Bab 1

16.5K 222 2
                                    

Balai ketibaan KLIA. Seminggu sebelum Aidilfitri.

"Daddy... Daddy!" Indah Safiena terus menerkam ke dalam pelukan Tajul Razin sebaik sahaja dilepaskan oleh mommynya. Gaya macam kehilangan daddy selama dua tahun padahal baru dua minggu tidak berjumpa. Daddynya pun sama, tak henti-henti menggomol tubuh kecil itu. Cium sana, cium sini... Ikut sahaja permintaan anaknya.

Indah membiarkan sahaja anak-beranak itu melepaskan rindu. Apabila daddy dan anak perempuan bertemu, langsung tak ingat mommy ada bersama. Gembira sakan mereka berdua. Dia terasa seperti dipinggir.

Indah tersenyum kepada adik iparnya yang bersusah payah menolak troli yang sarat dengan beg-beg besar. Tengok tu, Abang Zen tak sudah-sudah membuli adiknya. Mentang-mentanglah dia bos besar TS Holding, berlenggang sahaja keluar mencari anak. Macam dia seorang saja ada anak!

"Sihat, sis?" tanya Tajul Fahin dengan senyumannya yang sentiasa manis dan tidak pernah berubah. Mata tunak memandang wajah kakak iparnya yang tidak pernah kurang sedikitpun keayuan pada pandangannya. Walaupun dia sedaya upaya berusaha membuang bayangan kakak iparnya, wajah itu tetap datang dan terus menghimpit mimpi-mimpinya. Astaghfirullah... Kakak ipar tu, Tajul Fahin!

"Alhamdulillah. Business deal okay?"

Tajul Fahin mengangkat ibu jari ke atas. "Maksyukkk! Bos pandai push bagi cepat selesai. Dua minggu dah boleh sain aggrement. Dia asyik nak balik cepat aje. Dua hari kat sana dah gelisah semacam. Rimas I dibuatnya."

Lega Indah mendengar kata-kata adik iparnya itu. Taklah suaminya bebas merdeka tanpa dirinya di luar negara. Tidak seperti suami rakan-rakan niaga yang didengarinya. Ada suami mereka apabila ke luar negara tanpa isteri, bukan main lagi tunjuk belang. Sejak sedar daripada koma, ini merupakan kali pertama Abang Zen pergi jauh tanpanya. Biasa ke mana-manapun Abang Zen pergi, Indah wajib dibawa. Kali ini sahaja tak dapat.

"Mengumpat, ya?"

Pinggang Indah tiba-tiba dipeluk kejap. Ciuman dilayangkan di kedua-dua belah pipi. Tergamam Indah dibuatnya. Bukan tidak biasa diperlakukan sebegitu di tempat awam, tetapi segan juga apabila berada di hadapan mata Tajul Fahin. Tambahan pula dalam bulan Ramadan, mana boleh tunjuk gelojoh siang-siang hari.

"Bro, ni bulan puasalah!" Tajul Fahin menegur. Terkilan apabila melihat kebahagiaan abangnya dengan wanita tercinta. Indah sanggup memandu meredah pagi untuk menyambut suaminya pulang dengan penuh kasih sedangkan Ilyana sedikitpun tidak kesah pasal tunang sendiri. Entahkan Ilyana ingat atau tidak akan kepulangannya hari ini.

"Ops... Ter!" Abang Zen gelak sumbang. Sebenarnya dia geram sangat kepada Indah tadi. Suami ada di depan mata, dia boleh layan adik ipar dahulu. Tak tahu ke orang menanggung rindu yang bukan sedikit? Itu yang mendorong dia berkelakuan tak senonoh kepada isteri sendiri biarpun tak kena tempat dan waktu.

"Dah puas mengulit anak, baru ingat mommynya, ya?" perli Indah dengan muka muncung. Jangan ingat Abang Zen sahaja tahu cemburu, dia pun ada perasaan juga.

Satu cubitan manja hinggap di pinggang ramping Indah. "Amboi... Dengan anak pun tak nak beralah!"

Sebelah tangan Abang Zen terus memeluk bahu Indah seraya mengusap-usap lembut dan merapatkan tubuh isterinya ke badan. "I miss you more..." bisiknya romantis.

"Bro, I balik Damansara naik teksilah..." Lagi lama dia menghadap pasangan bahagia ini, lagi terseksa jiwa raga. Itu yang dia rasa sejak kebelakangan ini. Puas pujuk hati supaya reda, namun bisikan syaitan tetap menghampiri. Dah kerja syaitan pun untuk lihat manusia berpecah belah.

"Dah pula? Ingat nak jumpa mama dulu."

"Buka puasa nantilah I datang. Sekarang jet lag... Nak tidur puas-puas dulu." Alasan... Padahal tak ada makna perkataan jet lag dalam kamus hidup Tajul Fahin. Berapa tahun dia ke sana sini merentas benua? Pertukaran masa dan alam tak ada hal kepadanya.

"Sekalilah, bro. I hantar you dulu..."

"It is okay. I naik teksi aje. Tak nak kacau happy family yang tengah I miss you, you miss me. Takut kurang pahala puasa... Hahaha."

Abang Zen turut tergelak. Indah buat-buat selamba tetapi muka tetap terasa panas!

"Okeylah kalau gitu. See you tonight."

Tajul Fahin memulangkan tubuh kecil Safiena selepas puas disondol pipi si comel tu. Safiena bukan main girang diulit oleh Papa Imnya. Mengekek-ngekek ketawa.

"You both... balik ni jangan pula asyik memerap dalam bilik. Bawa bersabar sampai selesai tarawih malam nanti." Pesanan penuh erti Tajul Fahin sebelum berpisah.

"Baik, ustaz." Selamba Abang Zen membalas. Nak cakap apa lagi? Dah memang betul nasihat itu. Kalau tak diingatkan diri, mahu terlupa juga halal haramnya.

Indah pura-pura tak dengar. Dia buat-buat sibuk bermain dengan rambut ikal Safiena. Betul kata Abang Zen. Rambut Safiena menurun gennya. Hitam dan lebat sekali. Ini yang buat dia selalu iri hati apabila Abang Zen suka mencium dan membelai rambut anaknya. Sama seperti yang dilakukan kepada Indah. Dengki betul! Mujur anak sendiri bukan madu.

Namun begitu, muka putih Indah tetap merah!

Ketika dalam perjalanan pulang, Abang Zen yang memandu kereta asyik memandang isterinya. Dua minggu terpisah... Tuhan saja yang tahu betapa terseksanya dia dua minggu itu. Jika tidak kerana pulangan lumayan kepada syarikat keluarga, tak mahu dia pergi. Mereka mana pernah berenggang.

Indah menjenguk ke kerusi bahagian belakang. Dia tersenyum.

"Dah tidur?"

Indah angguk. "Mengantuk sangatlah tu. Pukul empat dah bangun bersiap nak jemput daddy. Puas pujuk suruh tidur balik tapi dia tak mahu."

"Baby aje? Mommy dia? Tidur tak ingat abang ke?" Abang Zen jeling menggoda.

Indah turut memberi jelingan. Abang Zen ni... Lagi mahu tanya pula.

Abang Zen sengih. Puas hati. Tiga tahun Indah jadi isterinya, tapi masih ada perasaan malu-malu lagi. Itu yang dia suka. Indah ni kadang-kadang terlalu berani, adakala malu macam Dayang Senandung filem zaman dulu-dulu. Pandai bikin dia jadi lelaki panasaran!

"Baju raya dah siap, sayang?"

"Dah. Empat pasang untuk kita, lapan pasang untuk baby. Tak tahulah abang suka ke tak. Semua mama dan ibu yang pilih. Indah setuju aje sebab cantik-cantik belaka."

"Erm... Tengoklah nanti. Kalau tak sesuai tak maulah pakai. Esok kita shopping lagi. Biar abang pula yang pilih."

"Kan dah banyak, abang. Membazir aje..."

"Apa pula? Abang tak mahu terlepas saat-saat macam ni. Tahun depan Safiena dah meningkat satu tahun, tentu tak sama dengan tahun ni."

"Ooo... Untuk Baby Safiena aje..." Lirih suara Indah sambil menarik muka rajuk.

Abang Zen terus bagi signal ke kiri lalu menghentikan kereta di lorong kecemasan. "Nak abang kiss dekat sini ke?"

Haru!

Bulan Ramadan ni...

Bila Terlajak SayangWhere stories live. Discover now