Bab 4

5.5K 89 0
                                    

"SAFIENA... Come here, princess. Swimming dengan Papa Im."

Tajul Fahin melabuhkan punggungnya di pinggir kolam renang. Dia menghulurkan tangan ke arah Baby Safiena yang masih di dalam dukungan granny, Dato Safiya.

Safiena meronta-ronta untuk turun. Pantang jumpa air, pantang juga jumpa Papa Imnya, mesti nak berenang sama. Aktiviti wajib mereka berdua. Dengan daddy pun dia jual mahal kalau Papa Im ajak berenang. Itu yang selalu membuatkan Tajul Razin bengkak hulu hati. Kadang-kadang dah siap nak keluar, apabila nampak Tajul Fahin datang, dia terus seret Safiena ke kolam.

"Fahin ni... Mak Siti baru saja mandikan dia," rengus Dato Safiya. Kasihan cucunya yang masih kesejukan. Tapi melihat Safiena yang teruja sangat terus dilepaskan. Cucunya paling gembira saat di dalam kolam bersama Tajul Fahin. Minat mereka memang sama. Dua puluh empat jam dalam air pun tak jadi hal. Setakat ni tak mudaratkan apa-apa.

"Alah, mama... Bukan kena caj pun mandi banyak kali."

"Itu bukan masalahnya... Nanti selesema, daddy dia bising tanya."

Tubuh Safiena sudah berada di dalam pelukan Tajul Fahin. Tersengih-sengih suka si kecil itu. Nampak gigi susunya yang penuh, berbaris cantik dan putih bersih. Sama seperti gigi mommynya. Terkedu Tajul Fahin. Boleh pula kepala dia teringat wajah isteri abang kandungnya.

"Penat mama nak menjawab, Fahin. Mommy dia tak ada hal sangat... Anak sakit dibawa aje ke klinik. Zen tu yang suka membebel sekarang ni... Pot pet pot pet."

Hahaha. Tajul Fahin ketawa. Mama... Mama... Dia yang pot pet pot pet, tak sedar. Granny yang terlebih kontrol cucu seorangnya. Itu tak boleh, ini jangan. Tajul Razin pula yang dituduh cerewet. Kasihan abangnya. Setahu dia, abangnya tu cemburu aje... Bukannya kuat membebel tahap kritikal. Sikit-sikit tu adalah. Dari dulu lagi. Itupun bertempat.

"Okey... Okey... Kejap ajelah, mama. Lepas rindu!"

Plum!

Pantas Tajul Fahin terjun ke dalam kolam renang dengan Safiena di tangan. Melantun tinggi percikan air hingga terkena Dato Safiya. Diurutnya dada menahan sabar. Risau tak terkata melihat keadaan cucunya. Takut lemas. Paling tidak, cara Tajul Fahin itu boleh membuatkan cucunya terkejut.

Sebaliknya Safiena relaks saja. Mengekeh gelak lagi ada. Suka dia apabila dapat masuk ke dalam air bersama Papa Im. Meriah! Granny saja yang suka fikir yang bukan-bukan.

Tajul Fahin berpusing-pusing keliling kolam, hingga si kecil sedikit menggeletar.

"Dah sejuk?" Disondol pipi Safiena beberapa kali. Bibir si kecil sudah terketar-ketar. "Alahai... Kesian my little princess... Kita naik, okey."

Dato Safiya dari tadi menanti dengan tuala bersih untuk cucunya. Dalam hati asyik berdoa supaya Tajul Fahin cepat naik. Hendak diajar sangat pun dah terlebih umur. Pangkat bapa-bapa orang. Muda setahun saja daripada Tajul Razin. Patut boleh fikir semua benda dengan matang.

"Papa Im rindu sangat dekat princess. Tak senang buat kerja kat sana."

Tajul Fahin sebenarnya baru pulang dari Jakarta. Seminggu dia di sana. Itu yang mencari Indah Safiena balik saja ke Kuala Lumpur. Bau budak buat dia teringat-ingat. Dengan Safiena yang suka air tu lagilah buat dia bertambah sayang. Sama sepertinya, taasub dengan air.

Sekali lagi Safiena yang kesejukan kena gomol sebelum diletakkan di atas riba Dato Safiya. Kemudian Safiena diserahkan pula kepada Mak Siti yang baru sampai. Mengucap panjang orang tua itu melihat keadaan Safiena yang kebasahan. Baru saja tukar baju tadi.

"Rindu-rindu pun tetap anak orang. Kahwin cepat, Fahin. Boleh gomol anak sendiri. Lain perasaan tau kalau dengan hak sendiri." Dato Safiya sambung ceramah.

Tajul Fahin sengih. Sambil itu dia membalut tubuh dengan tuala. Dia berbungkus menghadap mama yang tengah asyik membebel.

"Bila lagi, Im? Dah dua tahun bertunang. Mama dah tak tahu nak beri alasan apa lagi dekat Tan Sri tu. Kau orang berdua bukannya muda lagi. Lambat-lambat nanti payah pula nak dapat anak."

Tajul Fahin menarik nafas dalam-dalam. Rambut basah yang berjuntai di dahi dilurut naik ke atas. Apabila bab ini disebut oleh mama, sungguh dia tiada jawapan. Antara dia dan Ilyana... Ah! Susahnya nak cakap. Tidak tahu punca kenapa mereka tak boleh nak serasi. Ada-ada saja yang tak kena. Ada-ada saja benda yang jadi isu untuk menjauhkan mereka. Jika tak dia buat hal, Ilyana pula yang buat perangai.

"Im, mama serius tanya ni... Apa sebenarnya masalah kau orang berdua?"

"Entahlah, mama... Susah nak cakap."

"Raya hari tu kan dah elok? Rapat sakan. Rupa macam orang tengah angau sangat."

"Sekejap aje. Seminggu lepas tu Yana dah merajuk balik..."

"Habis... Im dah tak pandai pujuk? Tunang sendiri, kan? Dulu masa zaman perempuan keliling pinggang, terror mengayat. Kenapa? Sekarang dah hilang ke semua skil tu?"

"Kadang-kadang Im sendiri tak faham dengan keadaan kami. Banyak sangat tarik talinya. Time Im okey, Yana buat hal. Time Yana okey, Im pula tak ada rasa. Tak fahamlah, ma."

Dato Safiya merengus. Pening dengan budak berdua ni. Tak habis-habis dengan masalah. Seingat dia, enam bulan pertama bertunang saja yang manis bahagia, selebihnya macam keadaan sekarang ini. Buang masa betul. Rugi besar sebab tak nikahkan cepat-cepat dulu. Puan Sri Alialah punya hal. Nak buat grand-grand sangat, sudahnya sampai dua tahun bertangguh.

Kalau tak boleh atau sama-sama dah tak suka, cakaplah terus-terang. Mudah kerja. Kalau macam ni, tak ke seksa diri namanya? Kahwin tidak, nak cari orang lain pun tak patut sangat. Cincin masih di jari.

"Sebab Fahin agaknya," tebak Dato Safiya. Sedikit sebanyak dia tahu apa puncanya. Mata orang tua jangan main sorok-sorok. Boleh nampak semua. Tambah-tambah anak sendiri.

"Im pula yang salah?" Cuak juga Tajul Fahin. Takut mama tahu isi hati yang disimpan dalam.

"Habis? Tak mengaku?"

"Nak mengaku apanya, mama? Mama jangan fikir sangatlah. Biar kami selesaikan sendiri. Masing-masing dah tua, kan."

"Tahu pun. Tapi mama rasa Fahin yang tak betul. Sebab tu Ilyana banyak terasa. Mana boleh nak kahwin kalau dalam hati Fahin tu masih kuat ingat orang lain. Makan hatilah. Dia pun ada maruah. Mama sendiri pun tak suka apabila dibuat begitu."

Tajul Fahin menggigit bibir. Dengan mama tak boleh sorok apa-apapun. Semua dia dapat teka. Luar dalam. Skil CIA dia pun cekap. Sekejap saja siasatannya berjaya.

"Sudah-sudahlah tu, Im. Indah tu isteri Zen. Dia orang pun dah hidup bahagia. Fahin kena bertegas kepada diri. Buang perasaan tu, mula hidup baru. Tak ada kesudahannya macam ni. Dulu Fahin yang sanggup lepaskan dia untuk Zen. Fahin boleh lakukan masa tu... Kenapa sekarang ni masih layan perasaan? Mama rayu, Fahin..."

Merah padam wajah Tajul Fahin. Dia tunduk. Malu kepada diri sendiri. Malu kepada mama yang tahu segala isi hatinya. Selama dua tahun ini dia masih menyimpan perasaan kepada Indah, isteri abang sendiri.

Bukan dia tak cuba. Dia dah cuba sedaya upaya untuk reda. Tapi bisikan demi bisikan sentiasa datang. Terseksa sangat. Pengakhirannya... dia tetap simpan rasa itu. Diam-diam. Dan mungkin itulah sebab utama hubungannya dengan Ilyana asyik saja bermasalah. Betul kata mama, perempuan mana yang suka apabila tahu hati lelakinya untuk perempuan lain?

Arghhh!!! Kenapalah Indah tak ada saudara kembar yang seiras luar dalam? 

Bila Terlajak SayangWhere stories live. Discover now