Bab 3

3.4K 70 0
                                    

"Makanlah, ini rezeki daripada gaji pertama kakak," pelawa Sofie apabila makanan dihidangkan. Tadi dia mengajak sepupu-sepupunya bersiar di Bandar Maharani. Selepas menunaikan solat maghrib di sebuah masjid, dia membawa mereka ke sebuah medan selera berkonsep terbuka.

"Kak Sofie tak makan?" tanya Tarmizi yang baru berumur enam tahun.

"Kakak masih kenyang. Lagipun kakak bukan remaja lagi. Kalau kakak terlebih makan, kakak melebar, bukan membesar," jawab Sofie sambil mengusap kepala Tarmizi. Perutnya masih kejap dengan rojak yang dinikmatinya petang tadi di gerai yang terletak di tepi tanjung.

Alhamdulillah, perjalanan kerjayanya tampak mudah. Dua bulan sebelum itu dia memulakan karier sebagai penyelidik di sebuah universiti di ibu kota. Biarpun berhasrat untuk menyambung pengajian, Sofie memutuskan untuk bekerja dahulu bagi mendapatkan pengalaman.

"Malam ni semua tidur di rumah kakak. Kita lawan Scrabble selepas solat isyak. Besok selepas makan tengah hari kakak hantar balik. Jangan risau, kakak dah sms Uda Zai," kata Sofie. Tangannya menyisipkan wang baki yang dipulangkan oleh pelayan ke dalam poket kemeja Tarmizi.

Omri dan Syukri yang lebih besar mengangguk. Wanita yang dipanggil Uda Zai oleh Sofie itu ialah ibu mereka.

Setibanya mereka di rumah, Sofie terkejut apabila mendapati pak cik dan dua orang mak ciknya berada di sana. Sambil bersalaman dengan mereka, dia melahirkan rasa terkilannya.

"Kalau Sofie tahu semua ada di sini, Sofie tapau apa-apa dari medan selera."

"Tak apa, Sofie. Kami dah makan," balas Azizah, adik Zainab yang bongsu.

Zainab menggamit. "Mari, Sofie. Duduk dengan kami."

"Omri... Ajak Syukri dan Mizi tengok televisyen di atas. Orang-orang tua nak berbual di bawah." Zaiton memberi arahan kepada anaknya yang sulung. Kemudian dia berpaling ke arah Sofie. Anak buahnya itu dibelek dari hujung kepala hingga ke hujung kaki.

"Hujung minggu depan Sofie balik lagi ke sini?"

"Insya-Allah. Kenapa Uda Zai tanya?" Sofie memandang Zaiton dengan dahi yang berkerut.

Zaiton tidak menjawab lantas mencapai tangan kiri Sofie. Dibeleknya logam yang tersarung di jari manis gadis itu.

"Dah lama Uda Zai tengok Sofie pakai cincin ni. Sofie beli di mana?"

"Hmmm, adalah..." Sofie tersenyum pahit.

"Tapi hari ni hari terakhir Sofie boleh pakai cincin ni," kata Zaiton dengan kepala yang terangguk-angguk.

"Kenapa pula Uda Zai? Sofie sayangkan cincin ni."

"Kalau tak nak tanggalkan, pakai aje di jari lain. Mulai malam ni cincin lain yang akan tersarung di jari tu," celah Zainab. Sempat dia berbalas jelingan dengan Zaiton.

"Sofie tak faham, ma." Sofie berpaling ke arah Zainab. Berlapis dahinya.

"Ada perkara penting yang mama nak beritahu Sofie. Sofie ingat tak lagi kepada Mak Gayah?"

Sofie mengangguk. Wanita itu merupakan sepupu Zainab dari sebelah datuk Sofie.

"Sofie ingat Izzahin tu, kan? Anak Mak Gayah?"

"Abang Izz?" Sofie mengangguk lagi.

"Sebelum Sofie balik dulu, Mak Gayah datang meminang Sofie untuk Izz," tutur Zainab terus-terang.

Terbeliak mata Sofie. Sinar ceria yang terpancar di matanya serta-merta hilang.

"Apa jawapan mama?"

Cinta Yang Tak TerungkapWhere stories live. Discover now