BAB 12

1K 75 1
                                    

PINTU almari ditarik. Ainnun berdiri di hadapan gantungan baju di dalam almari sambil bola matanya tajam memilih pakaian yang sesuai untuk dipakai pada malam ini. Dia mencari di bahagian kanan almari. Satu-persatu dicapai dan dibelek, namun tiada yang berkenan di hati. Dia kemudiannya menyelak gantungan di bahagian kiri almari pula. Tika itu, pandangannya tertancap pada sepasang baju kurung Pahang berwarna Burgundy. Tanpa berfikir panjang, baju itu diambil dan dipadankan dengan tudung berwarna kelabu cair. Kedua-duanya digosok lalu dibiarkan terhampar di atas katil sementara Ainnun mengerjakan solat Maghrib.

Usai menjalankan tuntutan agama yang wajib, telekung dan sejadah disangkut semula ke tempat asal. Lantas, T-shirt dan seluar sudah berganti dengan baju kurung Pahang yang dipilih tadi. Manakala tudung bawal Turki sudah dililitkan pada kepala sambil berdiri di hadapan cermin. Ainnun lebih memilih gaya santai semasa menyimpulkan tudung itu. Kemudian, sekejap dia berpusing ke kiri, sekejap ke kanan. Tujuannya untuk memastikan jika baju itu tidak bertentangan dengan garis panduan yang telah ditetapkan dalam Islam.

Aurat seorang wanita muslim wajib dijaga dan mengikut tasawur Islam. Misalnya, menutupi bahagian kepala, dada dan leher. Tidak jarang atau ketat. Tidak tabarruj iaitu memakai hiasan yang berlebihan sehingga menarik perhatian dan menimbulkan fitnah. Sebenarnya, Islam tidak pernah melarang wanita muslim berfesyen, asalkan selari dengan imej bertudung. Janganlah pula hanya menutup kepala tetapi aurat lain didedahkan. Itulah pesanan dan nasihat Encik Mohamad kepada Ainnun yang akan tersemat sebagai peringatan.

Penampilannya dicermin ditatap lama. Dengan wajah natural tanpa sebarang mekap, Ainnun menguntum senyuman puas. Ekor matanya melihat jarum jam sudah menginjak ke angka lapan. Tidak mahu membuang masa, dia terus mengatur langkah ke tingkat bawah bersama beg tangan yang diisi telekung, kunci kereta serta telefon pintar. Turun sahaja dari tangga, kelihatan adik perempuannya sedang duduk bersimpuh sambil bermain telefon. Televisyen pula dibiarkan terbuka tanpa ada sesiapa yang menonton.

Terus dipanjangkan kakinya ke sofa seraya mengeleng kepala melihat tingkah Masyitah yang leka dengan pembaziran elektrik. Televisyen terus dimatikan dengan remote control tanpa teragak-agak. Masyitah yang sedang khusyuk menekur skrin telefon segera menoleh ke sisi. Dilihat kakaknya sedang berdiri sambil bercekak pinggang. Lengkap berbaju kurung dan bertudung litup ala-ala Mira Filzah. Tak semena-mena Masyitah menayang gigi. Terpegun juga dengan imej kakaknya, disulami sedikit rasa hairan.

"Fuyoh, lawanya malam ni!" Puji Masyitah tanpa teragak-agak.

"Setiap hari aku lawa. Bukan hari ni je."

Masyitah cebik menyampah. "Nak pergi mana?"

"Nak pergi majlis doa selamat."

"Dekat mana?" Soal Masyitah lagi.

"As-Syifaa."

Sekali lagi Masyitah mencebik tetapi kali ini disusuli dengan senyuman sumbing. "Pakai lawa-lawa macam ni, cakap nak pergi majlis doa selamat."

"Kenapa? Salah ke?"

"Aku tak percaya. Ni mesti nak pergi dating kan? Baik kau jujur, kalau tak aku report dekat ayah." Usik Masyitah sambil keningnya dijungkit nakal.

"Al fitnahul ashadu minal qhat, ertinya memfitnah itu lebih kejam dari membunuh." Sengaja Ainnun menekan nadanya seoktaf.

"Bukan fitnah tapi andaian." Masyitah membidas laju.

"Takut lah tu. Untuk pengetahuan kau, aku dah beritahu ayah awal-awal. Jadi, jangan nak tambah-tambah cerita. Yang kau tu, dah solat ke belum? Dari tadi hadap telefon je." Giliran Ainnun mempersoalkan adiknya.

Pimpin Aku Ke SyurgaWhere stories live. Discover now