Bab 4

2.6K 67 0
                                    

Deruan enjin jet pesawat Emirates menghingarkan suasana malam di landasan KLIA. Sofie melurutkan telunjuknya perlahan-lahan pada kaca tingkap pesawat seolah-olah dia dapat menyentuh titisan hujan di luar.

"Bye ma..." bisiknya semasa pesawat meninggalkan landasan.

Muka jam tangan diimbas. Ketika itu tepat pukul dua pagi. Apabila tiba di destinasi nanti barulah dia mengubah masa jamnya berdasarkan waktu tempatan.

Wajah Zainab terus menjelma apabila Sofie memejamkan mata.

Maafkan Sofie, ma... Sofie pergi untuk kebaikan semua. Bila Sofie tak ada, semua orang dapat bertenang... Hati Sofie terus berbicara.

Sofie tahu Zainab kecewa. Sejak perselisihan faham berlaku tempoh hari, hubungan mereka agak dingin. Sukar untuk dia menerima permintaan Zainab. Kalau arwah Husayn masih hidup keadaan mungkin berbeza. Arwah seorang yang berfikiran terbuka dan mudah dibawa berbincang.

Perjalanan melebihi setengah hari begitu membosankan lebih-lebih lagi semasa proses transit di Dubai. Dahulu semasa berlepas ke United Kingdom selepas keputusan SPM diumumkan, Sofie menaiki pesawat bersama rakan-rakan sepenaja. Kehadiran teman berbual menyebabkan penerbangan terus selama dua belas jam tidak terasa.

Sofie menekan-nekan alat kawalan bagi menyusuri rangkaian filem di dalam pesawat. Majalah di poket belakang tempat duduk penumpang hadapan telah dikhatamkannya beberapa kali. Menyesal rasanya kerana tidak membawa bahan bacaan sendiri.

"Nak I bungkuskan you apa-apa?" Shazni mencuit bahu Sofie, melangkau dua orang penumpang di barisan itu yang telah terlelap.

Sofie menoleh. Dalam cahaya kabin yang telah malap, Shazni masih kelihatan sofistikated dalam pakaian seragam krew penerbangan Emirates.

"Eh, sorry! You cakap apa tadi, Shaz?" Sofie kelam-kabut menanggalkan headset yang melekap di telinga.

Shazni mengulang pertanyaan seraya mencekak pinggang.

"Boleh ke buat macam tu?" Sofie mencebik.

"Khidmat istimewa untuk sahabat istimewa." Shazni mengenyit mata.

Sofie menyeringai. "Tak perlu bersusah payah, Shaz. I dah kenyang. Perut I dah tegang semacam."

Shazni tersenyum seraya mengerling tali pinggang keselamatan yang terpasang kemas di tubuh Sofie.

"Tapi kalau boleh I nak minta pertolongan you sikit bila kita dah mendarat."

"Apa dia?"

"Tolong temankan I sekejap sampai I jumpa orang yang menjemput I."

"Tak ada masalah." Sekali lagi Shazni mengenyit mata.

Shazni terpaksa beredar apabila seorang penumpang lain memerlukan perhatiannya. Sofie memerhatikan Shazni sehingga rakan baiknya itu menghilang di sebalik tirai merah. Beberapa minggu yang lalu, dia menghubungi Shazni setelah penerbangannya disahkan. Kedua-duanya teruja apabila mendapati mereka akan berada dalam penerbangan yang sama.

Berikutan konflik yang dihadapinya dengan keluarga, Sofie menghantar permohonan untuk melanjutkan pengajian kepada majikannya. Ditakdirkan Tuhan, nasib menyebelahinya.

Sebaik sahaja kapal terbang mendarat, Shazni menunggu Sofie tidak jauh dari kaunter imigresen. Selaku anak kapal, dia dan krew penerbangan disediakan kaunter khas. Mereka tidak perlu beratur panjang seperti penumpang lain.

Urusan di kaunter imigresen berjalan dengan lancar. Pegawai yang bertugas tidak teragak-agak untuk memberikan Sofie visa pelajar selepas meneliti surat tawaran pengajian daripada pihak universiti.

"Dulu kita berangan-angan nak ke overseas bersama. Sekarang impian kita dah tercapai." Sofie tersenyum kepada Shazni yang membantunya memindahkan bagasi ke atas troli.

"You bawa lesung batu ke, Lady?" soal Shazni.

Sofie mencuit bahu Shazni.

"Shaz, kita berada di Britain sekarang. Janganlah panggil I dengan nama Lady lagi. Nanti mat salih di sini fikir I kemaruk nak berkahwin dengan mana-mana lord," tegah Sofie.

"You kahwin dengan Lord Of The Ring ajelah!" Shazni tergelak.

"Isy!" Secara spontan jemari Sofie merayap di lengan kurus Shazni.

"Baiklah, Cik Lady. Ops, tersasul lagi!" Shazni menekup mulutnya. "Baiklah, Cik Sofie..."

Sofie hanya tersenyum simpul.

"You dah ada tempat tinggal?" Sepanjang perbualan mereka, Shazni tidak dapat mengekang matanya daripada memerhatikan tangan Sofie. Dia pernah melihat kembar cincin yang tersarung di jari manis gadis itu tersarung di jari seorang pelajar putera di maktab.

"I dah tempah bilik di hall of residence universiti untuk setahun. Kalau I jumpa kawan yang sesuai, mungkin next year I boleh berkongsi menyewa rumah dengan mereka."

Namun demikian, maklumat yang disampaikan oleh Sofie hanya masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri Shazni. Kepala Shazni memikirkan sesuatu yang lain.

Hanya sahabat baik dapat melihat duka yang tersembunyi di sebalik wajah yang ceria. Shazni bimbang. Baginya, Sofie ibarat pesawat yang mengalami masalah kekeliruan navigasi.

"Sofie... you masih menunggu Iqbal? You masih ingatkan dia?" Shazni memegang tangan Sofie. Dia mengetahui perasaan Sofie terhadap Iqbal pun selepas mereka meninggalkan maktab.

Sofie menghentikan troli. Nafas panjang ditarik.

"I sedang cuba untuk lupakan dia, Shaz..."

Shazni merenung Sofie dengan penuh makna sebelum menggeleng.

"Mungkin ya tapi you tak bersunguh-sungguh melakukannya. Cincin tu..." Shazni berhenti buat seketika. Muncungnya mengarah ke tangan kiri Sofie. "Iqbal tanda you dengan cincin tu, Sofie. Selagi you menyarungnya, selagi itulah you mengiktiraf diri you milik dia."

Tangan Sofie semakin kuat menggenggam bar troli.Tiada gunanya dia menyembunyikan apa yang telah dilihat oleh sahabatnya itu.

"Sofie... I tak bermaksud untuk campur tangan dalam urusan peribadi you. Tapi I nakkan yang terbaik untuk you. Kadang-kadang apa yang kita harapkan sebenarnya tak baik untuk kita. Sometimes we have to let it go. Don't let the pain linger and finally consume you."

Mendengar Sofie mengeluh, Shazni menyambung syarahannya.

"You ingat tak apa kata Ustaz Wahab di dalam kelas dulu? Bila Tuhan ambil sesuatu daripada kita, Tuhan akan gantikannya dengan sesuatu yang lebih baik. Kita kena percaya dan bersangka baik kepada Tuhan." Anak mata Shazni merenung tepat mata Sofie.

Sofie tersenyum pahit.

"Jangan risau, Shaz. I will do my best. I promise."

Shazni mengetap bibir. Tiada pilihan lain baginya selain berpuas hati dengan kata-kata Sofie. Kalau diikutkan hati, banyak lagi yang ingin dikatakan. Namun masa mencemburui mereka.

Laluan green lane kastam dilepasi tanpa sebarang masalah. Di balai ketibaan, mereka mengucap selamat tinggal. Shazni menyertai rakan-rakan setugas sementara Sofie menemui wakil universiti yang menanti.

MISS S.H. HUSAYN.

Terpampang besar nama Sofie pada sepanduk yang berlambangkan coat of arms milik University of Southampton.

Cinta Yang Tak TerungkapNơi câu chuyện tồn tại. Hãy khám phá bây giờ