Bab 12

1.3K 23 0
                                    

Emry masuk ke makmal sambil memegang dua biji cawan kopi yang masih berasap. Dikerlingnya Sofie yang sedang tekun bekerja. Secawan kopi diletak di tempatnya manakala secawan lagi dibawa ke arah Sofie.

"Kopi ni untuk awak. Dalam keadaan cuaca macam ni sedap minum kopi. Panas sikit badan," ujar Emry sambil mengerling ke luar tingkap makmal.

Sofie ikut memandang ke luar seketika. Cuaca pada hari itu hujan dan berangin.

"Terima kasih, Emry. Tapi tak sesuai saya makan dan minum di sini. Allergen particles banyak. Silap gaya, saya terminum bulu Tigger." Sofie yang keberatan untuk menerima minuman itu memuncung ke arah kucing berbulu cecak yang berada di dalam kurungan.

Tigger menggeselkan kepala dan badannya di jaring pintu. Kucing itu merupakan pembekal bahan alergen iaitu najis sejenis kutu hama atau house dust mite yang menjadi bahan eksperimen Sofie. Hidupan halus yang hanya dapat dilihat dengan mikroskop itu menjadi parasit pada badan haiwan domestik yang berbulu. Koloninya juga dapat ditemui di tempat yang terdapat banyak sel kulit mati seperti bantal, tilam dan permaidani.

Emry yang menjulurkan jari pada lubang jaring mendesis kegelian apabila telunjuknya dijilat oleh Tigger.

"Kalau macam tu, jom minum di tempat saya." Emry tersenyum memandang Sofie.

"I'm sorry, I can't..."

"Sofie... Minda kita ada kelebihan sendiri. Kalau kita berfikiran negatif, badan kita akan hasilkan sejenis tenaga yang negatif yang menarik perkara-perkara yang negatif juga. Tapi kalau kita fikirkan benda yang baik-baik, perkara baik yang akan berlaku."

Dengan kata-kata itu, Emry meninggalkan cawan kopi di meja Sofie.

Berkerut-kerut dahi Sofie melihat Emry tiba-tiba berubah menjadi pakar motivasi.

Julia yang menyaksikan drama itu dari tempatnya menyergah.

"Abang Emry beli minuman untuk Kak Sofie aje? Untuk Ju tak ada?"

"Tangan abang tak terpegang tiga biji cawan sekali gus, dik..."

"Alasan!" Julia mencebik.

Rungutan Julia itu didengari oleh Emry. Pemuda itu menghentikan langkahnya lalu berpaling ke arah Sofie.

"Awak nak kirim apa-apa, Sofie? Saya nak turun ke bawah semula untuk belikan adik manja kita ni minuman."

Sofie menggeleng.

"A cup of tea for me, thank you!" laung Julia sambil mengorak langkah ke stor makmal. Dia memang bersahaja orangnya.

"Alright, then tea it is!" Emry mengangguk.

"Eric pun nak juga agaknya!" laung Julia lagi sambil memberi isyarat dengan ibu jari ke arah Eric yang berada tidak jauh darinya.

Emry mencemik ke arah Julia.

"That is very kind of you, Emry. Tea would be lovely. Thank you."

Seperti Julia, Eric juga memilih teh. Rezeki usah ditolak. Julia memerhatikan Emry meninggalkan makmal.

Abang Emry macam manjakan Kak Sofie pula, gumam hati Julia. Bukanlah dia cemburu tetapi itu pemerhatiannya.

"Ju... Tak baik mengata Abang Emry macam tadi. Kasihan Abang Emry. Terpaksa dia turun semula. Kalau Ju ambil kopi kakak tadi pun tak apa..." Sofie menegur semasa Julia melintas di hadapannya.

"Alah... Ju bergurau ajelah, kak. Abang Emry tu sporting orangnya. Dia faham." Julia membalas dengan senyuman.

"Amboi, Kak Sofie membela Abang Emry!" Tersungging senyuman nakal di bibir Julia.

Cinta Yang Tak Terungkapजहाँ कहानियाँ रहती हैं। अभी खोजें