"Aya kuat untuk abang ya? Abang dan Fiya kat sini... Tunggu Aya."
Shafiq mengusap dahi isterinya dengan penuh kasih, berusaha memberi sedikit semangat kepada Maya yang kelihatan lemah. Ahli keluarganya yang lain juga berdiri di situ, masing-masing menyimpan harapan agar pembedahan itu berjaya.
Maya mengangguk perlahan, tangan kanan Shafiq diraih dengan lembut, dan dicium beberapa saat, seolah-olah menyampaikan segala rasa yang tidak mampu terungkapkan dengan kata-kata.
"Abang doakan saya tau, ampunkan segala dosa-dosa saya pada abang." Kata Maya. Shafiq mengangguk dengan deraian air mata yang tak pernah berhenti.
"Abang ampunkan segala dosa isteri abang, doa abang... Sentiasa ada untuk Aya." balas Shafiq, yang membuatkan Maya mengukir senyuman kecil.
"Abang, tunggu Aya dekat luar." Balas Shafiq. Maya tidak memberi respon apa-apa, melainkan menguntumkan senyuman kelat pada suaminya. Selesai dahi wanita itu dikucup oleh Shafiq, beberapa jururawat mula mendorong katil untuk masuk ke bilik pembedahan.
Shafiq hanya mampu merenung kelibat Maya yang semakin menjauh dari pandangannya, setiap langkahnya terasa begitu berat di hati. Tak lama selepas itu, kelibat Nina yang sudah lengkap dengan pakaian pembedahan muncul, menyapa pandangan seluruh ahli keluarga yang hadir.
"Nina..." Seru Shafiq, Nina menoleh sambil anggukan kepala seakan faham maksud lelaki itu.
"Banyakkan berdoa, along. Nina cuba yang terbaik." Balasnya.
Nina melangkah masuk ke dalam bilik itu, dan sebelum pintu ditutup rapat di belakangnya, Shafiq sudah pun mengambil tempat di bangku yang terdekat. Dengan tangan menongkat dahinya, resah menyelubungi diri. Seluruh perasaannya mula berkecamuk, terperangkap dalam kecemasan yang membelenggu fikirannya tentang keadaan Maya.
"Fiq, banyak-banyakkan berdoa ya nak." Encik Megat duduk di samping, sambil menepuk lembut bahu anak sulungnya itu.
Hampir dua jam berlalu sejak pembedahan itu dimulakan, akhirnya pintu bilik pembedahan dibuka. Nina muncul di ambang pintu dengan wajah yang sedikit lelah.
Shafiq segera bangun, riak mukanya berubah tegang bercampur dengan kegelisahan yang jelas terbayang. Langkahnya cepat menghampiri Nina, hatinya penuh harapan, menanti berita baik dari adik iparnya itu.
"Macam mana keadaan Maya?" Tanyanya, seiring menjeling ke arah bilik pembedahan sekilas.
"Anak along selamat, sedangkan keadaan Maya, kritikal buat masa sekarang... Sebab plasenta terpisah sepenuhnya yang menyebabkan pendarahan semakin teruk." Beritahu Nina, yang menggantungkan separuh bicaranya.
Shafiq mula tak tentu arah. Hatinya seakan mendesak, dia hanya mahu mengetahui keadaan Maya sahaja.
"Kita hanya boleh bergantung dengan kekuatan tubuh Maya sendiri, insyaAllah semuanya akan baik. Cuma..." Nina mengemamkan bibir.
"Cuma lepas ni, mungkin Maya dah tak boleh nak mengandung lagi. Rahim dia teruk terjejas disebabkan pendarahan teruk yang dia alami." Sambung wanita itu.
Shafiq menarik nafas dalam, cuba menenangkan hatinya yang berkecamuk. Pandangan matanya yang sayu tertumpu pada jendela kecil, tempat dia dapat melihat kelibat Maya yang terbaring di dalam. Dalam keheningan itu, dia terus memanjatkan doa, mengharap kesihatan isterinya kembali pulih. Walaupun takdir hanya mengurniakan mereka dua cahaya mata, baginya itu sudah lebih dari mencukupi. Kesihatan Maya jauh lebih bermakna, dengan kekurangan Maya seperti itu tidak akan mengubah rasa cintanya malah makin bertambah dari sebelum ini.
----
Shafiq duduk bersandar di atas pasir pantai, membiarkan pandangannya dihidangkan oleh keindahan laut yang membiru. Ombak yang setia memukul pesisir seakan-akan berbisik, mendamaikan hatinya. Angin sepoi-sepoi lembut menyapa wajah lelaki itu, membuatkan Shafiq memejamkan mata sesaat, mengiringi satu keluhan yang dilepaskan bersama nafas panjang.

YOU ARE READING
Kau Yang Ku Nanti (COMPLETED)
FanfictionLeftenan komander Shafiq Ilham x Imaya Adelina "Penantian itu bermakna jika dia pengakhirannya." - + Sequel Bunga Untuk Leftenan ATTENTION - Sebelum baca cerita ni, pastikan khatam cerita Bunga Untuk Leftenan dahulu.