BAB 6

1.3K 97 0
                                    


ENJIN kereta Kelisa dimatikan sebaik sahaja kenderaan itu berhenti di hadapan banggunan dua tingkat yang tersergam indah. Papan tanda berukiran warna emas dan bertulisan jawi dipandang lama. Rumah Anak Yatim As-Syifaa. Cukup indah maksudnya. Syifaa bermaksud penawar. Sesuai dengan konsep yayasan ini dibina. Rumah ini menjadi penawar dan penyembuh bagi kanak-kanak bernasib malang yang tidak mempunyai ibubapa.

Tanpa buang-buang waktu, Ainnun membuka pintu kereta dan menutupnya kembali setelah beg dan failnya dicapai. Lampu oren berkelip menandakan penggera kereta telah dimatikan. Dalam-dalam Ainnun menghirup nafas. Dia mencari keyakinan di tempat dia berdiri. Sungguh hatinya berdebar kencang.

"Allahumma yassir walaa tu'assir." Ainnun meraup wajahnya sebelum menyusun langkah.

Bebola matanya melingas di sekitar perkarangan parkir. Laman yang bersih tanpa sebarang daun kering membuatkan perasaan cemasnya semakin menggunung. Dari pengamatannya, pasti Encik Muhsin seorang yang mementingkan kesempurnaan. Lihat sahajalah susun atur landskap yang rapi.

Kata ayah, Encik Muhsin baik dan peramah orangnya. Tetapi bagaimana jika jangkaan ayah meleset? Bagaimana jika Encik Muhsin sebenarnya seseorang yang cerewet dan dingin? Ainnun menggeleng laju. Cuba membuang andaian negatif itu jauh-jauh dari mindanya.

Dia tetap berjalan ke arah pintu utama seiring dengan bacaan zikir penenang hati. Kakinya menggeletar saat melangkah masuk ke dalam banggunan dua tingkat itu. Dikerling ke seluruh ceruk ruang dengan mata yang terpegun. Suasana di dalam ruang itu senyap dan tenang. Hidungnya terbau semburan lavender Ambi Pur yang menambahkan lagi ketenangan di dalam ruang itu.

Sedang terleka dengan dekorasi di situ, matanya tertancap pada sesorang pekerja wanita yang kelihatan sibuk di kaunter penyambut tetamu. Ainnun segera menghampiri meja tersebut untuk bertanya.

"Assalamualaikum." Ainnun tersenyum manis.

"Waalaikumussalam warahmatullah. Ada apa yang boleh saya bantu?" Soal pekerja wanita yang bertagkan nama Hafizah di dada kirinya.

"Maaf saya datang sini nak berjumpa dengan Encik Muhsin." Ucap Ainnun dalam nada sopan.

"Boleh saya tahu atas urusan apa?" Tugasnya sebagai pegawai helpdesk adalah untuk merekodkan nama serta tujuan setiap pengunjung yang datang ke rumah anak yatim tersebut.

"Atas urusan kerja."

Pekerja itu mengangguk dan meminta Ainnun menulis nama serta nombor kad pengenalan di buku rekod. Dia menunjukkan kolum yang harus Ainnun isi sebelum dia diberi keizinan untuk berjumpa dengan Encik Muhsin. Sebagai langkah protokol. Ainnun akur dan meninggalkan maklumat dirinya di situ.

"Boleh saya jumpa Encik Muhsin sekarang?" Tanya Ainnun usai menulis.

"Silakan. Pejabat Encik Muhsin ada di tingkat dua, di bahagian kiri."

"Saya tak perlu set appointment dulu ke?" Ainnun bertanya lagi.

"Tak perlu." Hafizah tersenyum simpul.

"Terima kasih." Ucap Ainnun sebelum berpaling dan memanjangkan langkahnya ke arah tangga.

Setibanya di hadapan pintu kayu jati, Ainnun berhenti untuk mengambil nafas. Di permukaan papan itu tertera tulisan Pejabat Tuan Haji Muhsin. Matanya meleret dan membaca nama itu di dalam hati. Sebelum mengetuk pintu, Ainnun membetulkan lipatan selendang di cermin bedak kompak. Wajah yang diwarnai dengan solekan ala kadar itu ditilik bersama senyuman manis di bibirnya.

"InsyaAllah kau boleh."

Tanpa berlengah, daun pintu pejabat Encik Muhsin diketuk bersama debaran. Dalam kepalanya ligat berteka-teki bagaimana perwatakan pemilik yayasan ini. Paling ditakuti sekiranya temuduganya tak berjalan seperti yang dirancang,

Pimpin Aku Ke SyurgaWhere stories live. Discover now