Bab 9

1.5K 28 0
                                    

"Emry..." Suara lembut itu memanggilnya.

Perlahan-lahan Emry mengangkat kepala. Wajah itu ditatap.

"Umi dah balik? Umi... Emry rindu," bisik Emry sebelum matanya terpejam kembali.

Rindu? Biar betul? Insan yang terpacak seperti tunggul itu terkelip-kelip memandang Emry.

"Umi..." Emry memanggil lagi dengan penuh perasaan.

Sofie mengerling ke kiri dan ke kanan sebelum berdehem.

"Emry... Awak mengigau."

Kepala yang terkulai itu terangkat semula. Emry terkebil-kebil.

"Sofie?" Buat seketika Sofie hanya merenung Emry yang kelihatan mamai.

"Umi tu siapa? Girlfriend awak? Wah! Rindu betul awak sampai mengigau di dalam makmal," usik Sofie seraya tersenyum meleret.

"Hah?" Emry memandang sekeliling. Ditegakkannya badan yang sebelum itu tersandar di kerusi.

"Saya ingat nak tanya awak sesuatu tadi tapi tak sangka pula saya mengganggu mimpi indah awak. Awak sambunglah tidur awak, Emry. Mudah-mudahan awak dapat bersama dengan Umi lagi. Biar saya pergi tanya Eric."

Sofie berpaling untuk beredar. Patutlah Emry tak melayan Anastasia. Rupa-rupanya hatinya dimiliki oleh Umi, omelnya dalam hati.

"Tunggu, Sofie! Awak nak tanya saya apa?" panggil Emry sambil meraup muka.

Langkah Sofie terhenti.

"Actually saya perlukan bantuan untuk kendalikan electrostatic precipitator. Dulu awak dan Eric pernah tunjukkan saya caranya tapi saya terlupa."

"Tak payah panggil Eric. Biar saya yang ajar awak."

Emry bingkas bangun. Dia memintas Sofie, mendahului ke tempat peralatan itu diletakkan.

"Tapi hari ni dah dua kali saya menyusahkan awak. Tadi saya ganggu tidur awak. Sekarang, ini pula." Sofie mengekori Emry dengan perasaan bersalah.

Emry berhenti secara tiba-tiba lalu berpaling menghadap Sofie.

Sofie terdongak. Hampir sahaja dia merempuh Emry.

"Tak apa. Untuk awak, saya sentiasa bersedia," tutur Emry. Anak matanya memanah tepat anak mata Sofie yang pada masa itu berada begitu dekat dengannya.

Sofie pada mulanya berasa serba salah untuk menunaikan permintaan Emry, namun memikirkan pemuda itu begitu baik terhadapnya, dia mengikhlaskan hati.

Sekali-sekala apa salahnya dia menolong Emry pula. Permintaan pemuda itu pun bukannya berat sangat. Emry pergi menunaikan kewajipan kepada Yang Maha Esa. Jikalau dia ikhlas membantu, mungkin ada saham akhirat untuknya.

Sejujurnya, Sofie mempunyai pandangan yang positif terhadap Emry. Lelaki itu mudah diajak berbincang dan ringan tulang dalam menghulur bantuan. Sebagai postgrad yang lebih senior, Emry juga mentor yang berkebolehan. Hubungan mereka terjalin atas dasar profesional dan Sofie menyenangi dan menghormati pemuda itu.

"Awak boleh tolong tengok-tengokkan beg saya? Saya nak pergi sembahyang Jumaat," pinta Emry kepadanya tadi.

Pemuda itu meletak beg sandangnya di kerusi sebelah Sofie lantas beredar sebelum Sofie sempat menjawab. Dua orang gadis Eropah yang duduk semeja dengan Sofie memandang-mandang ke arah Emry sambil berbisik dalam bahasa Perancis.

Hmmm, peminat-peminat Emry lagi! Hati Sofie berdetik.

Usai solat Emry kembali. Selepas mendapatkan begnya, dia mengambil tempat di salah sebuah kerusi yang dikosongkan oleh gadis-gadis Perancis itu.

Cinta Yang Tak TerungkapWhere stories live. Discover now