BAB 2

2.2K 119 5
                                    

AINNUN Maryam menyusun empat biji pinggan di atas meja. Kedudukan pinggan disusun rapi dan teratur. Mangkuk kaca yang berisi nasi lemak diletakkan di hujung meja manakala mangkuk sambal udang berada di tengah-tengah meja makan. Sepinggan lagi yang berisi telur rebus serta timun menghiasi sarapan pada pagi itu

Untuk beberapa saat Ainnun melihat susunan di atas meja makan kayu dengan mata yang tajam bagaikan burung helang. Masih ada yang kurang padanya. Barulah dia teringat kacang tanah yang baru digoreng sebentar tadi. Bergegas dia menuangnya dari telap ke dalam mangkuk yang lebih kecil dan meletakkannya bersebelahan mangkuk sambal udang.

Kini menu sarapan itu sudah lengkap. Bibir Ainnun menguntum senyuman. Berpuas hati kerana akhirnya dia berjaya menyiapkan sarapan tanpa bantuan dari ibunya. Mana tidaknya, selepas sahaja menunaikan solat Subuh dia mula memasak. Dan sekarang, dia hanya perlu menunggu ahli keluarganya turun dan bersarapan.

Puan Salmah yang baru sahaja turun dari tangga segera tercium bau aroma nasi lemak dari arah dapur. Serta-merta perutnya bergendang kelaparan. Terus saja langkahnya dipanjangkan menuju ke dapur. Ingin menjengah apa sajalah anak daranya sedang lakukan.

Derapan tapak kaki Puan Salmah mencuri perhatian Ainnun semasa dia sedang membancuh teh panas.

"Ibu dah turun pun. Ain baru nak panggil." Ujarnya sambil tersenyum lebar. Kedatangan Puan Salmah ke dapur membuatkan Ainnun menjadi semakin teruja. Tak sabar hendak mengetahui pendapat si ibu terhadap masakannya.

"Ain masak masak semua ni sendiri?" Puan Salmah seakan-akan tidak percaya.

Ainnun mengangguk laju.

"Kenapa tak minta tolong ibu?" Puan Salmah sudah melabuhkan punggungnya di kerusi sambil melihat hidangan yang siap tersusun. Rasa kagum dan bangga kerana ada anak perempuan yang boleh diharap.

"Saja nak masak untuk semua. Ayah dengan adik mana?" Tanya Ainnun. Kepalanya terintai-intai mencari kelibat Encik Mohamad dan Masyitah di muka pintu dapur.

"Kejap lagi turunlah tu." Hujung lidah si ibu mula memberi ransangan saat dia meencicipi sambal udang. Boleh tahan sedap juga rasanya. "Ain, mari sini."

Ainnun terkedu seketika dan menghampiri ibunya sambil membawa secangkir teh panas. "Kenapa ibu?"

"Ain demam ke?" Tapak tangan Puan Salmah menempel di dahi anak gadisnya.

"Tak." Ainnun kebingungan.

"Mana tahu malam tadi mimpi ngeri. Sebab tu rajin masak pagi ni." Puan Salmah tersengih-sengih. Sengaja ingin mengusik.

"Sampai hati cakap macam tu. Ain masak ikhlas tau." Ainnun mencebik bibir.

"Ibu berseloroh je. Macam tak kenal ibu suka sakat anak-anak ibu." Ucap Puan Salmah sambil menghirup teh panas dari bibir cawan.

"Ain tahu."

"Ibu puji sambal udang Ain ni sedap. Cukup garam, cukup gula, cukup pedas. Pandai anak ibu masak. Air teh ni pun sedap. Tak manis, tak tawar. Secukup rasa. Macam orangnya, sedap mata memandang. Ibu rasa tak lama lagi dah boleh kahwin ni. Ibu approved!"

Ainnun tersenyum manja tanpa membalas bicara si ibu. Pipinya terasa panas apabila Puan Salmah membuka topik perkahwinan. Siapa yang tidak mahu berkahwin? Itu adalah tuntutan sunnah yang harus dilaksanakan. Ainnun tidak menolak sekiranya sudah bertemu jodoh. Tetapi buat masa ini, dia masih belum berpunya. Masih tercari-cari lelaki yang diinginkan. Bukanlah putera raja yang ditunggu-tunggu tetpi seorang kekasih yang mampu membimbingnya ke Syurga.

Pimpin Aku Ke SyurgaWhere stories live. Discover now