BAB 27

1.3K 60 2
                                        

Langit pagi yang mendung seolah-olah menjadi saksi bisu kepada kekerasan latihan hari itu. Di kawasan lapang berhampiran pantai, Syafiq dan anggota PASKAL yang lain sedang melalui modul latihan intensif yang dikenali sebagai Hell Week. Latihan ini tidak sekadar menguji kekuatan fizikal, malah mental mereka didesak hingga ke batas terakhir.

"Syafiq, cepat! Kau nak tertinggal ke belakang ke?" jerit jurulatih dari jauh, suaranya lantang menerjah deruan angin.

Syafiq, yang berada di barisan hadapan, menggenggam tali dengan sekuat tenaga sambil mendaki dinding halangan setinggi 20 kaki. Beban ransel seberat 20 kilogram di belakangnya menambah tekanan pada setiap otot yang tegang. Peluh deras membasahi wajahnya, menitis ke tanah, manakala lengannya terasa seperti hampir koyak akibat ketegangan.

Ketika dia hampir mencapai puncak dinding, kakinya tergelincir di atas permukaan licin akibat hujan malam tadi.

“Ahh!”

Dia mengerang perlahan, tangan segera memaut tali dengan cemas untuk mengelak terjatuh. Namun, pergerakan tiba-tiba itu menyebabkan bahunya terseliuh. Dengan susah payah, dia melompat turun ke tanah, tetapi rasa sakit mula menjalar dari bahunya ke seluruh lengan kirinya, menusuk hingga ke tulang.

"Syafiq! Kau okay?" Farid, rakan sepasukannya, bertanya dengan wajah penuh kebimbangan.

Syafiq menggertap bibir, cuba menahan perit yang menggigit. Dia tidak mahu kelihatan lemah di hadapan yang lain.

"Aku okay. Teruskan," balasnya pendek, nadanya tegas meskipun matanya memancarkan keletihan yang tidak mampu disembunyikan.

---

Althea memeriksa beberapa fail dan rekod kesihatan anggota tentera dengan penuh teliti. Namun, jemari dan pandangannya tiba-tiba terhenti pada sebuah fail yang memuatkan nama seseorang yang cukup dikenalinya. Seketika itu juga, jantungnya berdebar kencang, dan tanpa sedar, hujung bibirnya terukir senyuman kecil.

Gambar yang terpampang di helaian fail itu direnung lama, seakan melepaskan kerinduan yang telah sekian lama terpendam. Lelaki itu tampak begitu kemas dan segak dalam uniform Tentera Laut Diraja Malaysia, lengkap dengan beret ungu gelap yang tersarung kemas di kepalanya.

"Finally... Kita di sini, berdiri dengan kerjaya masing-masing. Kerjaya yang pernah kita impikan suatu masa dulu."

Suara hati Althea berbisik lembut, namun cukup untuk menggores jiwa yang selama ini sunyi menanggung rindu. Gambar Syafiq terus ditatap, seolah-olah mampu menghapus sedikit demi sedikit rasa yang membebani hatinya selama bertahun-tahun.

“Haih, doktor… lain macam nampak.” tegur satu suara dari belakang, memecahkan lamunannya.

Althea tersentak, bahunya terhinjut sedikit. Dia berpaling, menatap wajah Nina, seorang doktor wanita yang berdiri di belakangnya dengan senyuman penuh makna.

“Lain macam? Maksud kau?” Althea cuba mengawal wajahnya, tapi nada suaranya jelas menampakkan kekok.

“Lama sangat kau tenung gambar Komander Syafiq tu. Kenan ke?” balas Nina dengan nada mengusik.

Althea menghela nafas panjang dan menjulingkan mata ke atas, malas melayan usikan Nina yang tak masuk akal.

“Janganlah mengarut, Nina. Salah ke aku tengok rekod anggota satu-satu? Fikiran kau tu yang jauh ke laut.” balasnya sambil memutar tubuh, kembali menghadap fail di tangannya.

“Kalau kau tengok semua gambar anggota lain, aku tak cakap apa. Tapi ni, kau tercegat lama tengok gambar dia. Ingat aku tak perasan?” Nina mengerutkan dahi, jelas tidak puas hati dengan jawapan Althea.

Kau Yang Ku Nanti (COMPLETED)Where stories live. Discover now