Bab 11

2.4K 37 0
                                    

"WATI! Wati!"

Zawati menjenguk di tingkap. Mak Cik Kiah tengah termuncung-muncung. Mata dia melilau mencari kelibat Zawati. Tak jenguk pun Zawati tahu itu suara Mak Cik Kiah. Benci tau. Mak Cik Kiah dan orang kampung sini suka sangat panggil nama dia Wati. Dia tak suka. Dia lebih gemar dipanggil Za. Lebih lembut. Wati tu semacam aje bunyinya. Baginya nama tu seperti untuk perempuan jahat. Uiks... Za a.k.a Zawati tu perempuan baik ke? Bajet bagus.

"Wati... Assalamualaikum. Assalamualaikum!"

Suara Mak Cik Kiah terus kalut memanggil. Geram aje Zawati tengok. Bertambah rasa tak suka kepada orang tua ni. Penyibuk! Dah tu semua orang kampung suka sangat dengar cakap dia. Mentang-mentanglah Mak Cik Kiah ni mak andam terkenal plus kepala geng kaum wanita kampung. Menyampah! Nantilah Zawati jadi cantik semula esok, dia akan pengaruhi perempuan di kampung ini. Biar Mak Cik Kiah itu kalah terduduk.

"Wati..."

"Hah... Apa hal Cik Kiah? Itulah cari orang dengan mulut, sebab tu tak nampak orang dah lama tercegat kat tingkap ni."

Mak Cik Kiah terus menoleh ke arah tingkap. Berkali-kali dia menelan liur. Seram pula apabila melihat perempuan di tingkap itu hodoh, muka serabai dan dengan rambut kusut-masai mengurai ke depan. Dahlah rumah ni di dalam hutan sawit. Dengan berita yang hendak disampaikannya pula... Semua bikin Mak Cik Kiah cemas. Dia yang dikenali wanita gagah kampung boleh rasa nak gugur jantung tika ini. Hilang sebentar semangat wajanya.

"Cik Kiah dah kena sampuk hantu ke? Sampai terpaku dekat situ?"

"Isy, kamu ni, Wati. Terkejut Cik Kiah dibuatnya. Cik Kiah nak bagi tahu satu perkara ni. Kamu sabar, ya." Mak Cik Kiah bersuara sayu.

"Apa bendanya? Tak payahlah nak berdrama sangat dengan saya. Dengan emak bolehlah. Saya malas nak layan benda-benda tak ada kaitan. Buang masa."

"Ini fasal emak kamulah, Wati... Dia accident kena langgar dengan motor kat pekan. Pi la siap... Cepat! Cik Kiah bawa kamu pergi hospital sekarang."

Mata Zawati terbeliak. Apa benda Mak Cik Kiah merepek ni? Baru kejap tadi emak dia elok-elok saja jalan berlenggang, takkan dah masuk hospital kut?

"Eh, Cik Kiah, cakap tu biarlah yang betul-betul. Bab emak orang tak suka main-main. Dia saja yang orang ada."

"Ya Allah, Wati... Apa faedahnya Cik Kiah nak buat lawak dengan kamu benda-benda serius macam ni? Kalau tak kerana terpaksa, Cik Kiah tak mahunya cari kamu yang serabai lagu ni. Kusut otak. Cepatlah! Kamu nak pergi ke tidak? Tak ada orang yang nak urus emak kamu di sana. Kamu nak biar dia terlentang sorang-sorang?" tegas Mak Cik Kiah.

Tak kuasa hendak berlama-lama berlawan cakap dengan Zawati. Kita nak tolong, dia menyombong. Patutnya tinggalkan aje. Biar menonong cari teksi sendiri. Itulah orang kata bodoh sombong. Kita cuma nak menolong, dia menyangka yang bukan-bukan. Susah ada manusia macam ni. Berbeza sangat dengan adik tiri dia yang baik tu. Jumpa tepi jalan pun ramah ditegurnya. Kalau jumpa kat pasar raya, macam-macam dia belanja. Untung sangat. Siap dikirim untuk orang-orang kampung. Kenapalah Zawati tak seperti Indah?

"EMAK... Emak, kenapa jadi macam ni? Siapa yang jahat sangat langgar emak? Apa dosa mak dekat dia orang? Dah tu langgar lari, satu sen pun tak bayar ganti rugi. Kejam punya manusia."

Tidak henti-henti Zawati meratap nasib malang yang menimpa emaknya. Hilang sudah tiang seri tempat dia bergantung. Emaknya hanya terbaring di atas katil. Tak mampu buat apa-apa. Bercakap pun tak mampu. Hanya mimik muka dan isyarat mata sahaja yang ada sebagai ganti.

Mak Cik Mariah mengalirkan air mata. Anaknya sebut tentang dosa dan tentang kekejaman. Memanglah dia tak berdosa kepada orang yang langgar dia, tetapi dia banyak dosa dan kejam kepada Indah, kepada Saiful dan lebih-lebih lagi kepada bekas suaminya, Encik Halim. Agaknya inilah balasan Tuhan atas perbuatannya yang lalu. Anaknya Zawati juga telah mendapat balasan setimpal. Dua tahun lebih terkurung di dalam rumah. Malu kerana hodoh. Itupun nasib baik hodoh saja. Kalau buta?

Sudah dua minggu Mak Cik Mariah keluar dari hospital. Buat masa ini dia memang bergantung hidup sepenuhnya kepada orang lain. Makan, mandi, buang air, semua diuruskan anaknya, Zawati. Habis dengan siapa hendak diharapkan lagi? Dia mana ada anak lain. Nasib baik juga Zawati yang bermuka hodoh ni boleh diharap. Jika dia masih lawa seperti dahulu, kemungkinan nasib Mak Cik Mariah bertambah malang.

Menurut doktor, keadaan Mak Cik Mariah akan beransur baik. Dia tidak akan terlantar selama-lamanya begini. Perlahan-lahan dia akan pulih. Kena banyak bersabar dan jangan putus asa berubat.

Duit perubatan tidak menjadi masalah. Awal-awal lagi Indah telah memberi kesanggupan. Dengar saja berita daripada Mak Cik Kiah yang Mak Cik Mariah kemalangan, Indah dan suaminya terus datang melawat. Encik Halim pun datang. Masa itu Mak Cik Mariah masih di hospital. Semua kos hospital Indah yang bayar.

Tanpa pertolongan Indah, tak tahulah apa yang harus Zawati buat. Dia bukan ada simpanan apa-apa. Dua tahun lebih ni, makan pakainya semua Indah yang tanggung. Nak kata berlebihan duit yang diberi itu tidaklah. Sekadar mereka cukup makan sedap-sedap dan pakaian bukan yang murah-murah. Masih berstandard. Indah kan tauke baju...Mana dia nak beri yang murah-murah. Indah tak pernah berkira dengan mereka anak-beranak. Namun dia juga tak mewahkan mereka sangat. Tak mahu kakak dan emak tirinya ambil kesempatan.

"Emak, cepatlah sembuh. Za dah nak pergi operation. Siapa nak jaga emak bila Za tak ada nanti? Tolonglah mak. Za ni muda lagi. Janda-janda pun, lama lagi Za nak hidup. Takkan nak terus hidup dengan muka hodoh ni. Za nak bangkit semula. Za nak jadi cantik dan terkenal. Za janji, mak. Za akan buat emak berbangga. Emak, cepat sembuh. Emak kena tengok Za yang cantik dan hebat. Za janji, mak... Za akan jadi hebat. Lebih hebat daripada Indah. Za nak emak bangga dengan Za."

Uk... Uk... Uk... Itu saja yang dapat Mak Cik Mariah balas. Air matanya terus mengalir. Simpati... Ya, dia sangat simpati kepada anak tunggalnya. Jika dia sihat, dia akan pastikan anak dia berjaya. Dari dulu Zawati teringin untuk jadi perempuan hebat. Malangnya anak dia selalu tidak bernasib baik. Tidak seperti Indah, nasib sentiasa menyebelahi anak tirinya. 

Bila Terlajak SayangOpowieści tętniące życiem. Odkryj je teraz