BAB 24

1.3K 67 1
                                        

"Amboi, suka hati dia aje nak buat keputusan tau... Habis, mak kat sini siapa nak teman?"

Suara Puan Zaharah bergema memenuhi ruang tamu sebaik sahaja dia mendapat tahu anak daranya berhasrat mahu menetap di rumah mak longnya. Berbanding Encik Megat yang lebih tenang dan mendiamkan diri, Puan Zaharah tampak berat hati. maklumlah, Bunga adalah satu-satunya anak perempuan yang dia ada. Tanpa Bunga, rumah mereka terasa sepi, hilang serinya.

Bunga memuncungkan bibirnya, merajuk kecil. Wajahnya jelas menunjukkan ketidakpuasan hati apabila Puan Zaharah mula memberikan tanda-tanda tidak setuju.

"Ala, boleh lah mak! Kesian mak long, orang dah janji dengan dia. Takkan nak biar dia tertunggu-tunggu pula?" rayu Bunga dengan nada manja.

Puan Zaharah, yang sedang asyik melipat kain, menjeling sekilas tanpa henti melipat.

"Nanti mak cakaplah dengan Mak Long kamu." Jawabnya ringkas tanpa berpaling.

Bunga menggaru kepala yang tidak gatal, lalu menoleh ke arah ayahnya, memohon simpati. Encik Megat hanya mengangkat bahu, isyarat enggan masuk campur. Namun, Bunga tetap merengek halus, menggunakan bahasa isyarat dengan ayahnya. Lucunya, setiap kali Puan Zaharah memandang, kedua-duanya berpura-pura diam, seperti tiada apa-apa berlaku.

Encik Megat berdehem kecil, memecahkan kebisuan di tengah-tengah rumah mereka.

"Bagi ajelah Bunga tu tinggal rumah Mak Long dia." Sampuk Encik Megat, cuba menyokong anak daranya. Namun, belum sempat habis, Puan Zaharah sudah melontarkan pandangan tajam, cukup untuk membuat Encik Megat menelan liur kelat.

"Abang ni memang suka anak-anak jauh dari saya, ya?" Suaranya mendatar, tetapi sarat dengan sindiran. Encik Megat serba salah, seakan tanda-tanda hadirnya ribut monsun bakal melanda.

"Bukan begitu... Tapi, mereka dah besar, kan? Mestilah ada masa mereka nak keluar cari pengalaman sendiri. Tengoklah anak sulung kita, dah bahagia dengan isterinya. Zambri pula, tak lama lagi nak bertunang. Fakhrul sibuk dengan kerja dan jawatannya. Tinggal Bunga saja yang selalu ada di rumah. Kalau dia nak cuba sesuatu yang baru, apa salahnya?"

Encik Megat mengerling ke arah Bunga yang duduk di tepi tingkap, termenung.

"Bunga ni boleh tolong tengokkan kedai bunga Kak Long tu. Lagipun, padanlah dengan nama dia, Bunga si penjual bunga. Siapa tahu, mungkin dia jumpa jodoh kat sana." seloroh Encik Megat di hujung kata-katanya, cuba menceriakan suasana.

Puan Zaharah terdiam, menimbang kata-kata suaminya. Akhirnya, dia menghela nafas panjang sebelum berkata perlahan.

"Baliklah selalu, jangan sampai lupa rumah sendiri pula." Kiasan Puan Zaharah yang memberikan keizinan.

Bunga yang mendengar pantas bangkit dari tempat duduknya, selepas itu dia mendekati emaknya.

"Betul ni, mak? Mak bagi green light?" Dia cuba menangkap pandangan Puan Zaharah yang sibuk melipat kain.

"Tak bagi, nanti ada pula yang merajuk." balas Puan Zaharah bersahaja, tetapi cukup untuk membuat Bunga ketawa terbahak-bahak. Dia memeluk Puan Zaharah erat, kemudian mencium pipi dan bawah lengannya bertubi-tubi.

"Terima kasih, mak! Sayang mak sangat-sangat!"

"Ya Allah, budak ni! Abang, tengoklah anak dara awak ni!" rungut Puan Zaharah sambil menggeleng kepala, namun wajahnya jelas mempamerkan senyuman kecil.

Encik Megat yang sudah biasa dengan telatah Bunga hanya menghirup kopi perlahan sebelum bersuara.

"Mana nak tumpahnya kuah kalau tak ke nasi. Abang jatuh cinta kat awak dulu pun sebab perangai macam ni. Sebiji perangai Bunga." ujar Encik Megat, matanya bersinar mengenang memori lama.

Mendengar itu, wajah Puan Zaharah serta-merta memerah. Dia cepat-cepat mengalihkan pandangan, tidak mahu anaknya melihat riak wajah yang tersipu malu. Sementara itu, Bunga tersengih, matanya bergilir-gilir memandang kedua-dua orang tuanya.

Misi memujuk emaknya berjaya. Kini, dia sudah membayangkan kehidupannya di rumah Mak Long nanti macam mana. Kot-kot mulut ayah masin, dapat juga aku berjumpa jodoh kat sana.

-----

Syafiq mengurut perlahan pelipis kepala isterinya sambil mata yang sudah berat terpejam seketika. Jam sudah menunjukkan pukul 2.30 pagi, namun Maya terus merengek tidak selesa, keluar masuk bilik air berulang kali. Walaupun mata mengantuk dan badan terasa lesu, Syafiq tetap gagahkan diri, tidak sampai hati membiarkan Maya menahan sakit seorang diri.

"Awak salah makan ke?" Syafiq bertanya lembut. Maya hanya diam, fokus menghidu minyak angin yang erat digenggamnya.

Syafiq membuka mata, menatap wajah isterinya. Tanpa sedar, sebuah senyuman kecil terbit di bibirnya. Comel pula isteri aku, dua tiga menjak ni.

"Kita pergi hospital esok, sebelum saya masuk kerja. Nak?" ajak Syafiq, suaranya lembut bertanya.

"Tak perlulah pergi hospital bagai... Biasalah ni. Anak you suka meragam." ujar Maya selamba, sambil menahan senyum.

Tangan Syafiq yang sedang mengurut pelipis isterinya itu tiba-tiba terhenti. Dia bingkas duduk, dan menatap Maya dengan wajah penuh tanda tanya.

"Awak cakap apa tadi?" Syafiq hampir menguntum senyum. Matanya bersinar, menanti pengesahan yang pasti.

Maya ketawa kecil melihat reaksi suaminya. Syafiq segera memegang bahu Maya dan membantunya untuk duduk tegak di sisinya. Dengan perlahan, dia menyelitkan rambut Maya ke belakang telinga, seperti kebiasaan yang selalu dia lakukan.

"Cakaplah lagi. Saya nak dengar." pintanya sambil menggenggam erat tangan isterinya.

Maya tersenyum indah, penuh kasih. Tangan kanan suaminya digenggam, lalu diletakkan pada perutnya yang rata.

"Someone will call you ayah, soon." bisik Maya, penuh makna.

Syafiq terpaku seketika, kemudian senyumannya melebar. Tanpa berkata sepatah pun, dia terus memeluk tubuh isterinya erat, penuh rasa syukur. Bibirnya singgah lembut di dahi Maya.

"Macam mana awak tahu?" soalnya, masih tidak percaya dengan khabar gembira tersebut.

"Saya ada beli pregnancy test hari tu, saja cuba. Alhamdulillah, Allah bagi rezeki awal kat kita." ujar Maya, matanya bersinar, memancarkan kegembiraan.

"Alhamdulillah." ucap Syafiq, seraya ketawa halus sambil mengusap perut isterinya. Meski masih kempis, dia tahu di dalamnya kini terisi nyawa kecil, anugerah paling berharga yang Allah titipkan pada mereka suami isteri.

"Terima kasih, sayang." ujar Syafiq, wajahnya terpancar kebahagiaan.

"I yang patut berterima kasih kat you, you jadikan I pintu perantara syurga untuk seorang hamba Allah yang akan hadir nanti. you teach me a lot." balas Maya.

Kata-kata Maya terdengar tulus, penuh rasa syukur kerana bersuamikan lelaki seperti Syafiq. Kehadiran Syafiq membawa kebahagiaan yang melimpah dalam hidupnya. Tak pernah dia berfikir akan hidup sebahagia ini bersama lelaki yang sudah lama bertakhta dihatinya walaupun ketika itu takdir belum memberi peluang untuk mempertemukan mereka berdua..

"Kita sama-sama belajar. Awak hadir untuk ajar saya jadi nakhoda yang sebenar. InsyaAllah, kita akan besarkan anak ini bersama-sama. Semoga Allah lindungi keluarga kecil kita."

balas Syafiq, suaranya getar menahan sebak. Air mata Syafiq bertakung, tidak mampu menyembunyikan rasa terharunya. Maya pula tersenyum lebar, gembira tak terkata.

"Awak nak apa? Saya belikan esok," tanya Syafiq, yang mengubah topik perbualan mereka.

Maya memegang dagunya, berpura-pura berfikir.

"I nak makan Korean food. Boleh?"

Syafiq tersenyum kecil, wajahnya seakan berkata, 'Kacang aje tu!'

"Esok saya angkut satu restoran tu untuk awak." gurau Syafiq, membuat Maya ketawa hingga terbahak-bahak. Maya tahu, itu hanya gurauan suaminya, tetapi keikhlasan Syafiq jelas terasa. Dia bersyukur, malam itu ditutup dengan kebahagiaan yang membuatkan mereka berdua ketawa tak henti-henti.

Kau Yang Ku Nanti (COMPLETED)Where stories live. Discover now