Bab 10

2.5K 46 2
                                    

INDAH HALINA perhati jambangan mawar yang dihulur oleh Safuan ke tangan Abang Zen. Cantik dan indah gubahannya. Kuntuman mawar merah dan putih yang disulami bunga baby breath putih dan merah jambu. Seminit, dua minit dan minit seterusnya dia menunggu untuk suaminya memindahkan jambangan bunga tersebut ke tangannya. Namun Abang Zen tidak juga reti-reti akan perasaan Indah yang ternanti-nanti ini malah selamba sahaja dia meletakkan jambangan itu di atas kerusi belakang setelah mereka sampai ke kereta.

Abang Zen tidak pernah memberi bunga kepada mana-mana perempuan kecuali untuk Indah dan Dato Safiya. Sungguh, itulah Abang Zen yang Indah kenal. Tapi kali ini bunga berhias cantik ni untuk siapa? Indah mula diserang berbagai-bagai perasaan. Geram, sedih dan sayu semua ada. Tapi yang lebih banyak rasa syak wasangka. Tak boleh jadi ni...

"Abang... Bunga tu untuk siapa?" Lengan Abang Zen yang tengah memandu itu dipegangnya.

Begitulah Indah. Dia cuba menyembunyikan perasaan negatif dengan sentuhan kasih. Bagusnya dia, pandai mengawal keadaan semasa emosi tidak stabil. Tidak seperti Abang Zen yang lebih cepat melatah.

Abang Zen tersenyum. "Untuk seseorang yang istimewa," jawabnya bersama jelingan mengancam.

"Mama?"

Laju Abang Zen menggeleng. "Seseorang yang amat abang kagumi. Dia cantik luar dan dalam, lemah lembut, penyayang, tenang dan damai hati yang memandangnya. Abang kagum sangat-sangat."

Wajah Indah automatik menjadi keruh mendengar puji-pujian Abang Zen kepada perempuan lain walau dia cuba mengawal supaya bertenang dan sabar. Tak patut sungguh! Abang Zen cukup berterus-terang. Tidak berselindung-selindung lagi yang dia sudah ada perempuan lain yang lebih baik.

Indah terus diam. Hatinya benar-benar terusik. Terasa hingga ke hulu hati pedihnya. Tambah-tambah dalam keadaannya sekarang. Mudah sangat terasa. Dia tak suka perasaan ini. Malangnya susah untuk dihalang. Datang dan tetap datang berbisik. Hari-hari ada saja yang tak kena. Jika yang berkaitan Abang Zen, lagilah sensitif. Jangan ada lain sikit, mulalah dia pasang prasangka.

Sampai ke destinasi yang dituju, Indah terus membisu mengiringi Abang Zen yang membawa jambangan bunga untuk perempuan baru yang disukainya ke restoran hotel. Bencinya. Rasa nak rampas saja bunga tu dan campak ke laluan kereta sana. Biar digilis kereta. Biar Abang Zen hanya berputih mata melihat bunga kekasih hatinya musnah di depan mata.

Setibanya di restoran, di sebuah meja sudut, Indah terpandang ibu dan ayah. Mereka makan di luar malam ini. Ayah dan ibu memang selalu begitu. Sejak bersatu semula, dua puluh empat jam dengan aktiviti romantik. Mungkin mereka ingin menebus balik masa yang telah terbuang dahulu. Terpandang sahaja wajah ibunya, Indah terus sebak. Perasaan sedihnya sudah tidak dapat dibendung lagi. Dia mendapatkan ibu kemudian terus memeluknya erat-erat.

Hairan Indah Katrina. Anaknya memang acap kali memeluknya tanpa sebab. Dia sendiri pun selalu berbuat begitu. Maklumlah, dua puluh lima tahun menangung rindu. Tempoh dua tahun bersama belum cukup lama untuk melampiaskan rasa itu. Tetapi kali ini lain macam sahaja cara anaknya. Naluri ibunya dapat merasakan.

"Kenapa sayang?" tanyanya berbisik.

Indah menggeleng perlahan. "Tiba-tiba rindu ibu..." balas Indah sambil mengelap air mata dengan hujung tudung bawalnya.

Dia sangat kecil hati dengan sikap Abang Zen. Kenapa tiba-tiba sahaja boleh berubah hati? Sudah dibomohkan seperti ayah yang dikenakan oleh Mak Cik Mariah dahulu? Lepas tu Abang Zen boleh sengih-sengih pula apabila melihat Indah menitiskan air mata.

Selepas pelukan ibu dilepaskan, Abang Zen menghulur jambangan mawar tadi kepada ibu.

"Untuk ibu... Terima kasih kerana menjadi ibu kandung kepada isteri Zen. Dan Zen harap akan bertuah seperti ayah suatu hari nanti yang terus dapat menatap wajah Indah yang cantik dan membahagiakan pada usia yang berharga sebegini. Zen selalu berangan untuk waktu itu tau..."

Terkedu Indah sekejap. Betulkah apa yang dia dengar? Tak salah dengar, kan? Lalu Indah terus memindahkan pelukannya ke tubuh Abang Zen. Ketat-ketat. Tanpa mempedulikan mereka berada di tempat awam.

Abang Zen tahu apa perasaan Indah sebentar tadi. Namun dia sengaja mendera. Hendak melihat tahap cumburu Indah. Ternyata berbaloi. Dalam pada itu, Abang Zen kasihan sangat kepada isterinya. Rasa sangat tak baik dia buat Indah macam tu. Indah kan tengah sensitif sekarang ini kerana pembawakan budak.

"Maafkan abang, sayang..."

Tersenyum simpul ayah dan ibu Indah. Tak malu betul anak perempuan dia orang ni. Tunggulah balik rumah kut ya pun hendak beromantika tahap terlebih dos. Menantu mereka pun sama naik aje. Tak menahan sungguh. Jika di rumah dia orang dah lali... Selalu benar menonton pertunjukan percuma. Jiran sebelah rumahlah kata kan... Anak menantu sendiri juga. Nak kata apa, sabar sajalah jawabnya. Dia orang bukan buat dosa malah dia orang dapat pahala.

ABANG ZEN merapatkan tubuhnya ke sisi Indah. Rindu sangat. Seharian tak jumpa. Dia sibuk di pejabat dan Indah berehat di rumah atas nasihat doktor supaya jangan banyak bergerak. Rahimnya tidak kuat pada peringkat awal kandungan. Baru beberapa minggu. Kalau ikut tuan punya badan, hendak saja ke sana ke sini tapi Abang Zen yang melarang keras.

Indah tersenyum manis kepada suami tercinta "Miss you." Dilabuhkan wajah ke bahu Abang Zen.

"Miss you more, sayang," balas Abang Zen dengan nada romantis.

"Abang nampak letih sangat. Banyak kerja?"

"Kerja tak pernah habis. Sayang tak ada, abang double stress."

"Salah Indah la ni? Kalau macam tu, esok Indah masuk kerja semulalah..."

"Mana boleh! Mommy tak boleh aktif-aktif sekarang. Nanti dah sihat masuklah ofis. Bukan tak boleh kerja pun. Sayang ni, sayang kerja ke atau sayang keluarga kita?"

Dalam lembut Abang Zen membantah. Kalau Indah tak kerja pun harta mereka sudah berlambak untuk hidup senang. Tapi Abang Zen masih benarkan Indah kerja kerana ingin selalu bersama isterinya. Kiranya Abang Zen pun pentingkan diri jugalah. Dia nak Indah sentiasa di sampingnya.

"Ouch!"

Tiba-tiba Safiena meluru dan ganas menghempas tubuh kecilnya ke atas Indah. Abang Zen pantas meleraikan mereka dan mengambil Safiena ke dukungan. Tangan sebelah lagi memeluk isterinya.

"Sayang okey?" Risau Abang Zen melihat kerutan di dahi Indah. Rupa sakit yang amat.

Perlahan Indah angguk.

"Ya Allah, Safiena... Kenapa buat mommy macam ni? See... Mommy sakit. Minta maaf dengan mommy. And next time don't do it again, okay..." tegur Abang Zen dengan suara lembut tapi bernada tegas.

Indah Safiena menurut. Tahu bersalah. Dia mencapai tangan mommynya untuk dicium. Lepas itu dia mengucup pipi mommynya kiri dan kanan bertalu-talu.

Abang Zen menggeleng. Ketara berubah sikap dua perempuan kesayangannya sejak Indah mengandung anak kedua. Indah, manja dan rajuknya bukan main lagi tapi Abang Zen makin suka untuk melayan. Tak jemu-jemu. Safiena juga menuntut lebih perhatian terutama daripada mommynya. Berbagai-bagai ragam dia sekarang. Agaknya dah mula terasa yang kasihnya akan terbahagi untuk si adik.

Namun Abang Zen semakin bahagia. Dia memiliki sebuah rumah tangga yang lebih baik daripada yang diidamkan. Sungguh dia tidak menginginkan yang lebih baik daripada itu.

Syukur dengan pemberian-Mu, Ya Tuhan...

Bila Terlajak SayangOnde histórias criam vida. Descubra agora