Bab 8

1.5K 25 0
                                    

"Alamak bang... Ina tertinggal fail penting di bilik," beritahu Amina kepada Fandi. Matanya merenung kosong ke arah sepasang kasut leper yang menjadi alas kakinya sejak beberapa bulan yang lalu.

Fandi yang telah bergerak ke arah kereta menoleh.

"Di mana Ina letak fail tu? Biar abang ambilkan," kata Fandi sambil berpatah balik.

"Tak apa. Ina pergi ambil sendiri. Abang kan ada mesyuarat. Kalau lambat keluar nanti abang stuck dalam trafik," kata Amina. Tangannya dihulur untuk bersalaman dengan Fandi.

"Ya tak ya juga. Okey, abang pergi dulu." Fandi mencium pipi Amina. Dia perlu membentangkan kertas kerja sebuah program luar negara pada pagi itu.

"Abang tu terlupa," tegur Amina apabila Fandi terus melangkah ke arah kereta.

Fandi mengintai tingkap kereta sebelum memeriksa poket seluar dan kemeja.

"Rasa-rasanya semua dah ada." Fandi berpaling memandang Amina.

Amina memberi isyarat.

"Alamak, macam manalah boleh tertinggal!" Fandi kembali sambil menepuk dahi. "Ayah pergi dulu. Jangan nakal-nakal." Dia mengusap dan mencium perut Amina yang memboyot.

Amina menunggu sehingga kereta Fandi keluar dari kawasan rumah. Kemudian dia menutup pintu pagar sebelum masuk ke dalam dan mengunci pintu.

Ketika kenderaan Fandi baru memasuki jalan utama, dia menerima panggilan daripada isterinya.

"Abang, tolong Ina..." Lemah kedengaran suara itu.

Fandi membuat pusingan U dengan memasuki kawasan stesen minyak. Mujur dia belum memasuki lebuh raya persekutuan. Kalau tidak, pasti kenderaannya terperangkap dalam kesesakan warga kota yang bergegas ke tempat kerja.

Semasa Fandi memasuki rumah, Amina sedang tersandar di kaki tangga. Kain dan kakinya berlumuran darah.

"Maafkan Ina, bang..." Hanya itu yang terdaya dituturkan oleh Amina.

Fandi segera mengendong Amina ke kereta lalu memecut laju ke hospital.

Harun menekan butang interkom. Setiausahanya, Erni, menyahut dari luar.

"Ya, Encik Harun?"

"Suruh Encik Syamil datang ke bilik mesyuarat sekarang juga," arah Harun dengan wajah tegang.

Seketika kemudian, pengurus sumber manusia dan latihan itu kelihatan berlenggang kangkung menghala ke arah bilik mesyuarat. Sempat lelaki yang beristeri dua itu mengenyit mata kepada Erni.

Erni memasamkan mukanya.

Tidak lama selepas itu, telefon di kubikel salah seorang kerani pula berdering. Marina, kerani rekod, tergopoh-gapah bangun dan bergegas mendapatkan beberapa buah fail dari stor.

"Bos suruh aku hantar fail latihan kerja dan fail peribadi Encik Ajmal ke dalam bilik mesyuarat," bisik Marina semasa dia melintasi meja Erni.

"Entah apalah halnya tu. Tadi bos suruh aku panggil semua jurutera kanan untuk berjumpa dengan dia. Nasib baik mereka belum keluar. Kalau ada yang dah tinggalkan pejabat pun cuma Encik Ariff. Duda beranak satu tu sarapan di kedai mamak di seberang jalan. Encik Ajmal pula memang tak ada. Hot shot tu outstation sejak kelmarin," cerita Erni apabila Marina keluar dari bilik mesyuarat.

Marina terkocoh-kocoh kembali ke kubikelnya apabila Harun meluru keluar.

"Erni, cuba dapatkan Ajmal lagi. Banyak kali saya call dia tapi tak boleh get through. Saya hantar pesanan pun dia tak jawab," arah Harun sambil merungut.

Cinta Yang Tak TerungkapKde žijí příběhy. Začni objevovat