Bab 15

2.7K 37 8
                                    

Emry menghela nafas panjang ketika berada di jejantas udara berdinding kaca yang menyambungkan dua buah bangunan fakulti kejuruteraan. Matanya leka memerhatikan Sofie yang sedang menghampiri bangunan utama fakulti itu. Entah mengapa, dia tidak dapat berhenti daripada memikirkan gadis itu.

"Sofie... Nama yang lembut, selembut orangnya..." Emry menelan air liur. "Sofie... Soft... Lembut..." desis Emry senafas. "Awak adalah kelembutan yang menyentuh sesiapa saja di sekeliling awak...".

Sebuah keluhan terbit dari mulut Emry apabila kelibat gadis itu menghilang. "Ah, Sofie..." Emry memejamkan matanya.

Bagi Emry, Sofie ialah seorang Muslimah moden. Ciri-ciri kemelayuan terpapar dalam sikapnya yang lemah lembut dan penuh tertib. Berdasarkan cara gadis itu melayan haiwan, dapat dirasakan Sofie seorang yang penyayang. Kesediaan Sofie untuk berkhidmat sebagai pekerja sukarela dengan badan kebajikan pula langsung menyerlahkan sifat prihatinnya.

Umi, wanita yang telah lama pergi dari hidup Emry muncul kembali dalam mimpinya sejak kehadiran Sofie. Itu kebetulan ataupun petunjuk? Jauh di lubuk hatinya, Emry tidak pernah membenci wanita itu. Tetapi kekecewaan dan egonya menyaduri kerinduan dan kesakitan. Hatinya luka parah. Perasaannya tercalar. Namun kebelakangan ini rasa rindu mengatasi segalanya.

"Umi, Emry rindu..." lafaz Emry. Kali ini dalam keadaan sedar.

Julia dan Sofie sedang berbual semasa Emry kembali ke makmal. Pada mulanya Emry masuk perlahan-lahan dengan niat tidak mahu mengganggu. Namun hatinya tergerak untuk mendengar apa yang dibincangkan. Halanya diubah ke arah penghadang yang berdekatan. Di sebalik penghadang itu, Emry mematikan diri.

Kedengaran Julia yang sedang menopang dagu bertanya kepada Sofie.

"Kalau nak buat PhD dalam usia muda, lebih elok tak berkahwin dulu ya, kak? Kalau dah terkahwin awal, kena tunggu umur masuk four series baru boleh sambung belajar macam kebanyakan postgrad?"

"Siapa cakap macam tu?" Sofie mengangkat kening kepada Julia yang melangut memandangnya.

Julia mendepangkan sedikit tangannya.

"Tengoklah sekeliling kita. Kak Mila belum berpunya. Abang Emry, Abang Rafi dan Abang Nazri yang under forty, semuanya masih 'kosong'."

"Kenapa, Ju nak sambung belajar?" Sofie menyoal Julia.

"Haah!" Julia mengangguk. "Hasrat tu ada tapi bergantung kepada peluang."

"Ju tak ada teman istimewa?"

"Di sekolah dulu adalah. Tapi adat cinta monyet, dalam seribu, satu pun susah nak kekal."

"Jangan risaulah. Orang single macam kita senang nak bergerak ke mana-mana," ucap Sofie seraya tersenyum tipis.

"Kak Sofie pun belum berpunya? Ju tak percayalah!"

"Percaya atau tidak, itu hakikatnya." Sofie mengerling Julia dengan ekor mata.

Emry yang masih berada di sebalik penghadang tersenyum.

"Ehem!" Emry mengambil keputusan untuk menampakkan dirinya.

"Bila Kak Sofie mula bekerja di charity shop?" Julia mengubah topik apabila menyedari kehadiran Emry.

"Mereka nak kakak start as soon as possible," jawab Sofie tanpa mempedulikan Emry.

Pandangan Emry berubah-ubah, sekejap kepada Julia, sekejap kepada Sofie. Akhirnya dia mencelah.

"Sejak Kak Sofie ada, Ju asyik berkepit dengan dia. Sekali-sekala berilah Kak Sofie ruang untuk bernafas. Dia pun ada kerja nak dibuat. Entah-entah Kak Sofie rimas tapi tak sampai hati nak cakap."

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Aug 05, 2016 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Cinta Yang Tak TerungkapWhere stories live. Discover now