Bab 5

3.4K 70 4
                                    

Sofie memandang sekeliling. Dedaun pokok telah bertukar tona warna kepada kuning, merah dan jingga menjadikan suasana persekitaran kelihatan keemasan. Sesetengah telah botak dan yang tinggal hanya daun-daun perang yang bertaburan di tanah.

Sofie teruja. Tempat baharu biasanya mendatangkan keresahan kepadanya tetapi Southampton memberinya ketenangan. Semoga kehidupannya di kawasan pesisiran pantai selatan England itu turut dihiasi pelangi kebahagiaan.

Sofie terus dibawa ke kompleks penginapan pelajar. Pemandu van turun lalu mengangkut beg besar Sofie ke lobi bangunan resepsi.

"Welcome to Montefiore House of Wessex Lane Complex!" Petugas wanita di kaunter mengalu-alukan ketibaan Sofie dengan senyuman manis.

"If everything is in order, I'll leave you here." Wakil universiti yang menjemput Sofie di lapangan terbang meminta izin untuk beredar.

"Everything is fine." Sofie tersenyum sambil mengucap terima kasih.

Proses pendaftaran masuk ke Montefiore House tidak memakan masa yang panjang. Selepas menandatangani perjanjian penginapan, Sofie diberi penerangan ringkas tentang fasiliti dan peraturan tempat itu.

"Details are available in this welcome pack." Wanita kurus itu menyerahkan sebuah peket kepada Sofie.

Sedang Sofie terkial-kial untuk menyelitkan welcome pack ke dalam beg sandangnya yang terlebih muatan, dia dihulurkan pula segugus kunci.

"Here are your flat and room keys. Your flat is located on the first floor of Block M. Someone will be here in a while to show you the way," kata wanita itu sebelum menghubungi seseorang dengan walkie-talkie.

Seorang pengawal yang berpakaian seragam muncul tidak lama kemudian.

"This way, Miss Husayn." Lelaki tegap itu menunjukkan jalan kepada Sofie.

Montefiore House terdiri daripada blok-blok penginapan jenis self-catered. Letaknya dalam lingkungan Wessex Lane Complex bersama Connaught Hall. Kompleks penginapan itu dilengkapi pelbagai fasiliti termasuk perkhidmatan bas ulang-alik ke kampus. Berbanding Montefiore House, Connaught Hall merupakan kediaman jenis part-catered. Penghuninya disediakan sarapan pagi dan makan malam.

Blok penginapan Sofie yang terdiri daripada empat tingkat terletak tidak jauh dari bangunan resepsi. Setiap aras terdiri daripada dua buah flat dengan tujuh buah bilik dalam satu flat. Biarpun satu blok, flat pelajar lelaki dan flat pelajar wanita adalah berasingan dan terletak di aras yang berbeza.

Penginapan jenis ensuite menjadi pilihan Sofie. Walaupun kadar sewanya lebih mahal, tetapi bilik air dan tandas tidak perlu dikongsi. Sofie memerlukan privasi itu. Tinggal satu flat dengan rakan pelbagai bangsa dan agama banyak cabarannya. Tidak mustahil ada yang membawa pulang rakan berlainan jantina untuk berparti dan sebagainya.

Sofie mengheret beg besarnya menaiki tangga dengan bersemangat. Namun apabila tiba di hadapan pintu kalis api flat, dia sudah tercungap-cungap. Nasib baik flatnya terletak di aras satu.

Sofie menolak pintu kalis api. Terdapat sebuah lagi pintu yang berkunci.

Sofie meraba poketnya. Malangnya anak kunci yang dikeluarkan terjatuh. Belum sempat Sofie mengambil kunci tersebut, terdapat tangan lain yang menyambar kunci itu.

"Allow me." Gadis berambut panjang itu tersenyum kepada Sofie.

Sebaik sahaja pintu dibuka, gadis itu mengembalikan kunci Sofie. Kemudian dia menahan pintu sehingga barang Sofie dipindahkan ke koridor flat.

Cinta Yang Tak TerungkapWhere stories live. Discover now