Bunga melangkah perlahan di atas jeti Resort Dive Pulau Lanyakan, matanya terkebil-kebil memerhati keindahan alam di sekeliling. Sesekali, dia berpusing, seolah-olah enggan melepaskan walau seinci pun pemandangan itu daripada tatapanya. Di belakang, Hud yang sibuk mengangkat beg bagasi hanya mampu tersenyum lebar, melihat gelagat isterinya.
“Cantiknya, sayang! Tiba-tiba rasa macam nak jadi duyung pula!” ucap Bunga penuh teruja.
"Ingat awak tu Aspalela ke?" usik Hud sambil memulas tombol pintu bilik mereka, wajahnya terselit senyuman siring.
"Kalau saya Aspalela, habis tu awak siapa? Jimmy?" Bunga membalas sambil mengejar wajah suaminya yang sibuk membuka pintu. Hud spontan tergelak kecil.
"Takkan awak nak saya jadi Kordi?" balas Hud pula, selamba sambil menjeling ke arah isterinya.
"Tak, saya nak awak jadi Orix!" Bunga membalas sambil tergelak besar. Dia memukul lembut bahu Hud, tidak mampu menahan geli hati bila melihat suaminya yang sengaja memasang wajah jengkelnya, dengan bibir dijuihkan ke depan.
"Kejamnya isteri saya ni, tak baik tau buat suami awak macam ni." keluh Hud perlahan, suaranya sengaja dilembutkan, seolah-olah memancing simpati.
Bunga tersengih kecil, senyum nakalnya bertukar menjadi wajah acah-acah comel. Dengan penuh manja, dia memaut lengan Hud erat, seakan mahu memujuk. Dalam diam, Hud hanya menghela nafas panjang, namun hatinya sudah lama cair dengan gelagat manja isterinya itu.
“Kita gurau je, B. Awak terlalu kacak untuk disamakan dengan Orix... Kalau awak Orix, saya pun Orix juga.” pujuk Bunga dengan nada mengada-ngada yang selalu mencuit hati Hud. Terbatal niatnya mahu merajuk terlalu lama. Bertuah punya bini!
Sebaik sahaja pintu bilik dibuka, mata mereka disapa oleh keindahan yang memukau. Sebuah katil megah tersergam, dihiasi dua figura angsa yang sedang bercinta, dibentuk daripada tuala putih bersih. Taburan kelopak mawar merah melatari ruang katil itu, mencipta suasana yang penuh romantik dan estetik. Bunga terdiam sejenak, terpegun dengan pemandangan di depan matanya.
“MasyaAllah, comelnya!” kata Bunga yang sudah laju melabuhkan punggung di birai katil, matanya tak henti-henti menatap dua angsa yang menghiasi katil mereka. Selepas itu anak matanya beralih, meneliti di setiap sudut dekorasi bilik yang memang ditempah khas untuk bulan madu mereka.
Hud turut mengambil tempat di sampingnya, senyuman nipis menghiasi wajah lelaki itu.
“Saya minta maaf, sayang. Dah sebulan kita kahwin, baru sekarang saya ada masa nak bawa awak honeymoon.” ucapnya perlahan, ada nada bersalah yang terselit di hujung suaranya.
Bunga tayang sengih, seraya menggelengkan kepala. Dengan maksud, dia tak apa-apa.
“Saya kan kahwin dengan lelaki yang mengabdikan diri dan jasa pada negara...” tuturnya lembut.
“Itu bermaksud... saya terima dan sedia dengan apa saja kesibukan awak. Walaupun kadang-kadang saya rasa tak adil untuk diri saya sendiri, tapi saya tetap cuba berfikiran positif. Awak jaga negara, maksudnya awak pun sedang jaga keselamatan saya. Sebab, saya ni salah satu penduduk dalam negara yang awak lindungi juga.” sambung Bunga bersahaja, tanganya pula sibuk mengusik kelopak mawar yang ada.
Hud tersenyum lega, lantas dia mencubit hidung isterinya.
“Dan pastinya, awak penduduk tetap dalam hati saya juga.” balas Hud dengan nada lembut, sengaja mencipta suasana manis antara mereka.
“Pastikan saya seorang je penduduk hati awak, tahu? Saya tak nak kongsi. Ibarat satu negara, saya nak jadi satu-satunya warganegara tempat tu.” seloroh Bunga, bibirnya melirik senyuman nakal.
Mendengar kata-kata itu, Hud terus tergelak besar, suaranya bergema memenuhi ruang bilik, mencairkan segala rasa penat yang masih bersisa.
“Awak dan anak-anak kita nanti, penduduk tetap tempat tu. Tak akan ada ruang untuk yang lain.” Hud membalas dengan senyuman. Tangannya perlahan-lahan meraih jemari Bunga yang tadi asyik bermain dengan kelopak bunga mawar, lalu menggenggamnya dengan penuh erat.
Bunga kemam bibir, matanya berkedip berulang kali memandang Hud yang sudah mula diamkan diri. Walaupun sudah sebulan mendirikan rumah tangga, namun perasaan malu-malu kucing itu masih ada terhadap Hud. Sebelum kahwin, tak tahu malu pula. Pelik tapi benar!
Mungkin rasa malu yang melingkari Bunga itu wujud disebabkan dia dan Hud sangat jarang bersua muka, meskipun sudah sah bergelar suami isteri. Suaminya, seorang anggota pasukan elit berpangkat 11 RGK, sudah tentu payah untuk mendapatkan cuti yang panjang, apatah lagi meluangkan masa hanya untuk mereka berdua.
Jadi, apabila Hud dan Bunga akhirnya diberi peluang untuk berbulan madu, hati mereka seolah-olah kembali ke detik awal pernikahan mereka. Debaran yang tidak pernah surut, tak ubah macam pengantin baru.
"Err..." Bunga cuba mencari-cari topik, mulutnya terkunci seketika. Tangannya yang masih dalam genggaman Hud direnungnya sekilas.
Hud menahan senyum yang mahu terbit, sengaja mengusik reaksi isterinya yang sudah kelihatan gelisah. Terlalu cepat dia gelabah, hingga pipinya yang putih berseri itu berubah merona merah
"Jom ikut saya." ajak Bunga lalu bangkit dan menuju ke luar bilik, untuk menikmati pemandangan luar Resort Dive pulau lanyakan yang terletak di Sabah Sandakan itu. Seketika tempat yang luas ini membelai ingatan yang mengamit memorinya.
Hud hanya mengikuti langkah Bunga, tangan mereka tetap berpaut erat. Angin sepoi-sepoi mulai bertiup lembut, membawa kesejukan yang menyegarkan. Di hadapan mereka, lautan biru yang luas terbentang menghiasi kornea mata.
"Awak tahu tak... Mak berasal dari negeri ni?" Kata Bunga, memecahkan kesunyian antara mereka.
Hud terus menoleh mengejut.
"Mak asal Sabah?" Ulangnya, Bunga mengangguk bangga.
"Ayah dapat jumpa dengan mak pun sebab waktu tu, ayah bertugas kat sini selama tiga tahun lamanya. Tup tup, terjatuh hati dengan sumandak Sandakan... Maklumlah, ayah kan tentera juga, macam awak." Jelasnya satu persatu, Hud membulatkan mulutnya, tanda faham.
"Maksudnya, awak sumandak sabah lah?" Sengih Hud yang memeluk istrinya dari belakang, seraya merapatkan kepala mereka berdua.
"Mestilah, tapi dah ada mix Nogori dah... Bukan Sabah sepenuhnya tapi I'm proud to be part of sabahan!" Bunga tersenyum lebar.
"Sumandak sabah pandai masak nasi je, lauknya mana?" Hud menyoal, bila salah satu lagu berasal dari Borneo Sabah mengusik ingatannya.
"Nasi tu, ada maksud sebenarnya... Bukan nasi semata-mata." Bunga menjeling, lantas Hud kerutkan kening dan melirik wajah isterinya dari sisi.
"Maksudnya?" Soal Hud, ingin tahu.
"N, bermaksud Nasi. A, bermaksud Ayam. S, bermaksud Sayur. Dan I, bermaksud Ikan. Secara keseluruhannya... Bukan nasi je reti masak, lauk-lauknya sekali kitaorang power!" Jelas Bunga lagi, Hud terlihat kagum bila mendengar jawapan dari Bunga namun memilih untuk diamkan diri. Seronok menikmati angin dan ombak laut yang makin kuat menerpah.
"Awak dengar tak?" Bunga menepuk tangan Hud yang memeluk tubuhnya itu.
"Hmm... Dengar, saya ngantuklah." Rengeknya lembut, lantas Bunga menghela nafas panjang.
"Tapi saya nak menyelam!" Bunga menjuihkan bibir, memandang sekumpulan pelancong dari negara Barat yang sudah bersiap sedia untuk menyelam ke dasar lautan.
Hud memandang sekilas ke arah mereka, lalu berbalik, ke posisi asalnya.
"Tak payah nak menyelam lah. Nanti awak jadi duyung, saya juga yang susah nak cari kat mana awak sembunyi," gurau Hud selamba, diiringi senyum nakalnya.
Bunga mencebik manja, tangannya bersilang di dada, mempamerkan rasa merajuk yang sengaja dibuat-buat. Dia masih mengharapkan agar keinginanya itu dipenuhi, tetapi Hud tetap dengan pendiriannya. Bagi Hud, keselamatan isterinya jauh lebih utama daripada memenuhi permintaan yang boleh memicu bahaya.

YOU ARE READING
Kau Yang Ku Nanti (COMPLETED)
FanfictionLeftenan komander Shafiq Ilham x Imaya Adelina "Penantian itu bermakna jika dia pengakhirannya." - + Sequel Bunga Untuk Leftenan ATTENTION - Sebelum baca cerita ni, pastikan khatam cerita Bunga Untuk Leftenan dahulu.