Bab 11

1.4K 23 0
                                    

Pada hujung minggu itu seperti yang dimaklumkan kepada Lewin, Ajmal meninjau tempat kerjanya untuk beberapa bulan yang akan datang. Berpuas hati setelah mengingat laluan ke lokasi, Ajmal berpatah balik ke stesen kereta api Eastleigh.

Semasa Ajmal menghampiri stesen, seorang pemuda Melayu yang datang dari arah yang bertentangan turut menuju ke situ. Dari jauh, mereka berbalas anggukan. Tetapi malang menimpa pemuda itu setibanya di pintu masuk utama. Satu daripada beg plastik yang dibimbitnya bocor. Melambak barang keluar melalui bahagian yang bobos.

Ajmal membantu mengejar tin-tin tuna dan mackerel yang bergolek. Pada masa yang sama kedengaran pengumuman ketibaan kereta api.

"The train to Swaythling and Southampton Central is approaching Platform 1!"

"Alamak, itu kereta api saya!" ucap pemuda itu.

Barang-barang yang dipungut digendong dengan jaket. Kedua-duanya berlari ke arah platform. Ajmal juga perlu mengambil kereta api yang sama. Untung mereka sempat menaiki gerabak sebelum kereta api bergerak semula.

"Terima kasih sebab tolong saya. Kalau tak, mesti saya kena tunggu kereta api lain. Saya Nazim, pelajar kejuruteraan elektrik tahun akhir dan presiden Persatuan Penuntut Malaysia University of Southampton." Pemuda itu memperkenalkan dirinya kepada Ajmal.

"Ajmal Lutfi. Panggil Abang Ajmal cukuplah."

"Tickets, please!" Konduktor kereta api muncul.

Ajmal dan Nazim menyua tiket masing-masing kepada lelaki yang berjambang itu.

"Abang baru ke di sini? Saya tak pernah nampak abang." Nazim menyambung perbualan setelah konduktor berlalu.

"Abang baru sampai tiga hari yang lepas. Abang ada kerja di Eastleigh tapi ada urusan juga dengan universiti."

"Oh..." Nazim mengangguk-angguk. "Abang Ajmal ni... tinggal di mana?"

"Buat masa ni di B&B. Tapi abang ingat nak menyewa flat kecil atau bilik daripada mana-mana landlord. Nazim tahu mana-mana rumah yang ada bilik kosong?"

Nazim terkebil-kebil sebentar sebelum mengangguk. Dia membuka cerita tentang sebuah rumah yang dihuni oleh dua orang postgrad tidak jauh dari kampus.

"Ramai ke postgrad bujang di sini?" tanya Ajmal.

"Yang dah berkeluarga ramai tapi yang bujang boleh dikira dengan jari. Bulan lepas ada postgrad perempuan datang. Tapi takkanlah dia nak tinggal di situ. Nanti tak fasal-fasal mereka ditangkap basah oleh Abang Asad," cerita Nazim seraya tersengih-sengih.

"Abang Asad tu siapa?" Ajmal mengerutkan dahinya. Tiba-tiba sahaja nama itu disebut oleh Nazim.

"Dia postgrad Melayu yang paling dihormati di sini. Maklumlah, dia orang kuat persatuan dan badan keagamaan di UK. Orangnya berkaca mata dan berbauk, sedang-sedang ketinggiannya, kulitnya macam kulit abang dan ada tanda lebam di dahi. Dagunya ada sejemput janggut ala-ala janggut Yusuf Islam tapi pendek sikit."

Ajmal mengangguk-angguk, cuba mencernakan gambaran yang diterima.

"Jadi macam mana? Abang nak pergi tengok rumah tu?" soal Nazim kepada Ajmal.

"For a quick look, bolehlah... Sebab pukul dua petang nanti abang ada hal."

"Okey! Kalau macam tu saya terus bawa abang ke sana." Itu reaksi Nazim.

"Abang Rafi free tak sekarang?" Pemuda yang berada di talian bertanya kepada Rafi.

"Kenapa, persatuan ada buat aktiviti?" soal Rafi kembali.

"Tak... tapi saya ingat nak bawa seseorang ke tempat abang. Dia nak tengok rumah. Di rumah abang ada bilik kosong, kan?"

"Ya! Ya! Bila Nazim nak datang?" Rafi menarik kaki yang terlunjur di atas meja kopi. Duduknya ditegakkan.

Cinta Yang Tak TerungkapWhere stories live. Discover now