Bab 13

2.3K 37 0
                                    

"KENAPA dengan Indah, Zen?" soal Dato Safiya serius kepada anak sulung yang baru melabuhkan punggung di sebelahnya.

Dia tak puas hati tengok menantu kesayangan asyik mengurung diri di dalam bilik. Balik rumah sendiri pun tak nak. Dah tiga hari di sini. Bergaduh dengan Tajul Razin ke? Tapi anak dia relaks aje. Selalu tu kalau bergaduh laki bini, anaknya yang macam cacing kepanasan. Gelisah tak tentu arah.

"Merajuk, ma..." bisik Tajul Razin.

"Habis tu kenapa tak pujuk? Dah masuk hari ketiga ni." Dato Safiya turut berbisik.

"Bukan merajuk dengan Zen. Tu yang payah nak pujuk," bisiknya lagi.

"Habis tu? Dengan siapa? Tak elok bawa budak ni beremosi lebih-lebih." Dato Safiya malas main bisik-bisik. Bukan seronok pun pun dengan bapak orang ni. Lainlah kalau dengan Safiena. Tapi cucunya pun turut merajuk berjemaah dengan mommy dia. Tak keluar-keluar bilik.

"Dengan ibu. Best friend mama tu..."

"Apa pasal pula? Apa yang tak kena, Zen?" Dato Safiya mula mengerutkan dahi. Tak suka dengar yang bukan-bukan. Tambah-tambah keadaan Indah yang belum kuat lagi.

"Ibu rela bermadu dengan Mak Cik Mariah. Itu yang Indah marah benar."

"Hah?" Terbeliak mata Dato Safiya. Kalau ya... dia pun nak merajuk sama.

"Betul, mama."

"Kamu ni, Zen... Janganlah buat bergurau benda macam ni."

"Tak gurau, mama. Serius! Mama tahu ajelah ibu tu. Lembut hati, penyayang dan suka beralah. Cepat simpati lihat orang susah. Sampai sanggup cadang berkongsi suami."

"Astaghfirullah... Kat ni, nak buat baik tak kena tempat. Kalau ya pun nak bermadu, ibu-ibu tunggal di Palestin sana ramai dan betul-betul susah. Pergilah ambil tiga orang bawa sini. Ini tidak... Manusia jahat tu juga yang dia nak buat baik. Patutlah Indah tu merajuk benar. Mama pun tak setuju. Apa pasal sampai nak bagi semula Encik Halim tu kat Mariah? Yang Indah tolong selama ini pun sudah berlebih-lebih."

"Entahlah, mama. Zen pun pening. Tak berani campur tangan sangat. Itu hal ibu dengan ayah. Biarlah mereka buat keputusan. Tapi Indah memang protes habis. Dia tak mahu ibu suffer lagi. Masalahnya... Ibu sendiri yang sanggup dan reda."

"Kerja gila namanya tu." Dato Safiya bangun. Dia hendak melihat menantunya yang mogok. Tak salah Indah mogok. Dia sendiri pun rasa hendak buat begitu. Kadang-kadang rimas juga dengan Katrina ni. Terlalu baik sangat! Sampai dipijak-pijak orang. Orang yang lumpuh pula tu. Logik tak?

Tajul Razin mengekori dari belakang. Rindu dengan orang merajuk tu. Indah ni pun satu, marah nyamuk, kelambu dia bakar. Merajuk dengan ibu, sekali dia-dia kena bahangnya. Sayang bini kenalah sabar. Dia tahu Indah juga cukup bersabar selama jadi isterinya. Jadi bila Indah tengah weng, takkan dia pun sama hendak weng? Kenalah ada tolak ansur.

"Tak payahlah nak ikut sangat!" marah Dato Safiya. Asyik nak menyibuk aje apa hal? Bagi peluanglah untuk dia berbual hati ke hati dengan Indah.

Tajul Razin berhenti melangkah kemudian patah balik ke belakang. Padan muka.

Seminggu sebelumnya...

"Abang Halim, tolonglah Yah. Kami berdua susah sangat hidup. Kahwinlah semula dengan Yah. Yah tak kesah jadi isteri kedua pun."

Mak Cik Mariah merayu Encik Halim di hadapan Katrina, Indah dan Tajul Razin. Tangan Encik Halim ditarik-tarik lalu diletakkan ke dadanya. Tak terkata apa Encik Halim. Nak marah, Mariah sedang sakit. Tak patut sangat orang sihat buat macam tu kepada orang yang tengah lemah. Kena bawa bersabar menghadap orang sakit ni. Hendak direntap semula tangan, tak sampai hati. Lalu dibiarkan sahaja Si Mariah buat sesuka hati. Alah... Tangan aje pun. Tapi dosa tetap dosa. Bukan mahram lagi tu. Kasihan pun janganlah sampai tambah dosa.

"Yah sayang Abang Halim. Sebab tu Yah sanggup buat apa saja sebelum ni supaya Abang Halim tak pergi dari Yah. Yah bodoh, Yah menyesal. Abang Halim ambillah Yah semula. Yah tak sihat. Yah hanya ada Abang Halim saja di dunia ni. Yah mana ada siapa-siapa dah. Tinggal Za dengan Abang Halim saja. Kalau Abang Halim tak terima Yah, tinggallah Yah sorang-sorang. Tak ada siapa yang nak tengok. Kasihan, Za... Dia perlu teruskan hidup. Takkan nak jaga Yah sepanjang hayat? Dia masih muda."

Mak Cik Mariah terus meraung dan merayu tanpa segan silu. Bercucuran air mata. Drama ke apa? Tak kesahlah. Inilah peluang untuk dia meraih semula bekas suaminya. Nasib baik mulutnya dah boleh bercakap dengan lancar, tidak seperti sebelum ini yang hanya boleh uk... uk... Tubuh yang berada di atas kerusi roda ini juga banyak membantu. Nampak Encik Halim bersimpati sangat dengan keadaan dirinya yang masih tak berupaya.

Inilah masanya, Mariah. Jika sihat walafiat nanti, sudah tentu Encik Halim tak peduli. Isteri dia Katrina tu jauh lebih cun. Tapi dia amat faham tentang kelemahan Encik Halim. Sebab tu dia tak nak lepaskan peluang. Dan mereka itu cepat saja lupa yang Mariah a.k.a Yah kampung ini ada kepakaran tersendiri. Orang kota seperti dia orang pasti tak tahu punyalah!

"Kat... Kasihanlah Yah. Yah tak ada siapa-siapa lagi kecuali Abang Halim. Yah bukannya nak apa-apa, Yah cuma nak kongsi Abang Halim sikit saja. Kat boleh ambil banyak-banyak. Yah dapat sikit pun jadilah. Yah rayu dekat Kat, kasihanilah Yah."

Tangan Mak Cik Mariah beralih pula ke tangan Katrina. Digenggamnya kuat tangan Katrina. Sungguh-sungguh punya merayu.

Tak sampai hati Katrina melihat rayuan Mak Cik Mariah. Keluar juga air matanya. Turut sama merasai keperitan yang kononnya hebat ditanggung oleh Mariah, bekas isteri suaminya. Hatinya lembut dan mudah saja jatuh simpati pada nasib malang orang lain.

Indah dan Tajul Razin saling berpandangan. Nampak sangat mata Indah yang tidak selesa dengan situasi ini. Abang Zennya memberi isyarat supaya bersabar.

"Mak cik tak susah apa kan selama ini? Semua keperluan mak cik Indah sediakan, kan? Indah beli ubat, doktor terbaik untuk rawat mak cik, makan pakai semua tak kurang, kan?"

Suara Indah tegang. Dia mula meluahkan isi hatinya yang tidak suka dengan permintaan Mak Cik Mariah. Baginya bekas emak tirinya ini melampau. Diberi betis, hendak paha.

Abang Zen cuit-cuit isterinya.

"Indah... Mak cik kamu kan sakit," tegur Encik Halim lembut.

"Ayahhh..."

"Syyy... Betul kata ayah, sayang." Ibu Indah bersekongkol dengan Encik Halim.

Lidah Indah jadi kelu. Ikut hati, nak saja dia berperang di sini dan meluahkan perasaannya. Mak Cik Mariah tu ada ilmu hitam, sebab itu mudah saja dia pengaruh ibu dan abah. Indah memandang mata Abang Zen, minta pertolongan tetapi riak wajah suaminya seperti orang keliru.

Akhirnya Indah terdiam. Turut sama keliru bersama Abang Zen. Agaknya Indah dan Abang Zen pun dah kena manderem. Menurut Mak Cik Kiah yang kerap menelefon Indah memberi laporan, Mak Itam ketua geng manderem di kampung tu kerap berulang-alik ke rumah pusaka yang didiami Mak Cik Mariah. Hesy... Zaman WhatsApp dan WeChat ni masih ada ke manderem dan kemenyan tu? Wujud lagi ke?

Wujud, Indah... Selagi ada syaitan dan iblis!

Zawati yang duduk sangat sopan tidak jauh dari situ, masih dengan muka sekupangnya. Membantu emaknya berdrama. Biar nampak kehidupan mereka berdua sangat belas kasihan. Yang paling penting pandangan Encik Halim dan Indah Katrina. Pandangan Indah Halina tak perlu sangat. Yang hendak ditawan ialah hati Encik Halim dahulu. Dapat yang itu, yang lain beres!

Sebaik sahaja Encik Halim, isteri dan anak menantunya pergi, dua beranak itu ketawa berdekah-dekah. Lakonan mereka tetap mantap seperti dahulu.

Misi yang sudah nampak titik permulaan yang baik. Yeayyy... Kegemilangan Mariah dan Zawati akan kembali!

Bila Terlajak SayangOù les histoires vivent. Découvrez maintenant