Bab 12

2.4K 44 1
                                    

ILYANA kusut. Dia mengambil cuti panjang. Bukan. Sebenarnya dia akan cuti terus. Tak nak kerja di Gedung Pakaian SAIN lagi. Dalam diam Ilyana mengambil keputusan untuk pergi dari situ. Sayang... Sungguh dia sayang kerjanya di situ. SAIN ialah jiwa Ilyana. Dia suka fesyen, suka bergaya dan suka buat orang nampak cantik. Tak ada masalah dari segi kerja. Masalahnya cuma jiwa yang selalu kacau. Apabila yang dalam kacau, yang lain sikit sebanyak kena tempiasnya.

Dia perempuan biasa. Yang inginkan perhatian daripada insan yang telah berjanji untuk jaga dan melindunginya. Namun dia seringkali kalah dalam merebut kasih sayang Tajul Fahin. Bukan sahaja kepada Indah, dengan Safiena yang kecil itupun dia kalah. Tajul Fahin lebih ikhlas melayan Safiena daripada melayan dirinya yang tinggi lampai dan cantik bergaya ini. Huh!

Ilyana tidak dengki kepada Indah. Jauh sekali berdendam kepada Safiena. Hari ke hari, dia cuba memperbaiki diri dengan membuang sifat-sifat keji dalam hati. Dan dia berjaya. Sangat mengagumkan. Tidak ada perasaan marah pun kepada Indah, perempuan kampung yang selalu dihinanya dahulu. Dia telah terima kenyataan yang Indah memang perempuan baik dan berhati mulia seindah namanya.

Dalam kemelut hubungannya dengan Tajul Fahin, Indah tak salah. Ya... Indah tak tahu apa-apa. Yang salah adalah perasaan cinta Tajul Fahin. Itu yang buat Ilyana berjauh hati. Sungguh-sungguh makan hati.

Ilyana sudah tidak sanggup melihat perhatian Tajul Fahin kepada kakak iparnya. Indah tak ada di pejabat, Tajul Fahin tetap akan bertanya khabar Indah sana sini. Kepada Hasma, Safuan dan kepada staf lain. Ilyana sudah tidak dapat menahan hati apabila melihat mata Tajul Fahin yang masih sarat dengan cinta apabila memandang Indah. Mungkin orang lain tidak tahu dan tidak perasan. Tapi tidak Ilyana. Dia tahu segalanya. Dia di sebelah seperti tunggul sahaja layaknya. Dibiar keseorangan makan hati dan menjeruk rasa.

Hari ketiga bercuti seorang diri, dia membawa hati yang lara di Kampung Air, Bukit Merah Lake Town Resort. Damai di sini. Chalet yang dibina di tengah tasik membuatkan dirinya terasa berada di tengah lautan yang sunyi tanpa sempadan. Jauh dari masalah manusia yang berbagai-bagai ragam. Senario alam waktu matahari naik dan tenggelam di sini memberi ketenangan. Indahnya ciptaan Tuhan.

Tiga hari di sini, tiga hari jugalah dia tidak keluar bilik. Dunianya hanyalah katil dan balkoni di luar. Telefon bimbit yang berdering tidak dihiraukan. Jika ada Missed Call daripada mommy baru dia membuat panggilan semula. Yang lain, maaf. Tak berminat. Panggilan daripada Tajul Fahin pun tak berminat. Ada tiga panggilan daripada tunangnya bermakna satu hari hanya satu panggilan. Apakah tandanya itu? Sekadar bertanya khabar saja, kan? Bukannya rindu ke, apa ke...

"Hai... Selamat pagi."

Suara parau seorang lelaki menegur dari balkoni sebelah menyentakkan lamunan Ilyana. Ilyana perasan lelaki tersebut dari semalam lagi. Selagi tidak mengganggu dia, tidak menjadi hal. Masing-masing bercuti. Kampung Air ini bukan dia seorang yang sewa.

Terlintas Ilyana untuk menoleh ke sebelah. Lelaki tersebut memberikan senyuman manis. Sangat manis sehingga mampu menggetarkan jantung Ilyana. Jarang ada lelaki yang boleh bikin perasaan begitu. Boleh tahan wajah lelaki tersebut. Damai dan tenang. Seperti tasik di hadapannya. Tenang-tenang saja airnya. Langsung tanpa segan Ilyana membalas senyuman tersebut. Sehabis manis juga. Orang berbahasa, kita juga perlu berbahasa, kan? Prinsip hidup Indah yang selalu dia dengar apabila mereka berbual.

"Seorang?" Lelaki itu bertanya lagi.

Ilyana buat-buat cari orang di sekelilingnya. "Nampak orang lain ke?" Dengan suara manja dia tanya. Gediknya tiba-tiba datang semula. Tindakan spontan kut apabila jumpa lelaki yang dapat mencuit perasaannya.

Lelaki tersebut ketawa senang. "Samalah kita. Senang hati nampak wajah ceria you. Dua hari sebelum ni you muram saja."

"Dua hari? You spy?"

Lelaki itu angguk. Senyum. Renungan mata dia...Ilyana tertawan. Redup menusuk jantung. Kalah Tajul Fahin. Tajul Razin pun kalah.

"Mommy I hantar?"

Lelaki itu ketawa lagi.

"Syed Azhar." Dia kenyit mata sebelah. "Lelaki budiman. Tiada kaitan dengan mommy you atau siapa-siapa yang you kenal."

"Ilyana. Habis tu apa tujuan spy I?"

"I cuma tertarik dengan seorang gadis ayu yang sedang bersedih memandang tengah tasik. Risau takut ada yang terjun ke dalam tu."

"I masih ada iman. Tak buatlah benda-benda keji macam tu..."

"Good! Jika tak, melepaslah lelaki baik di atas muka bumi ni. You tahu, satu pergi, sepuluh akan berebut-rebutkan perempuan manis macam ni tau. Yang jual mahal tu biarkan dia rugi. Yang sepuluh ni you pick up as you wish. Jangan susah-susah hati dan buang masa fikir. Go girl...Mungkin ada yang lebih baik. Yang lebih sayang and care you. You deserve, kan?"

Ilyana tergelak. Pandai mamat ni meneka. Dengan suara parau romantisnya, tak sampai hati Ilyana protes balik. Lagipun betul apa yang dikatakan oleh Syed Azhar.

"Dah breakfast?"

Ilyana geleng.

"Temankan I."

Ilyana diam. Tak pernah bersarapan yang disediakan oleh pihak hotel. Dia sanggup bayar lebih untuk sarapan di dalam bilik. Biasa dia makan di balkoni ini sambil menikmati keindahan pagi tasik.

"You tahu tak ada alim ulama kata jangan malu cari kawan kerana mungkin antara mereka mampu menjadi sahabat dunia akhirat kamu," pujuk Syed Azhar, cara berjenaka.

"Pandailah..."

"Jangan salah sangka, I baru pandai mengayat pagi ini. Dah dua hari nak tegur tapi lidah kelu. Hari ni baru ada kekuatan. Tak tidur dua malam tau! Teringat orang sebelah. Sepatutnya dah balik KL, tapi sebab tak dapat bercakap dengan you lagi, I tangguh balik. Stay lagi." Syed Azhar berhenti sekejap untuk ketawa. "Jomlah! Sebelum I mati kebuluran dalam tasik ni..."

Ooo... Bersungguhnya dia!

Apa lagi yang Ilyana hendak jawab? Sengih-sengih malu ajelah. Dalam masa singkat, dia terpesona dengan cara Syed Azhar. Gaya dia, cara mengayat, perawakannya dan renungan matanya... Ooo, semuanya nampak sangat budiman di matanya. Ilyana tidak pernah memandang lelaki lain secara serius kecuali kepada anak-anak lelaki Dato Safiya. Bodoh, kan? Rasanya sudah tiba masanya dia membuka hati untuk lelaki lain yang bukan golongan Tajul. Cukup-cukuplah apa yang Tajul-Tajul itu buat kepada hati dan hidupnya.

"Okey... You tunggu kat luar. I nak siap dulu."

"Nak siap apa lagi? Dah cantik, kan?"

"Oh... Ini cantik dalam rumah. Keluar kena lagi cantik." Ilyana kan orang fesyen, mana mungkin keluar bilik dengan penampilan biasa-biasa saja. Dari kecil dia diajar bergaya.

"Wah... Bertuahnya I kalau gitu."

Ilyana tersenyum. Dia yang bertuah pagi ini. Tidak pernah dipuji sebegitu oleh Tajul Fahin, apatah lagi Tajul Razin. Tetapi lelaki bernama Syed Azhar ini membuatkan dia rasa dihargai. Rasa mulia menjadi perempuan. Kali pertama dia tidak terhegeh-hegeh sebaliknya dia yang dikejar.

Hubungan yang bermula terus menjalar hingga ke kota Kuala Lumpur. Hari bertukar minggu, hati Ilyana semakin hidup. Nak tidur ingat Syed Azhar, bangun pun terus bersemangat kerana Syed Azhar. Setiap saat Syed Azhar. Senyum dia, renungan matanya, suaranya... Waduh! Sasau Ilyana.

Sungguh... Syed Azhar lelaki yang boleh memberi kasih sayang dan perhatian kepada Ilyana tanpa berbelah bahagi. Seratus peratus! Ilyana bahagia. Bahagia sangat. Susah nak cerita kepada orang lain. Hanya dia yang rasa dan tahu perasaan ini. Walaupun masih baru, namun mampu membuatkan dia hidup penuh nikmat.

Selamat tinggal Tajul Fahin...

Selamat tinggal dunia suram. Ilyana bukan lagi gadis malang yang asyik mengharap kasih daripada orang yang tidak sudi...

Bila Terlajak SayangWhere stories live. Discover now