Bab 6

1.9K 38 0
                                    

Kursus pengajian yang ditawarkan kepada Sofie menuntutnya melapor kepada Profesor Senad. Lelaki yang berasal dari Ukraine itu merupakan ketua unit penyelidikan biomedik di Fakulti Sains Gunaan. Unit itu dianggotai saintis klinikal dan bukan klinikal daripada bidang biomedik termasuk ahli biologi dan ahli kimia. Mereka turut menjalin kerjasama dengan beberapa unit penyelidikan lain di dalam dan di luar universiti terutamanya unit kejuruteraan biomedik.

Dalam pertemuannya dengan Profesor Senad, Sofie diberi penerangan umum tentang semua penyelidikan yang sedang dijalankan. Kemudian dia baru dijelaskan secara terperinci tentang skop kajiannya sendiri. Menurut profesor yang bermata hijau itu, Sofie perlu banyak berkolaborasi dengan fakulti kejuruteraan.

Selama setengah hari Sofie berada di Fakulti Sains Gunaan. Di situ dia berkenalan dengan Asha, seorang gadis Punjabi dari Malaysia. Ahli kimia itu juga sebahagian daripada pasukan penyelidik Profesor Senad.

Sebaik sahaja masuk waktu rehat, Sofie menerima pesanan daripada Julia. Gadis itu sedang menunggunya di lobi seperti yang telah dijanjikan.

"Kak Sofie nak pergi ke musholla terus atau makan dulu?" tanya Julia sebaik sahaja Sofie muncul dari lif.

"Kalau lapar tak khusyuk pula bersolat."

"Okey, kita makan dulu!" Julia tersengih-sengih lantas membawa Sofie ke kafeteria.

Selesai menjamu selera, mereka mendaki laluan yang bercerun selepas merentasi jambatan kecil yang merentangi sebatang anak sungai buatan. Destinasi mereka yang seterusnya terletak di kawasan yang agak tinggi.

"Kita ikut laluan ke ruang solat wanita." Julia memberitahu Sofie apabila mereka menghampiri bangunan surau yang dikenali sebagai musholla. Kelihatan pintu ruang yang dikatakan oleh Julia itu terbuka.

Sekumpulan wanita dengan anak-anak kecil yang sedang bersembang di sudut belakang ruang solat menoleh apabila Julia memberi salam. Beberapa orang yang lain sedang bersolat di bahagian hadapan. Ada yang sedang membaca al-Quran.

"Wah, kawan baru Ju orang Timur Tengah!" tegur seorang wanita yang bertudung labuh.

Julia terbatuk kecil. Mengada-ada bunyinya.

"Ini Kak Sofie. Dia baru sampai dari Malaysia semalam. Kak Sofie ni postgrad. Dia buat PhD dalam bidang biomedik," beritahu Julia.

Kemudian Sofie bersalaman dengan semua yang berada di situ.

"Masya-Allah! Kak Sal fikir Sofie ni undergrad atau anak postgrad Arab," komen wanita yang sama.

"Muda-muda lagi dah buat PhD! Umur Sofie berapa?" sampuk seorang lagi.

"Baru masuk dua puluh tiga tahun, kak," beritahu Sofie kepada mereka.

"Mudanya! Sofie terus buat PhD selepas habiskan bachelor's degree?"

"Ya, saya baru graduate pada musim panas baru-baru ni." Sofie mengangguk.

"Wah, hebat! Pasti Sofie dapat first class dulu, kan? Bukan calang-calang orang dapat melangkau program master's." Wanita itu tersenyum seraya menepuk-nepuk tangan Sofie.

Sofie tersenyum sopan.

"Kami ni isteri-isteri postgrad. Suami kami yang sambung belajar. Kalau nak harapkan diri sendiri sampai tualah kami tak merasa memijakkan kaki di sini," komen seorang wanita yang berbadan dua. Tangannya mengusap perutnya yang membusung.

"Semua dah lupa ke yang saya ni pun postgrad?" Seorang gadis yang baru selesai bersolat meninggikan suara.

Sofie menoleh ke arah empunya suara.

Cinta Yang Tak TerungkapKde žijí příběhy. Začni objevovat