kak Maya?” tanya Hud, nada suaranya penuh ingin tahu. Matanya memerhati wajah Bunga, yang kini sudah mengangguk laju.
“Kak Maya tahu apa yang saya suka. Dia pernah janji nak bagi saya benda ni bila saya dah kahwin nanti… Saya ingatkan dia cuma bergurau, saya rasa bersalah sebab pernah bertekak dengan dia dulu.” Bunga menunduk lagi, jemarinya perlahan-lahan menyentuh sekotak coklat yang terletak di pangkuannya.
“Minta tolong Kak Nina, tanya dia macam mana nak jumpa Kak Maya. Dan berhentilah menangis, saya tak suka tengok awak macam ni... Hilang dah seri pengantin.” ujar Hud lembut, namun tegas.
Bunga mengemam bibir, cuba menahan emosinya. Sekilas, matanya menangkap pantulan dirinya di cermin yang tergantung di hadapan. Gaun pengantin yang masih membaluti tubuhnya kini tampak kurang berseri dengan wajahnya yang basah dek air mata.
Dia menarik nafas perlahan. Lalu, perlahan-lahan dia menoleh ke arah Hud.
“Hilang seri pengantin? Maksudnya saya dah tak cantik?” soal Bunga panjang lebar, nada suaranya sedikit merajuk.
Hud hanya ketawa kecil sambil menggeleng.
“Bukan macam tu, sayang. Maksud saya, mekap awak ni... nanti habis hilang kalau terus menangis macam ni." jawabnya lembut, cuba memujuk seraya menyeka air mata yang membasahi pipi wanita itu.
“Awak takut mekap saya hilang sebab apa? Sebab saya tak cantik kalau tak pakai mekap?” Bunga terus membebel, meskipun air matanya masih bersisa.
Hud menggaru kening yang tak gatal, bibirnya tersenyum sumbing. Mula dah perangai isteri aku ni, bisiknya dalam hati, sambil memerhati tingkah Bunga yang penuh emosi.
Tangannya mencapai sebiji coklat berbentuk bulat dari dalam kotak itu. Dengan tenang, dia membuka balutannya perlahan-lahan, membiarkan telinganya menerima setiap patah bebelan Bunga yang entah di mana titik akhirnya. Semua ini hanya kerana dia menyuruh Bunga untuk berhenti menangis, lalu berlanjutan sampai ke soal kecantikan.
Hud tersenyum lagi, kali ini lebih ikhlas. Baginya, inilah warna sebenar rumah tangga, penuh cerita kecil yang kelak akan jadi kenangan manis buat mereka di hari tua.
“Macam ni eh perangai awak? Baru je sejam tadi awak akad nikah depan ayah. Mata tak lepas pandang saya lah, puji itu ini lah, rupanya awak lebih pentingkan paras rupa...—”
Belum sempat Bunga menghabiskan ayatnya, Hud dengan selamba menyumbat coklat yang dipegang tadi ke dalam mulut isterinya.
Bunga terdiam, matanya merenung tajam ke arah Hud. Namun, coklat itu tetap dikunyah olehnya perlahan, tanda protes yang tak sampai ke hati. Hud tersenyum kecil.
“Bohonglah kalau lelaki tak pandang paras rupa. Sedangkan Nabi Muhammad sendiri menyebut kecantikan wanita sebagai salah satu sebab untuk dinikahi…” ujar Hud, sambil tangannya tak henti-henti menyuap coklat ke mulut Bunga.
“Tapi walaupun awak cantik, itu bukan sebab utama saya jadikan awak isteri saya, Apa yang buat saya yakin adalah sifat awak. Cara awak layan orang sekeliling, cara awak jadi hamba yang taat kepada Allah… Itu yang paling memikat hati saya. Awak solehah di mata saya, dan saya percaya zuriat-zuriat kita nanti akan terdidik dengan baik dalam jagaan awak.”
sambung Hud lagi seraya memandang isterinya yang kini menikmati coklat dengan penuh selera. Kata-kata itu bukan sekadar pujian, tetapi doa yang terselit dalam sanubari seorang suami.

YOU ARE READING
Kau Yang Ku Nanti (COMPLETED)
FanfictionLeftenan komander Shafiq Ilham x Imaya Adelina "Penantian itu bermakna jika dia pengakhirannya." - + Sequel Bunga Untuk Leftenan ATTENTION - Sebelum baca cerita ni, pastikan khatam cerita Bunga Untuk Leftenan dahulu.