Husnie memerhati Syafiq yang tersenyum seorang diri, tak ubah seperti kerang busuk. Dari tadi, dia perasan ada sesuatu yang berbeza pada raut wajah sahabatnya itu sejak mereka berjumpa dengan Althea.
"Fiq." panggil Husnie, memecahkan lamunan Syafiq. Lelaki itu menoleh, kening dijengketkan tanda bertanya.
“Dari tadi aku tengok kau senyum macam baru menang loteri. Kau ni kenapa?” Tanya Husnie terus terang, seraya memandang tepat ke arah Syafiq yang spontan ketawa kecil, cuba menyembunyikan sesuatu.
“Tak ada apa-apa lah… Aku teringat kat wife aku.” jawab Syafiq dengan alasan yang kedengaran hambar.
Husnie memutar bebola matanya ke atas. “Fiq, kau ingat aku ni budak sekolah ke? Janganlah bodohkan aku. Kau ni senyum lain macam, ketara sangat ada something.”
Syafiq hanya menggeleng perlahan, senyuman tawar mula terukir di riak wajahnya.
“Aku cuma… terkejut. Lama tak jumpa dia. Itu je.” katanya yang memaksudkan Althea.
Husnie mendengus kecil, tapi wajahnya tetap serius.
“Kau jangan main-main, Fiq. Ingat. Kau dah ada isteri. Maya tu mungkin tak sempurna, tapi dia tetap hak kau. Jangan sampai kau buat silap bodoh yang kau sendiri tak boleh maafkan nanti.” ujar Husnie, kedengaran tegas.
Syafiq menghela nafas panjang, seolah-olah cuba melepaskan beban yang bergayut di dadanya, namun hanya angin kosong yang berlalu pergi dari situ.
“Aku tahu. Aku bukan lelaki macam tu. Aku takkan sia-siakan Maya.” balas Syafiq.
“Tahu tu satu hal, tapi nak melawan nafsu, itu hal lain, Fiq. Althea tu bekas kekasih kau. Aku tahu betapa besarnya sejarah korang dulu. Tapi kau kena ingat, Maya tu yang korbankan banyak benda untuk kau. Dia yang setia tunggu kau balik tiap kali kau sibuk dengan kerja. Jangan kau sia-siakan perempuan yang dah bagi segalanya untuk kau.” tambah Husnie lagi.
Syafiq kemamkan bibir, seolah-olah setiap patah kata Husnie menjelma menjadi anak panah yang tepat menikam lubuk hatinya.
“Aku tak ada apa-apa niat lain... Cuma tadi, bila jumpa dia, memang teringatlah benda-benda lama. Tapi aku tahu, pilihan aku tetap Maya. Aku takkan berpatah balik.” ujar Syafiq perlahan, suaranya seakan cuba meyakinkan dirinya sendiri. Dia sedar, apa pun yang berlaku, Maya tetap keputusannya.
Jika diimbas semula segala pengorbanan wanita itu, tak terjangkau dek kata-kata. Maya, wanita yang dulunya biasa hidup selesa dan serba mewah, namun sanggup meninggalkan semuanya demi memulakan hidup baru bersama Syafiq. Dia tidak pernah merungut, malah tetap setia di sisi walaupun hidup mereka jauh dari glamor yang pernah dia lalui dulu. Maya bukan saja seorang isteri, tapi sumber kekuatan yang selalu membuatkan Syafiq yakin dengan arah hidupnya.
"Baguslah kalau kau sedar. Aku cuma nak kau tahu… kadang-kadang, godaan tu datang bila kita lupa apa yang paling penting dalam hidup kita. Jangan biar sesaat kesilapan rosakkan hidup yang sudah lama kau bina. Yang jelas-jelas, kehidupan tu tiada galang gantinya. Jangan biarkan masa lalu tarik kau jatuh. Ingat, Fiq, kau dah ada tanggungjawab besar sekarang. Jangan rosakkan kepercayaan dia.”
Syafiq mengangguk perlahan, bibirnya meleret satu senyuman yang lebih tenang seusai mendengar kata-kata Husnie tadi.
“Terima kasih, Husnie. Kau memang selalu buat aku sedar bila aku mula nak hanyut.” ucap Syafiq perlahan. Matanya melihat Husnie yang tersenyum kecil. Sempat dia menumbuk perlahan bahu Syafiq.
“Itu kerja aku sebagai sahabat. Kau jangan buat aku penat bagi ceramah selalu kat kau pula.” balas Husnie bersahaja.
Mereka ketawa kecil serentak, namun jauh di sudut hati Syafiq, dia tahu nasihat Husnie itu seperti tanda arah di simpang perjalanan—tidak boleh dia abaikan jika ingin tiba di destinasi yang benar. Setiap patah perkataan Husnie terngiang-ngiang dalam fikirannya, seperti gema di lorong-lorong sepi yang tiada penghujung. Syafiq menyedari betapa mudahnya dia boleh tersasar jika hati tidak teguh dan akal tidak waras memandu langkah. Kehadiran Althea, bagai bayang-bayang masa silam, menggoda fikirannya dengan kenangan manis yang sudah lama terkubur. Namun, di hadapannya kini adalah kehidupan nyata—Maya, seorang wanita yang telah mengorbankan segala demi menjadi sebahagian daripada hidupnya.
----
Maya duduk di ruang tamu, diam membatu. Cahaya dari televisyen yang menyala tanpa ditonton itu berkilau redup menyapa wajahnya, seolah-olah turut meratapi kekeliruan yang bergelora dalam diri Maya. Kata-kata Puan Elena tadi kembali bermain di mindanya, berulang-ulang seperti gema di ruang yang kosong.
"Althea tak mahu menyusahkan sesiapa. Dia sembunyikan sakit itu dalam diam, sampaikan Syafiq pun tak tahu. Althea rasa macam dia tak layak nak bermimpi tentang masa depan, bukan dengan Syafiq, atau dengan sesiapa sekali pun. Baginya, harapan untuk sembuh tersangatlah mustahil, jadi dia memilih untuk menjauhkan diri, dengan harapan itulah yang terbaik..." Suara Puan Elena lembut tetapi penuh dengan makna.
"Tapi, takdir tak sama macam apa yang dia harapkan. Bila Althea sudah beransur pulih sepenuhnya, dan mahu mengharapkan kasih Syafiq semula, tu dah terlambat... sebab perasaan Syafiq dah beralih ke orang lain." Tambahnya lagi.
Maya menarik nafas panjang, rasa sesal menjalar seperti racun perlahan-lahan mencengkam hatinya. Dia tahu, orang yang dimaksudkan oleh Puan Elena adalah dirinya sendiri. Cinta Syafiq yang dulunya milik Althea kini berpindah ke arahnya, dan dia akui, dia yang membiarkan semua tu terjadi.
Pada mulanya, Maya terikutkan nafsu sendiri. Bisikan manis di hatinya mengatakan bahawa cinta itu tidak salah, walaupun ia dimulai dengan cara yang salah. Namun kini, kisah Althea bagai ribut yang menumbangkan pintu jiwanya, membiar ruang hatinya berselerakan dengan rasa bersalah
"Althea menanggung derita yang bukan sekadar pada tubuh, tetapi juga pada jiwanya. Bila melihat Syafiq dalam pelukan seseorang yang dulu dia pernah anggap sebagai seorang sahabat... Saya faham, Maya tak pernah berniat untuk semuanya jadi begini, namun... Sifat hati memang tak pernah meminta izin. Ia hanya memilih, tanpa peduli apa yang akan jadi nanti." Tuturnya lagi, anak matanya berani merenung ke wajah Maya yang sudah berubah reaksia.
Maya terdiam sejenak, kata-kata itu seperti guruh yang menggema dalam fikiran. Hatinya berperang, antara pengertian dan kesedihan. Apakah benar hati ini begitu tidak terkawal? Begitu mudah memberi pilihan tanpa mempedulikan akibatnya kelak?
Maya menundukkan kepala, memikirkan setiap perkataan yang telah diucapkan. Cinta itu memang tidak pernah memilih masa, tempat, atau cara. Dan kini, dia terpaksa menanggung akibat dari keputusan yang pernah dibuatnya. Keputusan yang menjerumuskan dirinya ke dalam kegelapan, sementara Althea, yang tidak pernah meminta apa-apa, terpaksa menderita.
Bibir bawah digigit perlahan, cuba menenangkan hati yang sedang berbicara lebih keras daripada kata-kata. Dia tahu, perjalanan ini bukan sekadar tentang menyembuhkan luka Althea, tetapi juga tentang memaafkan dirinya sendiri.
Dia alihkan pandangan ke luar tingkap, sambil merenung malam yang semakin pekat warnanya.
“I have made my choice.” ucapnya tegas.
“And now, I must face it. Whatever the consequences may be.”

ESTÁS LEYENDO
Kau Yang Ku Nanti (COMPLETED)
FanfictionLeftenan komander Shafiq Ilham x Imaya Adelina "Penantian itu bermakna jika dia pengakhirannya." - + Sequel Bunga Untuk Leftenan ATTENTION - Sebelum baca cerita ni, pastikan khatam cerita Bunga Untuk Leftenan dahulu.