Bab 13

1.4K 29 0
                                    

Sofie menarik laci di bawah katil sambil menekap-nekap rambutnya yang masih basah dengan tuala. Dikeluarkannya pengering rambut. Wayar yang bergulung diluruskan. Sewaktu memasang plag, kedengaran bunyi pesanan masuk di telefon bimbitnya. Sofie menoleh. Telunjuk yang ditegakkan ke arah suis ditarik balik.

Kelip-kelip kusangka api, kalau api di mana dapurnya.

Hilang ghaib kusangka mati, kalau mati di mana kuburnya.

Terkedip-kedip mata Sofie membaca mesej yang terpapar. Kali terakhir dia mendengar pantun lama itu diungkap semasa berada di dalam kelas Cikgu Tengku Zahari. Pada masa itu, dia sekumpulan dengan...

"I'll do my crying in the rain..."

"I'll do my crying in the rain..."

Telefon bimbit yang sama tiba-tiba menjeritkan nada dering daripada lagu kumpulan A-ha lantas merencatkan putaran memori Sofie.

Terbantut terus hasrat Sofie untuk menggunakan pengering rambut. Direnungnya nombor yang tertera di skrin. Kod negara pemanggil yang tidak tersenarai di dalam telefon bimbitnya menunjukkan ia didaftarkan di Malaysia.

"Siapa ni?" desis Sofie. Selain ahli keluarganya, hanya Shazni sahaja yang tahu nombor telefonnya.

Mungkinkah salah seorang daripada mereka telah menukar nombor telefon? Ataupun Izzahin yang menghubunginya? Dia memang tidak menyimpan nombor telefon dua pupunya itu.

"Ya Allah... Janganlah ada masalah lagi!" Sofie segera menanggalkan plag pengering rambut. Tangannya kembali mencapai tuala sebelum menjawab panggilan yang tidak putus-putus itu.

"Assalamualaikum," ucap Sofie sambil duduk di tubir katil.

"Ke mana awak pergi selama ni, Lady? Puas saya cari awak," soal suara garau yang menyambut salam.

Lady? Nama gelaran itu! Suara itu!

Sofie mendesah kuat. Telefon bimbit yang berada di dalam genggamannya terlepas.

Kelam-kabut Sofie mendapatkan telefon bimbit yang terbarai dari permukaan lantai. Alat telekomunikasi itu dibeleknya. Mujur ia masih berfungsi. Tanpa memasang semula penutup slot bateri yang tertanggal, telefon itu didekatkan kembali ke telinga.

"Bunyi apa tadi?" soal pemanggil yang masih berada dalam talian. Sofie tahu benar identiti individu itu.

"Iq... Iqbal... Saya... ada..." Gugup bercampur terkejut. Otaknya memberi arahan supaya memutuskan panggilan tetapi tangannya tidak berdaya berbuat demikian.

"Awak ada tapi sembunyi dari saya. Untuk pengetahuan awak... selama awak menghilangkan diri, saya asyik teringatkan pantun lama tu," keluh Iqbal.

"Awak telefon dari jauh. Melambung bil telefon awak nanti." Sofie menukar fokus perbualan.

"Sofie... Takkanlah saya tak boleh spend duit sikit untuk seorang kawan? Ataupun awak memang nak padamkan saya dari ingatan? Itu ke helah awak untuk menjauhkan diri dari saya?"

"Itu untuk kebaikan semua pihak." Sofie menjawab dengan dada yang berdebar.

"Kalau awak hargai saya sebagai sahabat, tolong jangan bersikap macam ni," rayu Iqbal.

Sofie pula mengeluh. Pertahanan hatinya mulai luntur. Yang sebetulnya dia tidak sanggup berbual lama dengan Iqbal. Dia tidak mempercayai dirinya.

"Sofie... Kita masih berkawan, kan?" Bisikan Iqbal menyusup rongga pendengaran Sofie dan meresap hingga ke segenap urat sarafnya.

"Ya... Tapi biarlah kita berbalas mesej saja," jawab Sofie dengan mata yang terpejam.

"Tidak, Lady... Saya lebih suka berbual dalam telefon. Saya nak dengar suara awak. I have been looking for you all these years, Sofie. Kalaulah awak tahu..." Iqbal bersuara lirih.

Cinta Yang Tak TerungkapWhere stories live. Discover now