BAB 39

1.2K 73 12
                                        

Sofa di ruang tamu itu menjadi pilihan Shafiq untuk labuhkan punggung, tubuhnya tertunduk lemah, air mata mengalir tanpa henti. Tiada suara, hanya esakan yang sesekali pecah mengisi ruang sepi. Di sampingnya, Encik Megat duduk dengan wajah sendu, turut merasakan duka yang mencengkam jiwa atas kehilangan cucunya.

"Sabar, Fiq. Reda dengan ujian Allah." ujar ayahnya, sambil memeluk bahu Shafiq sederhana.

"Irfan terlalu muda untuk tinggalkan Shafiq, ayah..." Suara Shafiq serak, hampir tenggelam dalam kesedihannya.

"Nak... Kematian tak pernah memilih usia. Bila Allah menjemput, tiada siapa mampu menahannya. Kita sebagai hamba-Nya, hanya mampu reda." balas Encik Megat, nada suaranya mengandungi hikmah yang mendalam.

Shafiq terdiam. Matanya yang sembab dikesat sesekali dengan hujung tangan.

"Bukan Shafiq seorang yang merasa kehilangan, nak. Kami juga merasakan pedih yang sama. Irfan... dialah penyeri keluarga kita. Tapi, Allah lebih menyayangi dia. Kita hanya perlu reda. Allah Maha Mengetahui segalanya." pujuk Puan Zaharah lembut, cuba meredakan hati anak sulungnya.

Shafiq mengangguk kecil, tanda cuba berdamai dengan takdir. Dia menarik nafas panjang, memperbetulkan duduknya, lalu mempamerkan senyuman hambar untuk memberi ketenangan kepada kedua orang tuanya.

"Maya mana? Mak risaukan dia." tanya Puan Zaharah, matanya melilau mencari kelibat menantunya.

Shafiq tidak menjawab. Pertanyaan itu akhirnya dijawab oleh Zambri.

"Tadi Zam nampak Kak Maya naik atas terus," katanya ringkas.

---

Maya duduk di birai katil, sambil memeluk erat baju kecil milik Irfan. Matanya terpejam rapat, pipinya basah dengan linangan air mata yang tidak pernah kering. Sesekali baju itu dicium lama, seolah-olah cuba menyerap setiap kenangan yang tersisa. Itu baju terakhir yang pernah membalut tubuh kecil anaknya. Dari basah lenjun sehingga lembab, baju itu tetap dipeluknya erat, seolah-olah tidak mahu dilepaskan.

Dia tahu, selepas ini baju-baju itu akan dicuci. Jadi, Maya nekad menghabiskan sisa waktu yang ada untuk menghidu haruman terakhir anaknya.

TING!

Bunyi telefon Shafiq yang terletak di atas meja memecah keheningan. Sesekali berdering, menandakan panggilan dan mesej masuk tanpa henti. Maya melirik ke arahnya, dan jelas terpampang nama Tiya di skrin.

Tiya? Maya tersenyum sinis.

Pantas dia mencapai telefon itu, dan panggilan tersebut dijawab dengan bibir yang bergetar menahan geram.

"Hello? Shafiq? I’m too worried about you. Kenapa tak angkat call?"

Maya membiarkan percakapan itu tergantung tanpa balasan.

"Takziah untuk anak awak. Tapi... kenapa boleh jadi macam tu? Is it about kecuaian or what?"

Mata Maya membulat sebaik mendengar ucapan itu.

"Kecuaian? Apa maksud kau cuai?" suara Maya meninggi, dadanya turun naik menahan bara.

"Maya?"

"Kau tak malu ke telefon suami orang? Mana maruah kau? Kau sedar tak lelaki yang kau ganggu sekarang ni dah berkahwin? Atau kau memang sengaja nak musnahkan rumah tangga orang?" luah Maya dengan suara yang penuh amarah.

Pintu bilik terbuka tiba-tiba, membuatkan Maya berpaling. Shafiq melangkah masuk. Langkah pertama lelaki itu adalah ke arah telefon di tangan Maya. Dia menekan butang merah, memutuskan panggilan tersebut, lalu menghadiahkan pandangan tajam kepada isterinya.

"Kenapa jawab telefon tanpa izin saya?" tanyanya dingin.

Maya membalas renungan itu dengan pandangan tajam yang sama.

"Kenapa I perlu minta izin?" balas Maya singkat.

"Sebab saya suami awak, Maya." balas Shafiq tegas.

"Perlu ke I minta izin untuk angkat panggilan daripada perempuan yang terang-terangan nak hancurkan rumah tangga kita? Kalau you tak nak pertahankan hubungan ni, I masih ada hak untuk buat tu semua." Maya bersuara, nadanya bergetar.

"Awak tak habis-habis nak salahkan Althea. Dah berapa kali saya cakap, saya dengan dia dah tak ada apa-apa hubungan." Suara Shafiq semakin keras, seolah-olah menahan sabar.

Maya ketawa sinis.

"Jadi, you normalisasikan persahabatan antara lelaki yang dah berkahwin dan seorang perempuan? Kalau macam tu, I pun nak ada kawan lelaki."

"Maya, jaga pertuturan awak." Shafiq memalingkan wajahnya, rahangnya kelihatan tegang menahan geram.

"Better you suruh perempuan tu jaga percakapan dia. Dia tuduh I penyebab kematian Irfan. Where's her bloody brain at?" Maya masih dengan bicaranya

"Memang betul pun awak punca Irfan meninggal. Kalau bukan kecuaian awak, dia tak akan jatuh ke kolam tu." tuduh Shafiq tanpa berlapik.

Kata-kata itu menikam jiwa Maya. Air matanya bercucuran deras, sukar untuknya mempercayai tuduhan yang dilontarkan oleh suaminya sendiri.

"I... I sempat selamatkan Irfan. I sempat bagi bantuan pernafasan kat Irfan. Kenapa you tuduh I macam ni?" Suara Maya mula teragak-agak.

"You know nothing about CPR, Maya. Awak bukan Althea, dan sampai bila-bila pun awak tak akan boleh jadi dia!" bentak Shafiq.

Sejenak Maya terdiam, memandang suaminya dengan mata berkaca-kaca, penuh rasa kecewa.

"Kalau you panggil Althea sekalipun, anak I takkan hidup balik, Shafiq. How could you tunding semua salah tu kat I?" Kata Maya.

Shafiq tergamam sejenak apabila mendengar namanya diseru oleh Maya. Sepanjang perkahwinan mereka, inilah kali pertama wanita itu menyebut nama Shafiq, petanda bahawa kesabaran Maya sudah tiada batasnya lagi.

"I tinggalkan semuanya demi you. Berulang kali email I terima dari pihak guaman untuk lantik I dalam beberapa kes, tapi I tolak semua tu sebab I respect you. I tahu, tak semua lelaki yang egonya rendah dan mampu menerima hakikat bila isterinya bekerja." ujar Maya, bibirnya diketap erat.

"I lebih memilih untuk jadi suri rumah sepenuhnya sebab nak jaga you dan Irfan... sampai satu tahap, I tak mampu nak handle semua kerja, dan I terpaksa berehat tanpa fikir kesihatan I sendiri... Dan you sebagai suami, you ada tanya I? You ada bantu I? Let me hear that answer straight from your own lips."

Maya mengakhiri kata-katanya, memberi ruang bagi Shafiq untuk memberi penjelasan, namun lelaki itu hanya diam membisu, tidak mampu menangkis setiap kata yang terlontar dari bibir isterinya.

"Itu pun you still nak salahkan I... I harap one day, you akan rasa apa yang I rasa... Bila orang yang you sayang sepenuh hati terbaring lemah di depan mata you, dan waktu tu... You tak mampu nak buat apa-apa sebab takut untuk bertindak lebih jauh. Then, let's see... You masih nak tunding kesalahan pada diri sendiri atau tidak." ujar Maya, dengan pandangan tajam, sebelum beredar dengan langkah cepat, meninggalkan Shafiq yang kaku di situ.

Shafiq terduduk di atas sofa, seraya meraup wajahnya yang penuh kekeliruan. Ketika perasaan bersalah dan kebingungan menghentam jiwa, kesan itu begitu mendalam, seolah-olah mampu menghancurkan kesabaran yang selama ini ada pada seorang lelaki sekuat dirinya.

Kau Yang Ku Nanti (COMPLETED)Where stories live. Discover now