Encik Megat bersama dua anak lelakinya tidak henti-henti menyambut tetamu yang hadir, terutamanya rakan-rakan sekerja Syafiq yang turut memenuhi kenduri tahlil itu dengan wajah penuh hormat dan rasa simpati.
Tidak lama kemudian, sebuah kereta meluncur perlahan lalu berhenti di hadapan garaj rumah. Suara enjin yang terhenti memecahkan suasana, mencuri perhatian Encik Megat serta Zambri dan Fakhrul, yang serentak berpaling ke arah kehadiran kereta itu.
Khairul melangkah keluar dari kereta dengan tenang. Sebelum meneruskan langkah, sempat dia membetulkan lengan baju Melayunya di hadapan cermin sisi, memastikan penampilannya rapi. Dengan langkah yang tersusun, dia berjalan perlahan menuju ke pintu masuk, tempat Encik Megat bersama dua anak lelakinya berdiri menanti. Dari kejauhan, senyuman saling dihulurkan, mencerminkan keikhlasan dalam sambutan mereka.
"Assalamualaikum." sapa Khairul dengan nada lembut, sambil menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan mereka.
"Waalaikumussalam, jemput masuk." sambut Encik Megat dengan nada ramah, senyumannya tetap terukir mesra.
Khairul mengangguk sopan, lalu melangkah masuk tanpa berlengah. Pandangannya segera melilau, menelusuri ruang rumah dengan harapan menemukan kelibat Bunga.
Senyuman tipis terukir di hujung bibirnya sebaik sahaja matanya tertancap pada sosok Bunga yang sedang sibuk melayan tetamu dengan penuh sopan. Tidak peduli akan pandangan orang di sekeliling, Khairul terus melangkah menuju ke arah Bunga yang berada di kawasan dapur.
"Amboi, rajinnya." tegurnya dengan nada bersahaja.
Bunga melirik sekilas, senyuman kecil terukir di wajahnya saat melihat Khairul yang berdiri santai di sisi pintu.
"Acah je ni." ujarnya sambil tersengih nakal.
"Sebab ramai kawan-kawan along saya kat luar. Mana tahu tersangkut." Gurauan itu disertai nada usikkan yang halus, cukup untuk mengundang tawa Khairul, yang jelas terhibur dengan telatah gadis itu.
"Tch, diamlah! Tak sopan tau gelak-gelak kat kenduri tahlil macam ni." tegur Bunga dengan nada tegas, sambil tangannya cekap mengelap pinggan yang masih basah.
Khairul terdiam, mengemam bibir tanda akur dengan teguran itu. Bukan niatnya untuk berlebih-lebihan atau tidak menghormati suasana, tetapi apakan daya, sifatnya yang mudah terhibur sering kali menguasai dirinya.
Tiba-tiba, Puan Zaharah muncul menghampiri mereka berdua. Anak mata wanita berusia itu tertumpu lama pada figura Khairul, renungannya seolah-olah memberi isyarat halus, menanti pemuda itu memperkenalkan diri.
"Assalamualaikum, makcik." sapa Khairul sambil mengukir sengihan mesra. Puan Zaharah membalas senyumannya, wajahnya memperlihatkan kehangatan seorang ibu yang penuh budi bicara.
"Waalaikumussalam. Kawan Bunga ke? Nama siapa?" soal Puan Zaharah, suaranya lembut, penuh rasa ingin tahu.
Khairul segera mengangguk sebelum menjawab.
"Khairul, saya kawan lelaki Bunga." Ucapannya spontan.
"Amboi, Bunga... Tak bagitahu mak pun dah ada boyfriend."
ujar Puan Zaharah sambil ketawa halus, tangannya menggapai beberapa pinggan yang sudah siap dilap oleh Bunga. Bunga mencebik, jelingan matanya jatuh acuh tak acuh pada kelibat Khairul.
"Memang betul pun dia kawan lelaki Bunga, lain lah kalau dia tu perempuan." balasnya, masih tak habis-habis dengan gaya loyar buruknya.
Mendengar itu, senyuman Khairul terus pudar, manakala Puan Zaharah hanya ketawa pendek.
"Khairul, jemputlah makan dulu, ye. Makanan dah terhidang tu." pelawa Puan Zaharah.
"Kejap lagi, Khairul jamah." jawab Khairul, matanya sempat melirik Puan Zaharah yang sudah berlalu pergi. Setelah itu, pandangan tidak puas hati dilemparkan pada Bunga yang masih sibuk dengan kerjanya.

YOU ARE READING
Kau Yang Ku Nanti (COMPLETED)
FanfictionLeftenan komander Shafiq Ilham x Imaya Adelina "Penantian itu bermakna jika dia pengakhirannya." - + Sequel Bunga Untuk Leftenan ATTENTION - Sebelum baca cerita ni, pastikan khatam cerita Bunga Untuk Leftenan dahulu.