Bab 7

1.7K 30 0
                                    

Entah sudah berapa kilometer mereka berjalan, naik bukit turun bukit, meredah jalan yang berlubang dan berlopak dan sekali-sekala memintas melalui denai sempit. Baju masing-masing sudah basah lencun.

Ajmal mengerling Zikri. Lelaki yang agak boroi itu termengah-mengah. Jamlus, juruteknik yang menemani mereka juga kelihatan letih tetapi masih bertahan.

Perjalanan mereka dimulakan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda. Tiba di suatu lokasi, kenderaan milik syarikat itu buat hal. Mereka bertiga terpaksa menapak ke destinasi sementara pemandu ditugaskan menjaga kenderaan. Untung-untung ada kenderaan lain lalu dan dapat menghulur bantuan.

Masuk kali ini sudah tiga ataupun empat kali Ajmal ke situ. Sebelum dipindahkan ke anak syarikat tempat dia bekerja sekarang, dia bertugas sebagai jurutera perancangan dan pembinaan negeri. Semua urusan perancangan dan pembinaan sistem bekalan elektrik di negeri Perak termasuk kawasan pedalaman berada di bawah pemantauannya.

Apabila Zikri yang mengambil alih tugas itu meminta diperkenalkan kepada ketua masyarakat tempatan, Ajmal tidak sampai hati untuk menolak.

"Nanti kau kenalkanlah aku kepada tok batin. Kalau aku pergi sendiri, risau disembelihnya aku nanti," kata Zikri semasa dia menghubungi Ajmal pada bulan lepas.

"Suku kaum Temiar bukan masyarakat kanibal. Mereka tak makan orang. Lagipun apa yang kau risaukan? Jamlus ada. Tok batin kenal dia."

"Tak sama kalau kau ada. Dia tu cuma technician."

Projek bekalan elektrik di kawasan hutan simpan Temenggor itu menggunakan kuasa solar hibrid. Ajmal bersetuju saja kerana mahu semua projek berjalan lancar di tangan penggantinya. Rasa tanggungjawab tetap ada walaupun unit itu bukan lagi tanggungannya. Lawatan terakhir itu dianggap sebahagian daripada proses serahan tugas.

Zikri berkeras memilih laluan darat biarpun telah diberitahu bahawa perjalanan darat akan memakan masa selama enam jam.

"Berapa jauh lagi?" tanya Zikri. Tangannya menggaru-garu leher yang diserang agas dan nyamuk.

"Dah dekat. Mungkin tak sampai satu kilometer," anggar Ajmal yang telah mengecam kawasan sekeliling. Dia pernah ke lokasi tersebut dengan mengunakan jalan darat dan air.

"Satu kilometer kau kata dekat? Aduh, longgarlah kepala lutut aku! Kalau berjalan lurus tak apa juga. Dahlah tak ada sebuah pun lori balak yang lalu. Kenapa, pembalak sedunia mogok ke?" rungut Zikri seraya mendengus.

Jamlus mengerling Ajmal yang kelihatan tenang. Mantan juruteranya yang bertubuh kekar itu sudah biasa meredah hutan. Sebaliknya jurutera baharu itu seorang yang gempal. Persekitaran dan bentuk muka bumi yang ditempuh sepanjang perjalanan menjadikan keadaan agak sulit bagi mereka yang kurang lasak dan berlebihan berat badan.

"Kalau kita ikut jalan air macam yang dicadangkan oleh Encik Ajmal, mesti kita dah sampai di Pos Kemar. Dari Pangkalan Trojan ke jeti Pos Kemar tak sampai sejam," sesal Jamlus. Dibongkokkan tubuhnya untuk membuang pacat di kaki.

"Diamlah, Jamlus! Salah kau orang berdua juga kerana gagal meyakinkan aku," tingkah Zikri dengan angkuh.

Berubah wajah Jamlus.

"Alah bisa tegal biasa." Ajmal memberi komen selamba sambil menepuk bahu Jamlus.

Jamlus tersenyum kelat.

"Bagi Encik Ajmal memanglah mudah. Badan encik bertual-tual dengan otot macam badan askar marin," balas Jamlus seraya mendongak. "Encik Ajmal ni anggota Rejimen ke-70 Askar Jurutera Diraja Pakar dalam pasukan askar wataniah." Sengaja Jamlus bercerita kepada Zikri dengan niat untuk merudumkan ego jurutera baharu itu. Pacat yang ditarik dibuang jauh-jauh.

Cinta Yang Tak TerungkapWhere stories live. Discover now