BAB 4

1.5K 101 3
                                    

SENYUMAN menghiasi bibirnya di saat kereta Honda Accord putih sudah menghampiri Rumah Anak Yatim As-Syifaa. Perasaannya teruja bercampur gembira tak terhingga. Hampir sebulan lamanya Syahzani tidak dapat pulang menziarahi ibu dan ayahnya gara-gara sibuk bekerja di Johor Bahru. Sebagai seorang arkitek, kerjanya tidak menentu. Perlu layan perangai klien yang berbagai ragam. Ada sahaja masalah yang timbul di tempat projeknya dan baru- baru ini pekerja kontraktor mogok kerana gaji mereka tidak dibayar dengan betul oleh pihak pemaju.

Hal itu semakin menambah kesulitan yang sedia ada. Namun kes itu telah pun selesai dan semuanya berjalan seperti biasa. Otaknya hampir pecah di kala itu, memikirkan deadline dan rungutan klien yang tak sudah. Nasib baik ada juga cuti seminggu ini, dapatlah dia melepaskan segala tekanan yang terkumpul.

Enjin kereta dimatikan sebaik sahaja berhenti di perkarangan parkir. Saat pintu hadapan banggunan itu sudah begitu jelas di pandangan matanya, bibirnya semakin merekah lebar. Tatkala ternampak kelibat ibunya di situ, lagilah dia berasa teruja. Sungguh, dia terlalu rindu.

Perlahan-lahan dia menyusun langkah ke arah Puan Fatimah yang sedang leka melayan keletah anak-anak yatim As-Syifaa. Sibuk sangat sampai tak sedar akan kehadiran Syahzani di belakang.

"Assalamualaikum, ibu."

Puan Fatimah yang terkejut segera menoleh dan melihat seulas senyuman manis terbit dari bibir seorang lelaki. Bebola mata Puan Fatimah sudah bersinar galak.

"Walaikumussalam! Ya Allah! Syah bila sampai? Ibu tak perasan." Terus dipaut tubuh kekar itu untuk menuntaskan rasa rindu yang terbelenggu.

"Miss you, ibu. Maafkan Syah sebab dah lama tak balik. Banyak kerja di JB. Ibu sihat?" Ditatap wajah Syurga Puan Fatimah. Wajah yang mampu menyejukkan hatinya itu selalu tampak berseri walau sudah dimamah usia.

"Alhamdulillah. Syah macam mana? Ibu tengok badan makin sado?" Puan Fatimah meraba-raba tubuh anaknya terutama sekali di bahagian dada.

"Ibu pun apa kurangnya? Makin cantik, makin berseri. Pakai susuk ke?"

Anak mata Puan Fatimah membundar. "Ada ke situ fikirnya! Ibu memang berseri dari dulu. Tak adanya pakai susuk. Itu semua amalan khurafat, syirik. Cukuplah ibu ambil wuduk setiap masa. Itulah kecantikan semula jadi yang Allah SWT bagi."

Syahzani tersengih lebar mendengar bebelan si ibu. Inilah yang dia paling rindukan. Pasti ada sahaja yang menjadi bahan usikan Syahzani. Dia cukup tahu kecantikan Puan Fatimah tiada tolok bandingnya. Air mukanya yang lembut itulah yang mampu mencairkan hati Encik Muhsin atau sesiapa sahaja yang memandang. Lebih-lebih lagi jika Puan Fatimah pamerkan senyumannya yang disulami dengan lesung pipit.

"Alright, you're the fairest of them all. Ayah mana?" Soal Syahzani sewaktu melihat kereta Toyota Vios putih terparkir elok di garaj.

"Biasalah ayah kamu tu dekat mana lagi? Dia ada dalam ofis. Anyway ibu nak tanya, kali ni cuti berapa lama?" Puan Fatimah bertanya ingin tahu.

"Seminggu."

"Kenapa kejap sangat? Sambunglah dua minggu terus."

"Seminggu tu okey lah." Syahzani tersenyum kelat lantas menggaru kulit kepala yang tidak gatal.

"Seminggu tu tak lama. Ibu tak puas jumpa Syah tau. Pejam celik, Syah dah balik JB semula."

"Nak buat macam mana? Syah kena kerja. Takkan nak biarkan bisnes partner Syah handle kerja tu sendiri dekat JB. Kesianlah dia."

"Hmm... tak apalah. Ibu faham Syah ada komitmen. Baguslah macam tu. Kerja tu ibadah dan amanah. Tapi dalam kesibukan kita melaksanakan tanggungjawab bekerja tu tak bermakna Syah kena abaikan kewajipan kepada Allah SWT."

Pimpin Aku Ke SyurgaWhere stories live. Discover now