Bab 14

2.4K 34 1
                                    

TAJUL RAZIN menghimpit tubuh Indah yang sedang berbaring di atas katil. Masam mencuka wajah isterinya. Mogok lagi. Mogok lama baru aje baik, ni lancar mogok baru pula. Hampir mati akalnya untuk memujuk. Maklum kesnya serius, berbelit-belit. Dia sendiri pun pening fikir apatah lagi Indah. Dia suami Indah, hendak tak hendak dia tak boleh lepas tangan begitu sahaja. Keluarga Indah, keluarga dia juga. Tanggungjawab dia. Lagi satu, takkan dia nak biar saja Indah terus dengan perasaan marahnya?

Indah pun satu... Banyak sangat fikir yang negatifnya. Tak mahu berlebih kurang. Tapi, tak salah Indah juga... Pengalaman mengajar dia untuk lebih berhati-hati. Dia cuma ingin melindungi ibu dan ayahnya. Dia mahukan bahagia mereka berterusan selama-lamanya.

Tetapi dalam sesetengah perkara, kemampuan kita sebagai manusia ada batas-batasnya. Kita tak boleh nak kawal pemikiran orang lain walaupun orang itu rapat dengan kita. Jadi kadang-kadang, keputusan orang akan bercanggah 180 darjah dengan apa yang kita fikirkan.

Tajul Razin cuba menyentuh bahu isterinya. Indah mengeras dan berganjak jauh sedikit. Proteslah tu. Tak habis-habis. Tajul Razin tersenyum.

"Sayang ni... Ayah yang kahwin lagi satu, abang yang kena marah! Berhari-hari mogok dengan abang, apa kes, yang?" Lembut suara Abang Zen.

"Abang pun suka ayah kahwin semula dengan Mak Cik Mariah tu, kan? Orang lelaki selalu sokong orang lelaki. Menyampah tau! Bab poligami semua orang lelaki bersatu hati menyokong."

"Pula! Itu sebabnya sayang marah abang sekali?"

"Yalah... Bengkak hati ni tau. Lelaki sama saja, bab kahwin ramai semua suka. Semua nak ikut sunah nabi padahal tak tahu kemampuan diri. Konon-kononnya nak tolong perempuanlah. Tak fahamlah! Kalau tak kahwin pun, perempuan-perempuan lemah tak terbiarlah. Ramai yang sudi membantu. Tak perlu ambil suami orang dan sakitkan hati perempuan lain!" tokok Indah dengan nada marah. Termuncung-muncung bibirnya. Tapi comel di mata Abang Zen hingga buat si suami tergelak suka.

"Gelak-gelak! Betullah tu... Abang pun sama macam ayah, macam lelaki lain kat luar sana. Miang!"

Abang Zen terus memeluk Indah ketat-ketat. "Tengok tu... Dah lupalah tu apa yang abang selalu kata. Dalam hati abang ni hanya ada seorang perempuan yang bergelar isteri dan kekasih. Tak ada dua apatah lagi tiga dan empat," bisiknya, memujuk.

Sejak Indah berbadan dua, Abang Zen kerap kali menggandakan aktiviti memujuknya. Sensitif Indah lebih luar biasa. Cepat benar sentap walau hanya pada benda-benda kecil. Apatah lagi dengan perkara serius macam ni. Abang Zen cuma risau akan terjejas emosi dan kesihatan Indah serta kandungan aje.

Itulah... Ayah mentuanya pun satu. Masa inilah dia nak buat kasihan bagai kepada Mak Cik Mariah. Kasihan tak bertempat pula tu. Ibu pun sama, ikut saja apa kata ayah. Puas Dato Safiya nasihat, semua tak jalan. Akhirnya selamat juga Encik Halim nikah semula dengan bekas isteri yang dicerai tiga tahun yang lalu.

"Jangan di mulut saja kata gitu... Bila ada peluang, sambar. Ayah pun sama... Kata sayang ibu bagai, cinta sampai mati tak pernah berubah. Tapi apabila kena rayu dengan Mak Cik Mariah, semua lebur. Cepat benar hati tu berpaling."

"Ayah lain... Jangan samakan dengan abang, sayang." Abang Zen mempertahankan diri.

"Apa bezanya?" Besar mata Indah. Dia menampar dada Abang Zen.

"Banyak bezanya, yang. Hati abang ni tak ada bolak-balik tau. Tak sama dengan lelaki lain."

"Eleh... Cakap besar. Entah-entah kena hembus sikit, terus sangkut. Lupa kita kat rumah ni."

Abang Zen gelak. "Insya-Allah tak." Hidung Indah dicuit. "Doakan yang baik-baik untuk rumah tangga kita, yang. Ayah tu, abang tahu hati dia tetap kepada ibu cuma perikemanusiaannya tinggi. Mak Cik Mariah pernah bertahun-tahun jadi isteri ayah. Sedikit sebanyak ayah tak dapat buang rasa simpati tu apabila Mak Cik Mariah dalam kesusahan. Lagipun dia tak ada tempat bergantung. Ayah rasa bertanggungjawab. Ikutkan ayah pun tak mahu. Tetapi ayah lelaki budiman, dia tak lepas tangan begitu sahaja."

"Tapi Indah geram. Kita dah bagi segala kepada Mak Cik Mariah dan Zawati. Dia orang tak kurang apa-apa pun. Makan, pakai, tempat tinggal semua elok. Nak juga rebut kasih ayah balik."

"Perempuan yang biasa ada suami memang tak boleh hidup seorang, yang. Mungkin Mak Cik Mariah rasa kosong dan hidup tak bermakna tanpa suami di sisi. Tu sebabnya dia merayu-rayu bagai nak rak sampai hilang rasa malu." Sambil berkata, Abang Zen buat mata nakal. "Sayang pun macam tu, kan? Tak boleh hidup tanpa abang. Jika tidak, taklah marah-marah abang sebab ayah, kan?"

Indah menolak-nolak badan Abang Zen.

"Janganlah garang sangat... Nanti menurun ke baby kita perangai mommy yang macam tu," usik Abang Zen lagi. Hati mula kembang setaman melihat Indah yang sudah mula mahu hentikan mogok bercakap dengannya. Kena pukul pun tak apalah, asalkan Indah mahu beri respons kepadanya. Silent treatment tak seronok sangat. Bikin stres melampau.

"Abang tu... sokong ayah!" Indah patah balik kepada persoalan asal.

"Tak. Sayang salah faham. Abang tak sokong. Jauh sekali. Cuma abang tak mahu masuk campur lebih-lebih. Ayah kan lelaki dan orang tua. Dia punya pemikiran sendiri. Keputusan itu merupakan keputusan ayah sendiri dan mendapat restu mama. Jadi sebagai menantu, apa yang boleh abang buat, kan? Cuma mendoakan mana yang terbaik untuk mereka. Harap mereka bertiga bahagia nanti. Kita doakan mereka, sayang."

"Kasihan ibu. Baru saja mengecap bahagia, dah ada langau mengganggu."

"Syyy... Tak baik kata macam tu. Ibu kan reda. Kita kena hormat keputusannya. Bukankah ibu kata, dalam penjara dia dah menghadapi banyak dugaan rohani, jadi sekadar berkongsi kasih itu, apalah sangat untuk dia. Sayang tak patut protes keputusan ibu... Jangan beri dia tekanan apa-apa daripada pihak sayang. Itu caranya kita menolong dan menyokong ibu. Boleh?"

Lama Indah berdiam. Mata dihala ke arah siling. Jauh dan lama berfikir.

"Boleh, kan? Sayang abang perempuan berhati tulus dari dulu, mustahil dalam perkara ini sayang tak boleh lepaskan." Abang Zen tak berputus asa memujuk.

"Hurm... Tapi kalau jadi apa-apa dekat ibu Indah dan ayah, siap abang!"

Abang Zen hanya mampu tersengih dengan ugutan Indah. Dalam hati berdebar-debar. Manalah tahu kan... Entah-entah dia orang ada pelan baik punya. Dia orang tu licik.

Itu sebabnya Indah tak setuju dengan perkahwinan semula Encik Halim dan Mak Cik Mariah ni. Dato Safiya pun melarang keras. Tapi nak buat macam mana? Sudah itu keputusan tuan punya badan. Apa kan daya. Ditegah bagaimanapun, hati Encik Halim sudah bulat dengan janjinya kepada Mak Cik Mariah.

Nauzubillah. Moga Allah sentiasa memberi perlindungan kepada keluarganya, doa Abang Zen. Dua tahun ini mereka dua keluarga sangat bahagia... Janganlah separuh jalan sahaja nikmat yang dirasa. Kalau boleh biarlah sehingga ke syurga.

Semuanya sudah selamat. Encik Halim sekarang berada di kampung menghabiskan masa bersama Mak Cik Mariah yang kononnya tak sihat itu. Ibu Indah pula kelihatan tenang-tenang sahaja menghadapi semua ini. Kata ibu, dia okey saja. Pelbagai ujian dah dihadapinya dalam hidup. Yang ini cuma perkara biasa. Mariah lebih memerlukan Encik Halim di sisi berbanding dia yang sihat walafiat.

Katrina reda dan pasrah. Bersyukur itu lebih tenang dan bahagia. Tidak ada apa-apa lagi yang hendak dikejarnya dalam hidup. Dapat hidup bersama anak dan cucu kesayangan pun, dia bersyukur sangat. Umpama mimpi dalam mimpi. Tidak sangka Tuhan memberi peluang yang satu ini.

Hanya ini doa dia semasa di dalam bilik sunyi lebih dua puluh tahun. Untuk diberi peluang mencurah kasih kepada satu-satu anaknya. Jujur cakap, dia tidak mengharap untuk kembali ke pangkuan Encik Halim walau cinta dia separuh nyawa kepada lelaki itu. Sebab masa dan keadaan telah memisahkan mereka. Dia pasrah. Ada dia suka, tak ada pun tak mengapa. Dia lebih mendambakan Indah Halina daripada Encik Halim. Hidup ini jangan terlalu tamak. 

Bila Terlajak SayangWhere stories live. Discover now