BAB 10

1.3K 84 4
                                    

SEAWAL jam tujuh pagi Ainnun telah sampai di Rumah Anak Yatim As-Syifaa. Ruang pejabat pentadbiran sudah terang benderang. Dia diamanahkan untuk membuka pintu pejabat pada waktu pagi. Pada sebelah petang pula dia akan memastikan pintu pejabat ditutup setelah semua kakitangan beransur pulang. Seperti biasa, setelah mengemas pejabat Encik Muhsin barulah dia akan mula menyambung kerja yang tertunda. Segala rekod dan dokumen harus disiapkan dalam masa yang ditetapkan. Demikianlah tugas Ainnun sebagai pembantu am. Kata mudahnya, tiada pembantu am tidak jalan juga operasi sesuatu jabatan.

Masa berlalu pantas. Mentari pagi bertukar terik menandakan matahari sudah tinggi. Ainnun yang sedang khusyuk menaip surat tidak menyedari Ruhaidah sudah berdiri di hadapannya. Matanya tetap fokus dan terpaku di skrin layar komputer. Ketukan di bucu meja membuatkan jarinya terhenti menaip dan segera mendongak.

"Fokusnya." Tegur Ruhaidah sambil tersenyum.

"Ain rushing nak siapkan surat ni." Kata Ainnun lantas tersipu malu apabila ditegur.

"Disebabkan Ain terlalu rajin, Kak Idah nak tambah kerja. Ini resit belanja harian makan dan minum anak-anak As-Syifaa. Ain tolong buat kiraan ya? Masukkan dalam rekod belanja. Lepas tu bagi pada Ayah Muhsin." Beritahunya dan kepingan resit diserahkan kepada Ainnun.

Tubuh Ainnun bergerak ke hadapan sedikit lalu huluran kertas resit dicapai. Dia melihatnya sekilas pandang. Sempat ke dia siapkan semua benda dalam satu masa?

"Kenapa?" Tamya Ruhaidah apabila melihat Ainnun tidak memberi sebarang reaksi.

"Kalau lepas Ain siapkan kerja ni dulu boleh?"

"Tak boleh. Kena sekarang, kalau tak nanti Ayah Muhsin mengamuk. Benda ni urgent. Pembantu yang dulu pernah kena marah sebab lambat buat kiraan."

Ainnun tergamam. Biar betul? Mukanya berubah pucat lesi. Mendengar perkataan mengamuk membuatkan darah Ainnun mengepam laju.

"Serius ke? Tapi saya takut tak sempat Kak Idah. Banyak surat saya belum siapkan, nak print lagi. Macam mana ni? Matilah saya kena marah nanti." Ainnun diserang rasa panik tak semena.

"Kak Idah guraulah. Saja nak usik Ain. Jangan risau, Ayah Muhsin bukan macam tu. Tak payah rushing, buat slow-slow." Ketawa yang ditahan dari tadi terhambur jua.

Wajah Ainnun yang pucat terus berubah lega. Rasa berderau pula kian surut sejajar dengan nafas yang dihembus perlahan-lahan.

"Ya Allah, Kak Idah. Buat seriau je." Ainnun tersenyum kelat.

"Macam nak gugur jantung tu kan? Kak Idah patut rakam video tadi. Muka Ain berubah gila." Ujarnya sambil tersengih-sengih.

Akhirnya ketawa mereka saling bersahut. Reaksi spontan Ainnun benar-benar mencuit hati Ruhaidah. Tak sangka Ainnun ini naif orangnya. Setelah menjelaskan kepada Ainnun dengan lebih terperinci tentang resit tersebut, Ruhaidah kemudiannya berlalu ke meja sendiri dan meneruskan kerja.

Baru sahaja hendak memulakan kiraan belanja, telefon bimbitnya bergetar memberi isyarat ada pesanan teks yang masuk. Matanya diredupkan seraya memandang skrin dan membaca mesej itu di dalam hati.

<Hajar: Yam! I miss you! Bila kita nak jumpa?>

Membulat kornea mata Ainnun. Hatinya berbunga teruja. Laju jarinya membalas teks itu sambil tersenyum ceria.

<Ain: I miss you too my partner in crime. Bila-bila masa pun boleh.>

Sejak menamatkan pelajaran di UTM Skudai, mereka hanya berhubung melalui media sosial sahaja. Rindunya kepada Hajar bukan kepalang. Tak semena-mena wajah ceria dan suara gadis itu menerpa di mindanya. Tingkah laku yang brutal tetapi bertudung itu selalu mencuit hati. Biarpun prilakunya kasar dan bersifat jantan, Ainnun selesa berkawan dengan Hajar. Sewaktu di universiti, mereka ibarat kembar lain rahim. Di mana ada Hajar, di situlah ada Ainnun. Langsung tak dapat dipisahkan.

Pimpin Aku Ke SyurgaWhere stories live. Discover now