Bab 2

7.4K 108 0
                                    

DUA hari lepas masak sambal udang kegemaran Abang Zen, semalam buat kari kepala ikan dan petang ini pulang saja dari pejabat, Indah terus berperang di dapur. Suami tersayang nak makan daging salai masak cili api pula. Resipi yang emak Hasma ajar semasa pergi ke rumah mereka di Seremban hari tu.

Subuh-subuh bening Abang Zen dah pesan nak Indah yang masak, tak mahu dari tangan Mak Siti. Peliklah Abang Zen ni sejak balik dari luar negara. Manjanya mengalahkan Safiena. Semua benda nak Indah buat untuk dia. Stoking pun dah tak tahu pakai sendiri.

"Sayang, raya ni buatkan abang ketupat palas, ya? Masa kat London hari tu, abang asyik terbayang-bayang benda tu. Meleleh air liur." Abang Zen yang baru menjenguk ke ruang dapur membuat permintaan lagi.

"Alaaa... Tak pandailah. Tak pernah buat. Dulu ayah yang buatkan tiap-tiap tahun, Indah sikitpun tak nak tolong. Leceh, melekat-lekat pulut tu kat tangan..."

"Belajarlah dengan Mak Siti," pinta Abang Zen penuh mengharap.

Dari jauh Mak Siti sudah tersengih-sengih sambil menggeleng. Sebenarnya Mak Siti pun tak pandai buat. Setiap tahun dia masak ketupat nasi sahaja. Mana pernah Dato Safiya dan anak-anaknya merengek nak makan ketupat pulut. Permintaan mengarut.

"Sayang... Kita Google la cara buat..." Abang Zen tidak berputus asa.

Belas pula Indah mendengar rayuan Abang Zen. Apa salahnya kalau dia berusaha dan bersusah payah sedikit? Abang Zen sanggup buat apa sahaja demi dirinya, tapi dia? Takkanlah permintaan sekecil ini pun tak mampu ditunaikan?

"Tak perlu, abang... Nanti Indah minta ayah tunjukkan..." Apa susah-susah, di sebelah rumah ada pakar buat ketupat palas. The best in town apa hasil tangan ayah. Setiap tahun buat sendiri.

"Tapi abang tak nak makan yang ayah buat tau. Nak yang dari tangan comel ini juga." Abang Zen pegang tangan Indah yang tengah mengacau masak lemak daging salai.

Dia maklum yang bapa mentua akan buat apa sahaja demi anaknya. Boleh sahaja ketupat palas sampai di depan pintu rumah tanpa susah payah membuatnya. Indah sebut nak makan apa-apa sahaja, sekejap sahaja ayah dan ibu akan datang hantar.

"Yalah, suami tersayang... Walau macam mana payah sekalipun, Indah akan sediakan untuk abang."

Lebar senyuman Abang Zen. "Ini yang buat kasih dan cinta abang makin melimpah ruah kepada sayang sorang..."

Indah mencebik. "Yalah tu... Indah seorang, tapi apa-apa hal Safiena yang dapat lebih..."

Abang Zen merangkul isterinya dari belakang. Indah, dengan anak sendiri pun nak cemburu. Tapi apa bezanya dengan dia? Tak habis-habis berprasangka kepada Tajul Fahin. Bukankah adik kandung sendiri tu? Jika Tajul Fahin ingin memiliki Indah, adiknya tidak akan melepaskannya dahulu.

Tetapi sikap Tajul Fahin akhir-akhir ini terlebih prihatin kepada Indah dan Baby Safiena membuatkan Abang Zen dalam keadaan serba tak kena dan kegelisahan. Risau tak sudah-sudah.

Lebih merunsingkan apabila melihat hubungan Tajul Fahin dengan Ilyana yang semakin meruncing. Masing-masing menjeruk perasaan dan memendam rasa. Janganlah Indah dijadikan alasan kepada masalah mereka. Oh... Tidak!!!

Indah seperti udara yang disedut setiap saat. Mana mungkin Tajul Razin kehilangan oksigennya? Cukuplah keperitan yang pernah dirasai dahulu. Dia tidak sanggup merasainya untuk kali kedua. Itu yang selalu dipohon kepada Yang Maha Esa... Dia tidak mahu takdir berulang untuk kali kedua dan terpaksa melepaskan si dia walau diri tidak pernah merelakan. Masa itu, dia rasa seperti mayat hidup di bumi ini. Jasad sahaja bergerak sana sini tapi rohaninya kosong, tak bernyawa. Sungguh dia serik.

Indah Halina... Dijadikan Tuhan khas untuk Tajul Razin. Hilang Indah Halina bererti hidup Tajul Razin juga akan hilang. Ujilah dirinya, Ya Tuhan... Tetapi mohon jangan diuji tentang kehilangan isterinya. Dia tidak mampu bertahan seorang diri.

Petang esoknya, permintaan khas Abang Zen hampir lapan puluh peratus disiapkan oleh Indah. Terkehel-kehel jari-jemarinya melipat daun palas khas untuk suami. Puas diketawakan oleh ayah dan ibunya. Dia sanggup cuti kerja demi cinta dan kasihnya kepada Abang Zen. Tapi Indah ikhlas. Gembira si suami, bermakna bahagialah juga dirinya.

"Baby Safiena di rumah ibu ke, sayang?" tanya Abang Zen. Sebaik sahaja pulang dari pejabat, si kecil tiada bersama Indah ketika menyambutnya pulang.

Indah menepuk dahi. "Ya Allah, Indah lupa beritahu abang. Bro Fahin bawa baby keluar jalan-jalan. Shopping katanya."

Wajah Abang Zen berubah. "Dari pukul berapa?"

Indah mengerutkan dahi. Dia memandang jam besar di sudut ruang tamu. Habislah dia kena marah! Dah lama Baby Safiena ikut Papa Im keluar. Patutnya dia telefon minta balik cepat. Anaknya itu selalu meragam kalau keletihan.

"Abang tak sukalah kalau Safiena terlalu rapat dengan Fahin." Serius suara dan wajah Abang Zen.

"Errr... Kenapa pula? Tak salahkan, abang?"

Indah disampuk hairan. Bagus apa? Safiena dan Papa Im macam anak-beranak. Tak nampak janggal. Lagipun mereka anak saudara dan bapa saudara... Darah daging sendiri. Bukannya orang luar. Sebagaimana dia dan Abang Zen sayang Indah Safiena, begitu juga dengan Tajul Fahin. Sejak anaknya lahir lagi Tajul Fahin sayang anak mereka macam anak sendiri. Tak nampak masalah pun.

"Memang tak salah tapi hati abang tak sedap! Safiena tu anak abang, benih abang, bukan Fahin!"

Tajul Razin terus mengatur kaki ke bilik dengan wajah cukanya.

Terkedu Indah. Ke situ pula fikiran Abang Zen...

Sikap Abang Zen semakin pelik! Tadi tersenyum bukan main apabila ketupat palas sudah siap dibalut. Hanya tinggal proses mengukus sahaja lagi. Sekarang ni dah meroyan pula. Ada-ada sahaja yang tak kena.

Indah perlukan pandangan dan nasihat mama, mentor rumah tangganya. Indah kena betulkan sebelum masalah ini melarat menjadi racun dalam hubungan mereka suami isteri. Indah tidak suka sikap Abang Zen begini. Dan dia juga tidak mahu raya tahun ni asyik bermasam muka. Indah nak bahagia dan gembira di samping suami dan anak tercinta! Mereka syurga pertama Indah. Yang lain jatuh nombor dua dan nombor seterusnya. 

Bila Terlajak SayangМесто, где живут истории. Откройте их для себя