BAB 8

1.2K 81 4
                                    

SKRIN komputer ditenung lama. Ainnun fokus dengan kerjanya. Langsung tidak mengendahkan bilik pejabat yang agak lengang dari tadi. Hanya kedengaran bunyi arus penghawa dingin seiring dengan bunyi papan kekunci. Jari runcingnya ligat menekan dan tidak berhenti. Menaip berbagai jenis emel serta merekodkan surat-surat yang diterima dan yang akan dihantar. Tugasnya sebagai pembantu am rendah merangkumi semua aspek. Termasuklah mengatur dan mengemas pejabat Encik Muhsin. Menyimpan dan menentukan kedudukan fail-fail dokumen.

Mujur ada Ruhaidah sebagai pembantu tadbir yang berpengalaman membantunya mencetak cyclostyle iaitu surat-surat yang berhubung dengan mesin pendua. Dia juga amat berterima kasih dengan dengan kakitangan As-Syifaa yang kerap menolongnya. Bak kata pepatah, berat sama dipikul ringan sama dijinjing.

Sesekali Ainnun mengerling jam di dinding dengan ekor matanya. Baru pukul sebelas pagi. Perutnya masih belum lapar walaupun hanya diisi kuih karipap yang dibelinya semasa dalam perjalanan ke As-Asyifaa. Dia bergegas awal kerana tidak mahu menempuh traffic jam di Jalan Rahmat. Jalan itu sentiasa sibuk dengan kenderaan lebih-lebih lagi pada waktu puncak. Kesimpulannya, Ainnun sambung menaip untuk menyiapkan kerja yang menjadi tanggungjawabnya.

Buku rekod yang berada di atas meja diselak sehelai demi sehelai. Sebelum menyerahkannya kepada Encik Muhsin, dia harus memnyemak rekod itu terlebih dahulu sekiranya ada kesalahan atau maklumat yang terlepas pandang. Setelah berpuas hati, Ainnun bingkas bangun dan membawa buku rekod serta fail dokumen untuk dihantar ke bilik Encik Muhsin. Sempat juga dia merapikan selendangnya di cermin sebelum melangkah keluar dari bilik pentadbiran. Pesan ibu, penampilan harus dijaga kerana ia mencerminkan keperibadian seseorang.

Permukaan pintu diketuk tiga kali saat setibanya di hadapan pejabat Encik Muhsin. Tangannya menggenggam tombol pintu kemas-kemas sambil menunggu respons dari dalam. Senyap. Eh, aku ketuk perlahan sangat ke? Katanya di dalam hati. Sekali lagi pintu itu diketuk tetapi lebih kuat dari sebelumnya.

"Ya, masuk." Sahut Encik Muhsin.

Sebaik pintu dikuak, Ainnun melihat kelibat Encik Muhsin sedang membawa tindihan fail dengan sebelah tangan. Membulat matanya tatkala fail-fail itu hampir terlepas dari tangan Encik Muhsin. Setangkasnya Ainnun menyambutnya sebelum ia mencium dada lantai. Kemudian dia meletak kesemuanya di atas meja.

"Ayah Muhsin cari apa?" Tanya Ainnun dengan wajah kebingungan.

"Saya ingat nak semak fail-fail lama tu sebelum simpan di tempat lain. Bilik saya dah penuh sangat." Balas Encik Muhsin dengan nafas yang tercungap-cungap di kerusinya.

Buku rekod dipeluk rapat ke dada sambil merenung Encik Muhsin yang sedang bersandar lemah.

"Ayah Muhsin sakit?"

"Biasalah kudrat orang tua. Ada saja yang sakit itu, sakit ini. Tapi saya baik-baik saja." Ungkapannya disertai dengan ketawa kecil. Dadanya ditepuk-tepuk perlahan menunjukkan dia tiada apa-apa.

Melihat keadaan pemilik As-Syifaa yang susah bernafas menimbulkan rasa risau di relung hatinya. Encik Muhsin boleh dikatakan sebaya dengan ayahnya. Umur selanjut itu selayaknya duduk di rumah dan berehat. Namun kerana rasa cinta akan anak-anak yatim di yayasannya, Encik Muhsin gagahkan jua tubuh itu.

"Biarkan fail tu, nanti saya kemaskan." Ujarnya lembut. Dalam pada masa yang sama otaknya sedang berputar memikirkan idea untuk mencari tempat simpanan fail-fail lama tersebut.

"Terima kasih, Ain."

"Dah tugas saya." Tutur Ainnun.

"Buku rekod yang saya minta dah siap?" Tanya Encik Muhsin seraya membetulkan duduknya.

"Dah, ini dia." Buku itu segera dihulurkan.

Encik Muhsin menyambutnya dan membaca lampiran kerja yang sudah disiapkan. Nampak kemas dan senang dibaca. Setiap angka diteliti dengan penuh fokus. Ainnun yang tercegat menahan gusar dan menanti maklum balas dari Encik Muhsin sekiranya ada masalah di dalam buku rekod tersebut.

Pimpin Aku Ke SyurgaWhere stories live. Discover now