Bab 7

2.9K 41 0
                                    

Sejak Mak Cik Mariah diceraikan oleh Encik Halim, mereka sangat susah. Sudahlah kehidupan cukup makan pakai saja, itupun dengan duit ihsan daripada Indah setiap bulan. Masyarakat setempat pula memulaukan mereka berdua kerana perbuatan keji mereka yang lalu. Hendak keluar rumah pun malu.

Jiran-jiran jangankan hendak mengambil berat, menegur pun tidak. Pandang hanya sipi-sipi saja. Bukan kerana wajah yang hodoh, tetapi kerana hati yang pernah busuk. Masing-masing jadi wakil Indah untuk berdendam. Dia orang sebenarnya menyesal sebab pernah terpedaya dan percaya temberang dua beranak itu tentang Indah dan Saiful dahulu. Semua kena tipu hidup-hidup. Itu yang mereka panas hati.

Makanya, tidak lama selepas itu, dua beranak itupun mengambil keputusan untuk pindah ke kampung di Simpang, Taiping. Rumah di Sungai Petani Mak Cik Mariah jual. Itu rumah Encik Halim yang diberi oleh Indah untuk mereka tinggal selepas perceraian. Kalau ikutkan Encik Halim, dia tak mahu beri apa-apa. Marah benar dia waktu itu. Indah yang memujuk ayahnya. Hati Indah itu kan suci...Mudah kasihan kepada orang yang dalam kesusahan walaupun orang itu pernah aniaya dia dan hampir meragut nyawanya.

Rumah yang berada di kampung juga milik Encik Halim. Mak Cik Mariah buat selamba sahaja pindah dan tinggal di situ. Kunci rumah memang dia pegang dan tak dipulangkan kepada Encik Halim. Rumah kayu bercampur sedikit batu di bahagian dapurnya. Masih cantik dan mengekalkan ciri-ciri tradisional Melayu.

Dari dahulu lagi Encik Halim mengajak dia tinggal di situ, tetapi Mak Cik Mariah yang tak mahu. Alasannya rumah di dalam hutan kelapa sawit banyak nyamuk. Dia lebih suka tinggal di Sungai Petani. Dekat dengan Penang. Senang membeli-belah. Tak kesudahan nasibnya... Kena juga tinggal di kampung di dalam hutan. Macam orang terbuang pula rasanya. Dikelilingi kebun kelapa sawit kepunyaan Encik Halim.

Indah dan Encik Halim tahu tentang hal ini tapi mereka hanya pejam mata sahaja. Biarlah Mak Cik Mariah dan Zawati tinggal di situ jika boleh buat mereka tenang dan berubah menjadi insan yang lebih baik. Lagipun apa yang hendak ditamakkan sangat? Harta ibu Indah tak luak sikitpun untuk buat mereka hidup senang-lenang. Itu belum dikira harta Tajul Razin lagi.

Jadi apa yang Indah kesah sangat perihal rumah dan tanah kebun sekangkang kera tu? Halalkan sahaja. Seteruk-teruk Mak Cik Mariah, dia tetap pernah melakukan tugas seorang isteri kepada ayah dan memasak makanan untuk Indah makan.

Pendapat orang yang punya motivasi diri... Lebih baik kita pandang sisi baik orang daripada terus sakit hati dengan memikir sisi keji. Apa faedahnya yang kita dapat dengan melihat keburukan orang lain? Gembira? Bahagia? Puas? Yang jelas, jiwa kita sendiri yang tak tenang.

Setahun yang lalu, Zawati telah menjalani pembedahan plastik di Singapura bagi mencantikkan wajahnya yang hodoh itu. Indah yang tanggung semua kos perubatannya. Malang sekali, pembedahan pertama masih tidak mengembalikan wajah cantiknya. Masih perlu satu lagi pembedahan yang dijangka pada tahun ini. Kali inipun Indah akan bantu.

Yalah... Mana lagi Zawati nak cari duit? Simpanan Mak Cik Mariah? Kalau cara dia dapat duit dulu dengan cara tak betul, tak ada berkatnya duit tu. Lebur tanpa nampak hasilnya. Entah ke mana dibelanjakan pun tak tahu. Habis macam tu saja. Emas yang sampai lengan juga dah habis tergadai. Jika Indah tak masukkan duit ke dalam akaun bank setiap hujung bulan, alamat ikat perutlah mereka berdua. Teruk, kan? Itulah, waktu roda kehidupan di atas, jangan terlalu mendabik dada kerana akan tiba jua masa ke bawah.

"Emak! Emak! Emak!"

Zawati seperti biasa, tak pernah berubah. Sikit punya hal, terjerit-jerit panggil emaknya.

"Apa hal?" Mak Cik Mariah terjengul di muka pintu.

"Mak ke mana?"

"Ke mananya? Kat bawah ni saja. Layan Si Kiah tu datang."

"Cik Kiah? Apa hal orang tua mulut puaka tu datang, mak? Za tak sukalah. Nanti dia bawa cerita kat orang kampung. Lepas tu orang kampung benci kita. Mana kita nak pergi dengan muka Za yang macam ni? Mak ni suka layan orang macam tu tau."

Zawati sangat tak suka dengan Mak Cik Kiah, orang kuat wanita di kampung tersebut. Mak Cik Kiah ni kerjanya mak andam dan terkenal serata kampung. Baik hati orangnya tapi tidak disukai Zawati sebab dia jenis berterus-terang. Kalau tak betul, Mak Cik Kiah akan tegur terus-terang. Zawati memang selalu kena tegur. Itu yang dia meluat.

"Isy, aku pun tak suka, Za... Tapi ni ha... Dia bawa kiriman Indah untuk kita. Takkan aku nak tolak kut? Rezeki dapat baju baru. Kau tak nak ke?"

Mak Cik Mariah menghulur beg kertas kepada Zawati. Baru Zawati senyum. Baju mahal... Siapa yang tak suka? Dah lama dia tak melaram. Lepas buat pembedahan kali kedua nanti, dia akan bangkit semula. Jemu dah berkurung di dalam hutan kelapa sawit ni. Macam kera sumbang aje rasa. Dua tahun tak dapat tengok wayang, siapa yang tahan?

"Kamu ni, Za... Pantang aku lesap, mulalah jadi anak Tarzan. Terjerit-jerit. Cuba belajar jadi macam Indah sikit. Elok bahasa, barulah orang-orang kaya suka."

"Apa mak kata? Emak dah sayang Indah ke? Dah puji-puji dia? Mak tak sayang Za lagi? Sebab dia boleh bagi mak macam-macam?" Zawati tak puas hati. Pantang dia kalau dengar orang memuji Indah tambah-tambah dari mulut emaknya. Rasa pusing dunianya macam berlaku gempa bumi.

"Siapa yang tak sayang anak, Za oi? Sejahat mana pun, aku tetap kutip dan bela kau. Aku berkorban sampai hilang laki semata-mata untuk kau. Jangan lupa tu," balas Mak Cik Mariah. Geram.

"Mengungkitlah tu..."

Zawati mengangkat beg berisi baju masuk ke bilik. Malas layan emaknya. Cuba baju baru lagi bagus. Walau rupa tak cantik, bodi tetap mengancam tau!

Mak Cik Mariah menggeleng. Tak faham dengan perangai anak sendiri. Tak insaf-insaf. Dia sendiri? Sudahkah insaf selepas mendapat balasan?

Bila Terlajak SayangWhere stories live. Discover now