Bab 14

1.2K 24 0
                                    

Deeper than the deep blue sea...

Sofie berkerut dahi semasa membaca mesej kiriman Iqbal.

"Apa yang lebih dalam daripada lautan biru?" omel Sofie sambil terus melangkah meninggalkan pekarangan perpustakaan. Nafasnya dihela panjang sebelum jemarinya menekan butang telefon bimbit untuk kembali kepada peti mesej. Sewaktu berbuat demikian, dia ternampak pula mesej terakhir kiriman Marlina.

Semalam Sofie menelefon kakak angkatnya itu. Dimaklumkannya yang kelak dia tidak dapat menghantar Marlina sekeluarga ke lapangan terbang. Dia perlu menghadiri sesi temu duga dengan dua buah badan kebajikan yang berbeza pada hari yang sama. Marlina kedengaran kecewa tetapi memahami situasi Sofie.

Pekerjaan itu telah lama dimohon oleh Sofie. Memandangkan tiada siapa mengetahui bila pengambilan yang berikutnya, dia terpaksa membuat pilihan yang sukar. Kesibukan dan rasa segan kepada Zulqarnain pula menyebabkan Sofie tidak melawat Marlina di rumahnya.

"Nanti bila aku pulang bercuti, aku cuba ziarah Kak Mar," putus Sofie bagi menyedapkan hati.

Telefon bimbit dimasukkan kembali ke dalam poket seluar jean. Apabila Sofie menegakkan kepalanya, dia teruja dengan apa yang dilihatnya. Kereta Marlina sedang menyusuri jalan utama kampus!

Wah, nampaknya Kak Mar betul-betul nak berulit dengan kereta buruk tu before she leaves! Sofie tersenyum apabila mendapati Zulqarnain yang berada di tempat duduk penumpang.

Kereta yang dipandu oleh Marlina berhenti apabila lampu isyarat di tempat pejalan kaki bertukar kepada warna merah. Situasi itu memberikan Sofie peluang untuk mengucap selamat jalan secara bersemuka buat kali terakhir.

Khuatir lampu isyarat bertukar kepada hijau semula, Sofie berkejar ke arah kenderaan tersebut. Keadaan jalan yang berselekoh serta sesak dengan pelajar yang keluar rehat terus melindungi Marlina dari pandangannya.

"Sofie rindu sangat!"

Dari belakang, Sofie mencelah di antara pelajar-pelajar lain lalu menerpa ke tingkap pemandu yang terbuka. Badannya ditundukkan.

Dia rindu? Ajmal tergamam. Tangan kekarnya mencengkam kuat stereng kenderaan.

Jantung Sofie seperti gugur ke bumi apabila melihat lelaki barbarian itu. Muka mereka hanya berjarak sekaki.

Zulqarnain tersenyum-senyum.

"Oh... Sofie! Kak Mar berada di rumah, sibuk dengan last minute packing. Orang perempuan... ada-ada aje benda yang nak ditambahnya selagi beg belum dimangga. Abang suruh Ajmal pandu kereta ni di kawasan berdekatan. Dia tuan kereta ni sekarang," jelas Zulqarnain kepada Sofie yang masih terkaku di tingkap pemandu.

"Errr... Ki... ki... kirim salam kepada Kak Mar..." Sofie tergagap-gagap. Itu sahaja yang dapat difikirnya pada waktu itu. Tiba-tiba sahaja otaknya terasa beku.

"Insya-Allah. Nanti abang suruh Kak Mar call Sofie," janji Zulqarnain.

Perlahan-lahan Sofie mengalih kedua-dua belah tangannya yang masih kejap memegang pintu sebelah pemandu. Nasib baik lampu isyarat sudah bertukar. Kalau tidak, lama lagilah dia tersangkut di situ.

"Apa pendapat Mal?" Zulqarnain menyoal selepas kereta mereka bergerak.

"Tentang apa, bang?" Ajmal mengerutkan dahi tetapi tidak mengalih tumpuannya dari jalan raya. Separuh fikirannya tiada di situ. Deria hidunya pula terbelai oleh aroma lembut wangian feminin yang mencuri masuk ke dalam kenderaan itu tadi.

"Tak ada apa-apalah..." Tubuh Zulqarnain terenjut-enjut. "Nasib baik tak tercabut stereng kereta ni tadi. Kalau tidak, alamatnya berjodohkan scrap yard juga kereta ni!" Zulqarnain ketawa besar.

Ajmal berjalan kaki ke pekan Portswood dari kampus Highfield. Kereta ditinggalkannya di rumah. Semasa memandu dengan Zulqarnain dahulu, baru dia sedar akan kebenaran kata-kata Emry. Jarak di antara kampus Highfield dan pekan itu amat dekat. Tadi dia menghubungi Emry dan mengajak pemuda itu ke Portswood bersamanya. Namun Emry tidak berkelapangan.

Semasa menunggu lampu isyarat pejalan kaki bertukar hijau, Ajmal terpandang wajah yang tidak asing baginya di seberang jalan. Pandangannya masih tidak dilepaskan sewaktu dia melintas laluan pejalan kaki.

"Mind where you are going, young man!" Warga emas yang dilanggar oleh Ajmal memberi amaran.

"Forgive me, sir!" Ajmal segera memohon maaf.

Buat seketika lelaki senior itu memandang Ajmal dengan wajah serius. Namun kemudian dia tersenyum.

"Apology accepted!" Lelaki itu mengangkat topi Irish yang dipakainya. "I was young once too!" Segaris senyuman terukir di bibir tua yang tipis itu.

Ajmal menarik nafas lega. Dia membatalkan niatnya untuk ke pasar raya. Sebaliknya susuk tubuh yang berjalan dengan agak laju itu diekori. Langkah Ajmal terhenti apabila si gadis memasuki sebuah kedai kecil.

Ajmal segera tunduk dan berpura-pura mengikat tali kasut. Setelah keadaan selamat semula, mata tajamnya menyorot pandangan ke arah papan tanda premis perniagaan tersebut.

Dia cari apa di tempat macam tu? Takkanlah membeli-belah? Persoalan itu bermain dalam fikiran Ajmal. Tidak semena-mena rasa ingin tahunya membuak-buak.

Secara alami, Ajmal bukan jenis manusia yang suka menjaga tepi kain orang lain. Namun hatinya cuak memikirkan apa urusan gadis itu di situ. Apatah lagi si gadis masih belum keluar selepas setengah jam berlalu.

Ajmal resah. Kebelakangan ini ramai gadis menjadi keldai dadah kerana terpedaya dengan tawaran sindiket yang menjanjikan pendapatan lumayan. Justeru sebagai saudara seagama, dia terpanggil untuk mengambil tahu dengan lebih dekat. Niat Ajmal untuk menyamar sebagai pelanggan bagaimanapun terpaksa dibatalkan apabila dia terpandang sekumpulan gadis undergrad Melayu sedang menuju ke arahnya.

Ajmal segera berpaling dan berjalan ke arah peti surat merah Royal Mail yang berdekatan. Tangan kanannya disisip ke dalam slot peti surat. Kepalanya pula ditundukkan.

Mungkin lain kali, bisik Ajmal dalam hati.

Apa yang dapat dilakukan oleh Ajmal pada masa itu hanyalah berdoa. Moga-moga tiada perkara buruk berlaku ke atas Sofie.

Cinta Yang Tak TerungkapWhere stories live. Discover now