Part 7

462 27 3
                                    

Suara orang menangis nyaring. Terasa gegar satu restoren. Pengurus restoren berlari-lari minta pelayan ambilkan tuala basah. Lapkan muka si perempuan rambut perang. Comot! Dah serupa macam kena mekap mee campur lada!

Farid masih berdiri. Kesian pulak dia tengok geng-geng meja sebelah dok pujuk member. Farid jeling muka Minah. Tak cukup akal sungguh perempuan sorang ni. Budak-budak ni pun Minah nak buat gaduh!

"Sedap?" Minah tiba-tiba bersuara.

Farid tersentak. Aduhai... tak sudah lagi ke?

"Bodoh!" Perempuan rambut perang balas. Air mata tak payah cakaplah. Berjurai-jurai! Minah cebik bibir. Geram sungguh Farid tengok Minah.

"Kau panggil aku bodoh. Kalau tak silap dah empat kali. Kau nak aku jahit mulut kau ke apa?"

Perempuan rambut perang renung muka Minah. Dia tak jawab. Tapi nampak sangat perempuan tu marah. Turun naik nafas. Minah peluk tubuh. Farid pandang pengurus restoren. Baru terperasan. Dari tadi tak seorang pun pekerja dalam restoren ni masuk campur masa Minah bergaduh.

"Tadi aku tanya kaukan? Kau panggil aku, kak. Akak. Bila masa mak aku beranakkan kau?"

Perempuan rambut perang mendengus.

"Aku tanya. Jawablah!" Suara Minah meninggi. Si rambut perang tetap tak jawab. "Semalam?" Minah cerun mata. "Dua puluh tahun lepas?"

"Kalau dah tahu kau tanya kenapa?"

"Sebab kau cakap aku bodoh!"

Berubah muka si rambut perang dengar jawapan Minah.

"Kau bercakap ikut sedap mulut kaukan? Kalau aku tak ajar, makin biadap nanti kau dengan aku." Minah tuding jari. Tepat arah muka perempuan rambut perang. "Kau suka ke tidak, aku ni kakak kau. Nak balik rumah ke nak berambus, aku tak peduli. Faham?" Minah soal serius. Minah bangun. Farid hela nafas. Tak sangka pulak dia. Budak rambut perang ni adik Minah. Bergaduh macamlah orang pertama kali jumpa. Serupa orang tak ada pertalian darah!

Farid ikut Minah. Laju sungguh Minah jalan. Tak toleh kiri kanan.

"Adik kau ke?" Tanya Farid. Hakikatnya, terang-terang Minah sebut kakak. Tersentak Farid. Bila tiba-tiba Minah berhenti ayun kaki. Nasib baik tak berlaga. Kalau tak, mahunya terpeluk. Percuma aje!

"Kenapa? Ada masalah?"

Farid geleng.

"Anak orang lain aku tak buat macam tu. Aku angin sebab dia tu adik aku."

Farid dengar saja ayat yang keluar dari mulut Minah.

"Ada benda tak puas hati kau nak cakap dengan aku ke?"

Farid geleng lagi.

"Ada apa-apa kau nak tanya?"

"Nama adik kau?" Entah kenapa. Banyak-banyak soalan dalam dunia, soalan tu juga Farid nak tanya.

"Gayah." Jawab Minah.

"Huh?"

"Aina Rugayah." Minah tekan hujung suara. "Orang panggil aku Minah sebab mama suruh aku mengalah. Dia menangis-nangis tak nak orang panggil dia Gayah. Ru katanya nama pokok pulak. Aina jadi nama panggilan adik aku. Aku Minah sebab mama cakap nak panggil Amin nama dah macam lelaki. Ain dengan Aina tak boleh. Confuse."

Farid senyum dengar cerita Minah.

"Aku ni asyik mengalah dengan adik aku tahu tak? Mana boleh..." Minah mendengus. Dia atur semula langkah. Farid rasa nak ketawa. Nama pun jadi hal susah. Apa salahnya panggil Ina. Ain. Min. Amin. Nama Minah juga dia nak pilih. Nasib kaulah...

Tak cakap apa Minah masuk dalam kereta. Farid pandangkan aje. Minah sempat lagi jeling Farid. Minah tekan hon sebelum memecut laju. Farid geleng kepala. Angin Minah memang tak boleh nak duga. Tapi memanjang ribut. Tak tentu hala.

Farid pandang arah restoren. Teringat dia belum bayar bil. Mahunya tak pasal-pasal kena dakwa. Farid atur langkah laju. Sampai di kaunter, pekerja restoren beritahu bil dah dibayar. Farid senyum. Pelik juga dia. Makan semeja tadi dia dengan Minah aje. Kalau bukan dia, mestilah Minah yang bayarkan? Tapi bila? Sepanjang di restoren Minah ada depan mata dia.

Farid malas dah nak tanya. Lebih baik dia balik. Kejap lagi pun dah nak masuk waktu Maghrib. Minah pula sampai rumah terus ke bilik tidur. Laci meja ditarik. Foto lelaki berbingkai diambil dan dicampak atas meja. Minah geleng kepala. Nasib malang apalah kau ni, Minah.

"Baru balik?" Suara mama singgah di telinga. Minah toleh. Dia kemudiannya angguk. Mama berdiri di muka pintu. Renung muka Minah. "Encik Shahrul telefon tadi. Kenapa kamu tak pujuk Aina balik?"

Minah pandang mama. Sekejap aje berita dah sampai pada mama. Minah geleng kepala. Malas Minah nak jawab soalan mama. Macamlah mama tak tahu. Aina dengan dia bukannya ngam pun. Tak serasi. Macam keju dengan belacan!

"Siapa lelaki dengan kamu di restoren tadi?" Kali ni mama ubah topik.

"Farid."

"Kamu jumpa dengan dia?" Berkerut dahi mama dengar jawapan Minah.

"Kebetulan. Dia makan kat restoren tadi." Dalih Minah. Hakikatnya, Minah ikut lelaki tu. Tak sangka Farid singgah di Restoren Biru Merah. Terserempak pula dengan Aina. Huru-hara dengan geng-geng tak tahu adab. Mananya Minah tak marah. Bukannya Aina tak nampak Farid duduk semeja dengan dia. Lagi mahu angkat-angkat mata!

Minah sengaja tarik rambut Aina. Bercelup perang. Kuku pula warna merah menyala. Minah bukanlah baik sangat pun. Tapi kurang-kurang solat nak juga jaga. Ini tak. Terpandangkan Aina buat dia geram. Nak ambil wudhuk pun belum tentu sah. Macam manalah adiknya tu solat. Segala ilmu agama papa dan mama ajar, Aina buat-buat lupa!

"Minah, kamu dah minta maaf dengan Farid?"

"Belum." Geleng Minah. "Tak apalah, mama. Minah pun tak nak jumpa dengan dia lagi dah." Minah capai tuala mandi. Masuk bilik air. Puan Aza geleng kepala. Minah...Minah... 


Bakal Suami Tak Jadi (Terbit November 2017 - BESQ Publication)Where stories live. Discover now