Selamat Malam, Sayang.

221 19 5
                                    

Rakannya yang tidur di sebelah-(ya, dia masih menganggap lelaki itu sebagai rakannya walau sudah tiga jam bergelar isteri kepadanya) berdengkur kuat sehingga menyebabkan Zara bangkit terus dari pembaringannya. Tidak menggemari situasi itu, Zara bingkas berdiri dan menuju ke balkoni rumah-berniat untuk menghirup sedikit angin malam.

"Tidak boleh tidur?", sapa satu suara.

Zara tersenyum kecil sambil membalas, "Biasalah."

Suara itu tergelak kecil mendengar rungutan halus itu. Zara turut tertawa juga.

Suasana hening buat seketika sehingga kedengaran suara Zara kembali memecahkan kesunyian itu.

"Aku rindukan kau."

"Jadi, kenapa kau kahwini dia?"

"Aku tidak sampai hati untuk menolak lamaran dia. Lagipun, tempat ini sesuai untuk aku menemui kau."

Suara itu terdiam sejenak.

"Bila kau mahu menjelma di hadapanku? Aku benar-benar rindukan kau."

"Kau perlu tidur dahulu. Nanti kau jatuh sakit pula."

"Ah, nanti kau tidak menjelma.. Seperti dahulu. Aku risau kau tidak akan kembali", Zara mulai teresak.

"Dengar kata aku. Kau perlu tidur dahulu. Aku janji, aku akan datang. Dalam mimpi kau."

Perlahan-lahan, esakan itu terhapus. "Kau janji?", Zara kelihatannya terdesak.

"Ya, aku janji."

Tanpa berlengah lagi, Zara berlari ke arah dapurnya. Dia mengambil beberapa biji pil dari sebotol bekas lalu menelannya rakus.

"Aku perlu tidur. Aku perlu tidur," kalimah itu diulang berkali kali.

Sambil berjalan mundar mandir, Zara memikirkan cara untuk menyambut kehadiran suara itu. Dia beranggapan, pijama berwarna coklat itu tidak sesungguhnya anggun jika mahu digandingkan dengan si dia yang sungguh kacak itu nanti. Zara menghala ke arah almari simpanan pakaiannya. Dia membelek beberapa pasangan baju yang dirasakan indah sehingga akhirnya, dia memilih sepersalinan pakaian pengantin yang sudah disimpannya lama, semenjak tiga tahun yang lepas.

Peristiwa tiga tahun lepas itu, tidak mahu diulang tayang lagi kerana Zara bimbang, dia tidak cukup masa untuk menukar pakaian sehingga waktu ubat-ubat yang diambilnya memberi kesan terhadap dirinya. Zara kemudiannya berlari-lari anak ke arah bilik tetamu, kerana dia beranggapan, tidak sesuai untuk bertemu si kacak dengan keadaan dirinya sedang tidur bersama lelaki lain. Sejurus dia merebahkan diri ke atas katil, Zara dapat merasai kesan kesan dari ubat yang diambilnya. Bersama hati yang penuh dengan kerinduan, Zara berharap tangannya yang tergawang ke langit itu, mampu memetik bintang sebagai hadiah buat si dia.

Zara dapat melihat suasana indah yang mampu memukau hati sesiapa pun yang memandangnya. Pemandangan laut yang dipukul ombak beserta pasangannya, sang langit yang berguguskan bintang malam sungguh, membuatkan hatinya terpukau untuk menetap di suatu dengan lebih lama. Sambil membelek bunga mawar di tangan, Zara sempat mengerling manja ke arah salah satu bintang yang tadinya melarikan diri di saat, tangannya sudah sedia mencapai bintang itu. Zara mengambil tempat di sebuah bangku kosong yang terletak betul-betul berhadapan dengan lautan nan membiru itu.

Oh, secara tiba tiba bunga yang diusap, ditiup pula sang bayu sehingga menyebabkan bunga yang mewangi itu terjatuh ke tanah. Zara tunduk ke bawah, berniat untuk mengambil bunga itu. Namun, pergerakkannya terhenti apabila dia dapat melihat dari ekor matanya, ada seseorang yang berdiri pegun di sebelahnya. Jantung Zara seakan terhenti dan nafasnya mula menjadi tersekat-sekat.

"Zara," suara yang cukup dikenalinya itu benar benar membuatkan tubuh Zara kaku tidak bergerak. Dia terlalu gementar sehingga tidak mampu untuk melakukan sebarang pergerakkan.

Story PendekOnde as histórias ganham vida. Descobre agora