Bab 2

3.8K 75 1
                                    

Sudah beberapa minit Sofie meneliti dirinya dari atas ke bawah di hadapan cermin. Semakin lama dia membelek diri, semakin dia berasa malu. Berbanding dengan Rania, dia jauh ketinggalan.

Rania pandai bergaya. Label-label pilihannya menunjukkan ketinggian cita rasanya. Dia pula gadis ringkas yang tidak berani bereksperimen dengan fesyen dan warna. Dia rasa warna terang yang ceria menenggelamkan dirinya.Atas alasan itu selain warna hitam, kebanyakan pakaiannya terdiri daripada warna neutral tona asli bumi dan warna pastel yang lembut.

Rania juga pandai bermanja-manja. Gadis sebegitu digilai teruna. Sofie sedar perwatakannya yang agak konservatif dan stereotaip itu membosankan. Lelaki lebih tertarik kepada sesuatu yang menarik berbanding sesuatu yang hambar.

"Memang patut awak terpikat kepada dia, Iqbal. Saya tak salahkan awak," ucap Sofie seolah-olah Iqbal berada di situ.

Sofie memejamkan mata kemudian menarik nafas dalam-dalam sebelum kembali memerhatikan imej yang terpapar. Dia tahu dia patut mengundur diri. Tidak mengapa dirinya sengsara asalkan Iqbal bahagia dengan pilihannya. Lagipun di maktab dahulu, dia yang meminta Iqbal supaya mengutamakan pelajaran terlebih dahulu.

Perasaan, kelenjar air mata dan otot-otot muka berperang sesama sendiri. Tidak kira pihak mana yang menang, Sofie mafhum dirinya jua yang kecundang.

"Aku bukan pesaing sesiapa. Aku takkan merebut dia daripada Rania," bisik Sofie.

Gambar pasangan itu yang dirakamnya di Tower Bridge diimbas seketika. Kemudian imej itu dipadamkan dari memori telefon bimbitnya.

Hawa berlenggang meninggalkan dapur sambil menjinjing bakul rotan yang berisi bekalan makanan dan minuman. Sandwic roti gandum penuh yang berintikan lebihan daging panggang semalam dan hirisan keju Cheddar berkongsi ruang dengan termos berisi teh panas di dalam raga itu.

"Sofie dah selesai bersiap?" laung Hawa dari hujung tangga.

Sofie menjenguk ke luar pintu bilik.

"Sikit lagi, auntie," sahut Sofie. Sepupunya, Nadia, awal-awal lagi telah turun ke bawah.

Apabila Hawa mengetahui Sofie tidak pulang ke Malaysia pada cuti musim panas, dia mempelawa Sofie tinggal bersamanya. Sofie baru menamatkan pengajian peringkat GCE A-Level pada masa itu.

"Kenapa menumpang di rumah senior? Tinggal dengan auntie lebih bagus. Sofie boleh ikut auntie pergi fruit picking dan bawa kucing auntie ke pet competition. Auntie pun boleh ajar Sofie masak English roast beef dan Yorkshire pudding yang Sofie suka tu," kata Hawa.

Tergoda dengan tawaran Hawa, Sofie bersetuju tanpa berfikir panjang. Kelak pada penghujung musim panas dia akan berpindah juga ke tempat lain bagi menyambung pengajian di sebuah universiti.

"Barang-barang Sofie banyak?"

"Cuma sebuah beg besar dan sebuah beg sandang aje, auntie. Banyak Sofie dah dermakan kepada charity."

"Angkut aje semua ke sini. Sofie boleh berkongsi bilik dengan Nadia. Sesetengah barang boleh diletak di dalam stor di bawah tangga."

Itulah yang dilakukan oleh Sofie. Dia meninggalkan rumah seniornya untuk tinggal bersama Hawa sekeluarga.Teruk juga dia mengangkut barangnya naik turun kereta api, tube, tram, dan bas. Namun kejerihan itu berbaloi dengan apa yang menanti.

Kini sudah dua minggu Sofie berada di New Addington, sebuah kawasan petempatan penduduk yang terletak di pinggir kawasan Croydon di London. Hawa tidak menghampakannya. Dari semasa ke semasa, ada sahaja aktiviti yang mereka lakukan bersama.

Cinta Yang Tak TerungkapOnde histórias criam vida. Descubra agora